Archive for 10 September 2008


SINGGAH DI PONDOK PASIR TUMBOH

Selepas solat subuh di Masjid Tok Guru di Pulau Melaka, kami mengambil masa untuk bersiar-siar menaiki viva yang kami sewa.

Antaranya kami melewati kawasan Hospital Universiti di Kubang Kerian, di mana Abu Aslam pernah mengaji di sana.

Yang kami agak lama singgah ialah di Pondok Pasir Tumboh.

Sepanjang hidup saya, ini adalah kali kedua saya menziarah tempat pengajian sistem pondok.

Kali pertama berziarah di Terengganu beberapa tahun lalu, menghantar dan menziarahi pelajar Sabah di Dungun kalau tidak salah saya.

Tetapi kali ini suasananya sedikit berbeza. Pondok Pasir Tumboh menempatkan lebih 700 pondok dan lebih 1800 pelajar yang datang dari dalam dan luar negara.

Pengajian agama berasaskan sistem pondok begitu terpelihara dan subur sekali di negeri tadahan wahyu ini.

Ia adalah benteng terakhir umat Islam yang cintakan ilmu pengetahuan berasaskan tradisi menadah kitab.

Di pondok Pasir Tumboh yang terkenal ini yang telah wujud sejak tahun 1940an lagi,  sebenarnya tidak asing bagi sesetengah pelajar dari Sabah.

Tanpa menyebutkan nama, sebenarnya ramai guru dan ustaz di Sabah yang pernah menuntut di pondok ini satu ketika dahulu.

Malahan ada maklumat pernah satu ketika, penuntut Sabah pernah mencapai 30-40 orang pada satu-satu masa.

Namun kini hanya tinggal beberapa orang yang masih bertahan termasuk seorang anak Ahli Parlimen dari Sabah.

Ketika kami hadir di sana, kebanyakan pelajar sedang bercuti antara 15 Sya’ban hingga 15 Syawal iaitu selama 2 bulan.

Tidak lupa, kami juga mengunjungi seketika pondok waqaf  Sabah yang ketika ini dihuni oleh Husni Bikat, seorang muallaf dari sebelah Tuaran.

Kata orang, kunjungan ke negeri Serambi Makkah ini kurang lengkap dan sempurna jika tidak berziarah ke Pulau Melaka, khususnya ke lokasi rumah dan masjid Tok Guru Nik Abd Aziz berada.

Setelah sahur awal sekitar jam 4.30 pagi (imsak jam 5.44 pagi) di hotel Raudah ini,  pada jam 5.00 kami bertolak ke Pulau Melaka. Perjalanan ke sana mengambil masa sekitar 10-15 minit.

Bagi saya sendiri, ini adalah kunjungan kali ke-3 ke sini.

Sementara menanti masuk waktu, saya berlegar-legar di luar masjid.

Berhadapan dengan Masjid Tok Guru ialah Maahad Darul Anuar yang sudah berusia 45 tahun.

Sekolah ini diasaskan oleh Tok Ku Nik Mat Alim, iaitu ayahanda kepada Tok Guru Nik Abd Aziz.

Hj Nik Mat dilahirkan di Pulau Melaka pada 1890 dan meninggal dunia pada 11 Mac 1977 ketika berusia 87 tahun.

Beliau mempunyai 4 orang isteri dan 18 orang cahayamata.

Tuan Guru Nik Abd Aziz adalah anak kedua daripada isteri pertama.

Maahad Darul Anuar pada awal penubuhannya pada 1963 hanya mempunyai 52 pelajar. Menurut rekod 2008, kini terdapat 1077 pelajar dengan 706 daripadanya puteri dan 371 putera.

Daripada statistik, 59%  pelajar berasal dari Kelantan, 36% dari luar Kelantan (termasuk ada seorang dari Sabah) dan 5% dari luar Malaysia seperti Kemboja, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Sementara di belakang masjid pula terletak rumah tok guru yang jarak pintu rumahnya hanya terletak kira-kira 20 langkah dari pintu masjid.

Bahkan atap rumah dengan atap masjid saling bertemu.

Dari pintu rumah, terdapat pintu khas di sebelah masjid untuk dimasuki oleh tok guru terus menuju ke sajadah imam.

Kami masuk ke masjid, menanti kira-kira 10 minit sebelum azan subuh.

Ketika itu, orang ramai mula datang sedikit demi sedikit. Begitu juga para pelajar Maahad Darul Anuar ini, diwajibkan solat berjamaah.

Masjid ini mempunyai dua aras dengan kapasiti lebih 1000 jamaah.

Sejurus selepas solat subuh yang diimam sendiri oleh Tok Guru Nik Abd Aziz, saya menoleh ke belakang. Masjid sesak dengan jamaah.

Saya yakin benar, jamaahnya bukan sahaja dari penduduk di sini, tetapi ramai dari luar seperti kami. Anak-anak maahad pula bersolat di aras atas.

Semasa berwirid, jelas kedengaran Tok Guru memimpin dengan begitu tenang sehingga boleh disertai oleh semua jamaah. Bacaan tasbih, tahmid dan takbir diungkap satu persatu sehingga menimbulkan rasa tenang dan hening.

Sebelum berdoa, Tok Guru menyampaikan tazkirah kira-kira 15 minit. Tazkirahnya berlegar sekitar pembahagian 3 kategori puasa. Puasa awam, puasa khusus dan puasa khususul khusus.

Seperti ceramah dan tazkirahnya di merata tempat, Tok Guru selesa menyampaikan tazkirahnya dengan analogi-analogi yang menarik dan mudah difahami orang kampung.

Tok Guru menyampaikan tazkirah tanpa menghadap ke arah ma’mum. Beliau masih menghadap ke arah kiblat, sambil kedua-dua tangan ditongkat ke belakang. Situasi itu menyebabkan Tok Guru amat santai, selesa bercakap dan bertazkirah.

Sementara jamaah tidak perlu sangat memandang ke arahnya.

Cukup mendengar dengan teliti bait-bait tazkirah yang disampaikan.

Selepas doa dibaca, Tok Guru berbaring di sajadahnya. Datang seorang ma’mum mengurut-urut tubuh dan kaki beliau. Katanya, Tok Guru sakit lutut.

Tidak lama, Tok Guru bangun semula.

Datang pula seorang jamaah dari Kuala Lumpur membawa bayi berusia 3 minggu untuk ditahnik dan digunting rambutnya oleh Tok Guru.

Inilah situasi yang berlaku sejak puluhan tahun.

Jika Tok Guru berada di sini, akan ada sajalah orang yang membawa anak untuk ditahnik dan dicukur rambut.

Yang empunya hajat pula bukan saja dari Kelantan, bahkan dari seluruh pelusuk negara.

Kadang-kadang yang hadir bukan setakat seorang, tetapi ramai bayi yang dibawa oleh keluarga masing-masing untuk ditahnik oleh Tok Guru.

Dalam keadaan sibuk atau kurang sihat pun, Tok Guru jarang sekali menghampakan permintaan mereka, tambahan lagi yang datang dari jauh.

Setelah selesai tahnik dan gunting rambut, Tok Guru mendoakan pula bayi berkenaan.

Sebelum beliau keluar dari pintu masjid, kami mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mencium tangan Tok Guru yang lembut itu.

Sementara di sudut belakang masjid, para pelajar Maahad Darul Anuar, mungkin menengah rendah dikumpul dan dipimpin membaca ma’thurat bersama seorang guru mereka yang berbangsa Arab.

Ma’thurat yang dibaca, bukan ma’thurat sughra (ma’thurat kecil) seperti yang kita amal dalam usrah, tetapi ma’thurat penuh, lengkap dengan tiga kali pula.

Saya perhatikan, kebanyakannya sudah menghafaz penuh ma’thurat tersebut, kecuali ada beberapa orang yang masih memegang buku ma’thurat di tangan mereka.

Kami beredar keluar, sekali lagi melihat suasana persekitaran dengan lebih jelas.

Tadi kami datang dalam suasana masih kelam, tetapi sekarang sudah semakin terang.

Terpegun melihat kesederhanaan rumah Tok Guru, tanpa pagar dan tanpa pengawal keselamatan.

Walaupun di sebelah belakang sudah ditambah dengan bangunan konkrit, bahagian hadapannya masih tidak berubah seperti dahulu.

Sambil-sambil melihat persekitaran masjid dan rumah, ada seorang tetamu datang ke rumah Tok Guru. Gayanya tergesa-gesa seperti mempunyai hajat dan keperluan segera.

Mulanya dia mencari-cari arah rumah MB Kelantan itu, dia teragak-agak sambil bertanya kepada saya : “Rumah Tok Guru?” katanya sambil menunjuk tangannya ke arah rumah.

“Ya, tuan dari mana?” Tanya saya semula. “Sini juga, Kota Bharu”. Hmm.. ada juga orang Kota Bharu tak tau rumah Tok Guru. Orang UMNO kot. Heheh.

Sebelum beredar, kami masing-masing mengambil gambar kenangan. Inilah rupa dan bentuk rumah seorang pemimpin ulung, Menteri Besar Negeri Kelantan.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepadanya memimpin Negeri Kelantan dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).