IMG_5095

Bagi pencinta ilmu al-Quran di Malaysia, khususnya dalam bidang tahfiz dan tajwid, agak janggal kalau tidak mengenali tokoh ini.

Bertemu dan bersapa, apatah lagi orang itu dikenalinya, pasti dimulakan dengan salam, pelukan dan ciuman pipi tanda persahabatan dan ukhuwah Islamiyyah.

64 tahun lalu, di Kampung Sepat, Kuala Penor Kuantan, tokoh bernama Sallehudin bin Omar ini dilahirkan.

***

masjid-negara2

Ketika Masjid Negara dirasmikan pada 1965 oleh almarhum Tunku Abd Rahman, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, terdapat satu slot persembahan bacaan al-Quran oleh qari jemputan dari Mesir.

Orang ramai yang menyaksikan majlis penuh bersejarah itu turut mendengar gema wahyu Ilahi yang merdu.

Tetapi menjadi kehairanan ramai, apabila qari berkenaan membaca beberapa potong ayat al-Quran, lain daripada kebiasaan yang dibaca oleh orang Islam di Malaysia.

Bukan saja orang ramai, bahkan dikhabarkan almarhum Tunku juga merasa ralat dengan bacaan qari berkenaan. Adakah qari itu yang salah baca atau kita yang jahil?

Apabila dijelaskan bahawa bacaan kita betul, dan bacaan qari itu pula tidak salah, timbul idea di dalam pemikiran almarhum Tunku agar ilmu hafazan al-Quran, qiraat dan seumpamanya diadakan di Malaysia, atau lebih tepat dimulakan di Masjid Negara yang baru dirasmikan itu.

Dipendekkan cerita, hasrat itu segera dilaksanakan. Asalnya setiap negeri diminta menghantar dua orang calon untuk program menghafaz al-Quran ini.

Setelah dilakukan pemilihan, hanya 8 pelajar pertama diambil, dan salah seorang anak muda bertuah itu ialah Sallehudin Omar mewakili Pahang.

***

Bersama 7 rakan yang lain : Datuk Hj Abu Hassan Lebai Din (Perlis); Tan Sri Syaikh Hj Ismail Muhammad (Terengganu); Zainal Abidin Ahmad (Terengganu); Syaikh Mohsen Shekh Ahmad (Negeri Sembilan); Sheikh Osman Mohammad Noor (Kedah); (Allahyarham) Sheikh Kamaruddin Hj Amri (Perak) dan (Allahyarham) Shafie Ayub (Selangor), mereka berlapan dididik oleh dua orang guru.

Datuk Sheikh Hj Mohammad Noor Ibrahim yang ketika itu merupakan Mufti Kerajaan Kelantan dipinjamkan ke institusi tahfiz ini. Seorang lagi ialah asy-Sheikh Dr Sayyid Ali al-Mahfuz ad-Damanhuri dari Mesir.

Dalam tempoh tiga tahun, puratanya mereka dikehendaki menghafaz 1 maqra setiap hari. Selain subjek menghafaz al-Quran, mereka juga mempelajari ilmu tajwid, tafsir, usul Qiraat dan lain-lain.

al-Azhar01

Masa berlalu, mereka menamatkan program tiga tahun di kelas tahfiz berkenaan. Pada  6 November 1969, al-Fadhil Ustaz bersama rakan-rakannya yang lain melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Pada mulanya, Ustaz Sallehudin dan rakan-rakannya mengambil kelas pengkhususan 7 qiraat dan 14 riwayat secara bertalaqqi. Mereka turut mengadakan kelas khusus sesama mereka bagi memantapkan pengetahuan secara praktikal.

Pada 1972, beliau memasuki kuliah Syariah Islamiyyah selama 4 tahun, sementara kelas qiraat sebelum ini tetap diteruskan pada sebelah petang.

Demikianlah ringkasnya hari-hari beliau di sana selama 7 tahun keseluruhan. Pada 07.07.1977 Ust Sallehudin kembali ke tanahair.

***

Tidak lama sekembali ke tanahair, beliau ditawarkan sebagai qadhi di Maran, ketika baru berusia 32 tahun.

Tiga tahun menabur khidmat, beliau berpindah pula ke ibu negara dan dilantik sebagai pengetua pertama Institut Pengajian Tahfiz al-Quran, di bawah kerajaan Malaysia.

Ketika inilah, institusi tahfiz mula digerakkan secara lebih sistematik. Bersama rakan-rakan lain, beliau mengusahakan agar pengajian tahfiz diiktiraf setaraf diploma, manakala pengambilan pelajar diadakan setiap tahun.

Berbanding sebelum itu, pengambilan pelajar kedua hanya dilakukan apabila setelah kumpulan pertama tamat belajar selama 3 tahun, manakala pengajian mereka hanya setaraf SPM.

Dalam tempoh 13 tahun sebagai pengetua, sudah tentu beliau mempunyai pelajar yang ramai jumlahnya.

Antara anak Sabah yang sempat berguru dengannya ialah Datuk Hj Asmali Bachi, Ust Shahrin Imran, Ust Adam Abdul Hai, Ust Imbran Anggun dan Ust Pajuddin Nordin.

Sementara dari negeri lain antaranya ialah Sheikh Roslan Abd Halim (Imam Besar Kedah), Sheikh Kadri Abd Hamid (Pensyarah Insaniah Kedah), Dato’ Zulkifli Ali (Pengarah Tahfiz Pahang), Ust Hj Zaher Rudin Moktar (Imam Besar N.Sembilan), Ust Hj Moghni Asrari (Imam Masjid Wilayah), Ust Shaharuddin Pangilun (Pensyarah KUIS), Dato’ Firdaus Ismail, Ust Asyraf Ismail dan ramai lagi.

Sebenarnya, setelah kepulangan kumpulan pertama mereka ini, barulah institusi tahfiz berkembang sedikit demi sedikit sehingga ke hari ini.

Hari ini, ibu bapa berebut-rebut menghantar anak ke maahad-maahad tahfiz sama ada milik kerajaan, swasta atau persendirian.

Negeri Kelantan juga contohnya telah mewujudkan Maahad Tahfiz Sains yang semakin mendapat tempat.

Nama Malaysia juga mulai harum dengan ikon-ikon tahfiz yang cemerlang di peringkat antarabangsa, seperti yang ditunjukkan oleh adik Muhammad bin Ahmad Zahid, 13 tahun.

quran-dubai01

Pada 1993, Ust Sallehudin beralih angin ke Negara Brunei Darussalam.

Bersama dua sahabatnya, Sheikh Ismail Muhammad dan Sheikh Mohsen mereka berangkat ke negara yang kaya dengan minyak petroleum ini bagi menubuhkan institusi tahfiz yang dinamakan Institut Tahfiz al-Quran Sultan Hj Hassanal Bolkiah.

Dalam tahun pertama, 40  pelajar diambil manakala sehingga tahun 1999, tahun kontrak mereka berakhir, tidak kurang 100 pelajar kesemuanya telah belajar di institut berkenaan.

Tahfiz Brunei

Sejak kembali pada 1999, beliau telah membuka kelas al-Quran untuk orang dewasa di Taman Seri Rampai, Setapak. Adalah dianggarkan sudah ratusan pelajar beliau yang menamatkan pengajian secara talaqqi sehingga kini.

Bukan setakat di sana, dua kali sebulan beliau berkunjung ke Singapura untuk mengajar al-Quran. Terdapat juga jemputan tidak berkala untuk beliau mengajar dan memberi kursus tentang al-Quran di seluruh negara.

Selain itu, kepakaran beliau juga diperlukan dalam majlis-majlis tilawah al-Quran di peringkat negeri dan kebangsaan, malahan di peringkat antarabangsa. 

Sejak 1979, beliau telah menjadi hakim MTQ kebangsaan, manakala dalam Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan, beliau telah menjadi hakim sejak 1984 lagi.

Ketika Lajnah Tashih al-Quran ditubuhkan pada 1988, beliau adalah pengerusi pertamanya bersama 8 ahli yang lain.

Setelah kembali berhijrah dari Brunei, beliau dilantik semula dalam jawatankuasa ini. Untuk sesi ini beliau dipilih sebagai Naib Pengerusi daripada sejumlah 35 ahli lajnah.

Diatas sumbangan beliau ini, Sultan Pahang berkenan menganugerahkan beliau bintang kebesaran negeri yang membawa gelaran Dato’ pada 2006. Sementara setahun sebelum itu, kerajaan Negeri Pahang telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah 2005.

Tidak syak lagi, dengan kehidupan beliau yang sederhana, peramah dan mesra orangnya, beliau mempunyai karektor yang sangat disenangi oleh ramai pihak. Beliau dikenali sebagai seorang yang santai dan bersahaja termasuk para pelajarnya.

Beliau juga mudah dihubungi untuk memohon khidmat dan nasihat serta menjawab kemusykilan khususnya berkaitan dengan ilmu tajwid, al-Quran dan al-Qiraat.

Tinggal di Taman Bukit Maluri, beliau kini hidup bahagia bersama isteri yang dikasihi Datin Norila Hj Othman bersama seorang anak Nabila Huda.

Semoga Allah SWT menaungi kehidupan beliau dengan rahmat, taufiq dan hidayahNya, mengurniakan umur yang panjang, rezeki yang murah dan barakah. Amin.