Ahad – 14 Sept. Setelah bersolat di Masjid Negeri, semua peserta ziarah kali ini berkumpul di restoran BTC QEH.

Ruang restoran dipenuhi dengan peserta, lebih 70 orang sebahagiannya saya lihat orang baru dalam bab ziarah ke QEH ini, kerana ramai juga yang saya tidak mengenalinya.

Kerana ramai itu, peserta dibahagi kepada 3 kumpulan.

Kumpulan satu ke wad lama di bangunan surau; kumpulan kedua ke bangunan utama; manakala bakinya ke wad perubatan C di sebelah bukit.

Saya menyertai kumpulan pertama yang diketuai oleh Ybhg Pengarah JAKIM Sabah, Tuan Hj Abd Aziz Che Yakob dan Pengerusi Gabungan NGO’s Islam Sabah, Tuan Hj Sanuri.

Peserta lelaki memulakan ziarah ke tingkat 2, manakala peserta muslimat di tingkat 1.

Apa yang menarik perhatian saya kali ini, secara kebetulan ramai pula para pesakit yang ditemui, kebanyakannya beragama Islam.

Walaupun biasa bertemu dengan pesakit bukan Islam, tetapi dalam musim Ramadhan ini, lebih mudah bersembang dengan pesakit muslim dan mengaitkan dengan persoalan sabar.

Buah tangan atau sumbangan nampak lebih banyak kali ini dengan sumbangan 2 agensi iaitu JAKIM dan restoran BTC sendiri yang nampaknya begitu konsisten akhir-akhir ini.

Bahkan mereka menawarkan sumbangan buah tangan untuk ziarah minggu hadapan tetapi di Hospital Likas pula. Ini sudah bagus!

Ada beberapa penemuan peribadi saya yang menarik.

Pertamanya, ada seorang pesakit dari Kudat berasal dari kampung yang sama dengan Awang Sariff Baharuddin, anak muda yang kami bantu untuk ke Mesir 2 minggu lepas.

Beliau mengatakan terdapat luka di kawasan hatinya. Ni barulah betul-betul punya luka, luka di hati.

Keduanya, ada seorang anak muda yang terlantar sakit berasal dari Tuaran. Lama kami bersembang. Apabila dia bertanya adakah ziarah ini dilakukan di semua hospital di Sabah, saya mengatakan QEH diberi tumpuan dahulu buat masa ini. Insya Allah akan dikembangkan ke hospital lain selepas ini.

Dia bekerja di bahagian parking di One Borneo. Saya tidak pernah ke sana pun. Tidak semena-mena dia offer :

“Bang, nanti kalau ke One Borneo, cari saya. Mana tau saya boleh bantu cari parking untuk abang..” Hehehe. Hmm, takpa laa.

Ketiganya, saya bertemu dengan seorang guru dari SMK Limbanak Penampang yang sekampung dengan saya di Labuan.

Hasrizal Haris namanya. Di kampung, kami panggil dia Jai. Umurnya tua sikit daripada saya.

Bukan dia yang sakit tapi pak mertuanya. Tetapi Allah takdirkan saya bertemu dengannya setelah agak saya bertahun tidak bertemu.

Kawan sekampung tapi tidak bertemu di kampung sendiri. Cikgu Jai baru kehilangan anak kedua yang baru berusia 50 hari sebulan lepas.

Menjelang asar, ziarah berakhir. Saya pulang segera kerana ada majlis berbuka puasa pula di rumah Abu Aslam. Blog pun kena diedit juga.