Archive for 9 September 2008


Masjid al-Baro’ah, Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu

Selepas sungkai di gerai-gerai tepi jalan berhadapan dengan Medan Selera Kampung Kraftangan, kami bergerak ke Masjid al-Baro’ah untuk menunaikan solat maghrib.

Kami mengambil keputusan untuk terus iktikaf dan menyertai solat isyak dan tarawih di sini.

Masjid al-Baro’ah terletak benar-benar di tepi Pasar Siti Khadijah, yang menempatkan ribuan pedagang, peniaga Kelantan khususnya kaum wanita.

Orang yang meninjau ke kawasan pasar ini akan menyaksikan urusan perniagaan di sini dikuasai hampir 100%  oleh kaum wanita.

Oleh itu, tidak benarlah satu tuduhan satu masa dulu yang mengatakan Tuan Guru Menteri Besar menghalang perempuan bekerja.

Sementara Masjid al- Baro’ah ini sememangnya menampung keperluan umat Islam untuk bersolat dan beriktikaf, berhenti sebentar setelah melakukan urusniaga di kawasan ini, sama ada sebagai peniaga atau pembeli.

Di sebelah siang, memang masjid ini sentiasa diimarahkan bersilih ganti terutama sejak zuhur hingga maghrib.

Sementara kami menanti azan Isyak, saya disapa oleh seseorang, yang merupakan imam di masjid berkenaan. Macam kenal. Katanya : “Dari Sabah?” Saya mengangguk. Saya pun macam rasa pernah jumpa.

Rupanya sahabat lama geng kawin masa di Mansoura, Mesir dahulu.

Ust Md Shukri Daud, adik kepada Ust Nusuruddin Daud, ADUN Meranti dan Speaker DUN Kelantan, dahulunya mengambil jurusan Syariah di Universiti al-Azhar, Damanhur.

Dia menetap di Mansoura kerana isterinya mengaji di situ.

Ketika di Mansoura, kami masing-masing punya anak satu. Dia anak lelaki namanya Azim dan kami pula dapat anak perempuan.

Syukur alhamdulillah, sejak kami kembali ke Sabah pada 2004 dan ust Shukri kembali ke Kelantan 2005, kami memang tidak pernah berhubung.

Memang tidak terlalu rapat, tetapi saling kenal mengenali sesama ahli Bait Muslim Mansoura.

Kami bertukar nombor telefon, insya Allah akan berhubung selepas ini.

Sementara sebelum tarawih, Ust Shukri menyampaikan tazkirah ringkas kepada jamaah. Selepas tarawih, beliau mempelawa saya menyampaikan tazkirah, tetapi saya menolaknya. Heheh.

Jam 8.30 pagi kami tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan Darul Naim.

Menaiki teksi menuju ke pusat bandaraya Kota Bharu, kami terus ke Hotel Raudhah yang terletak di tengah-tengah bandaraya dan pusat membeli belah.

Sementara menanti kereta sewa tiba, kami bertiga berjaur ke kedai-kedai berhampiran.

Salah satu yang sememangnya menjadi sasaran saya ke Kota Bharu ini ialah berkunjung ke kedai buku Jaafar Rawas.

Untuk tinjauan hari pertama ini, saya sudah membeli beberapa buah buku tulisan Tuan Guru Nik Abd Aziz dan beberapa buku lain.

Lebih juga RM100 untuk pusingan pertama.

Kira-kira jam 10 pagi kami keluar semula bergerak ke bandar Pasir Puteh, bertemu dengan seorang ahli farmasi yang tidak asing di Kelantan ini. Beliau mempunyai 8 cawangan farmasi – namanya Farmasi Ehsan – termasuk dua di Terengganu.

Menjelang tengahari, kami bergerak pula ke sempadan, Pengkalan Kubor.

Kami solat zuhur + asar di sebuah masjid di Mukim Genting.

Masjidnya cantik, lokasinya strategik di tepi jalan memudahkan pergerakan jamaah dan umat Islam.

Menurut perbualan ringkas saya dengan seorang jamaah di sana, masjid ini asalnya dibina pada tahun 60an dan mengalami pengubahsuaian serta pembesaran.

Sehingga kini boleh memuatkan 2 ribu jamaah pada satu-satu masa.

Manakala secara puratanya, pihak masjid memperolehi RM1000 setiap jumaat hasil sedekah dan sumbangan jamaah.

Zuhur itu, walaupun ahad hari bekerja di Kelantan, saya kira tidak kurang 300 jamaah menyertai solat zuhur. Bahkan wirid yang dipimpin imam pada masa itu dibaca penuh dan panjang.

Selepas itu, kami terus ke Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor.

Pengkalan Kubor ini adalah bersempadan dengan Tak Bai, Thailand.

Kedua-dua wilayah ini dipisahkan dengan sungai yang merentangi kedua-dua negara.

Di kawasan bebas cukai ini, terdapat beberapa deretan kedai menjual kebanyakannya pakaian yang dibawa dari tanah Thailand.

Begitu juga para pekerja kedai-kedai ini sebahagiannya berasal dari Thailand, sama ada dari Tak Bai sendiri, Yala dan sebagainya.

Belilah sikit…

Surau Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Dalam hujan lebat, saya bersama dua abang ipar bertolak ke Terminal 2.

Malam itu bersama dua orang yang lain, saya dijadualkan berangkat ke Kuala Lumpur melalui penerbangan Air Asia dan mendarat di LCCT.

Kereta kelisa saya meluncur laju setelah saya diturunkan di Terminal 2. Setelah membuat pendaftaran masuk, kami menunaikan solat Isyak dan Tarawih di surau berkenaan.

Hanya kami bertiga. Suraunya dibahagi dua untuk jamaah lelaki dan wanita. Jika dikira-kira boleh memuatkan sekitar 20 orang.

Terminal 2 ini baru sahaja beroperasi kalau tidak salah awal tahun ini.

Tapi khabarnya, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Lajim Hj Ukin sudah mengumumkan bahawa syarikat Air Asia akan turut berpindah ke Terminal 1 yang hampir siap.

Terminal 2 ini menurut ceritanya akan dijadikan terminal kargo.

Bagi saya, apabila diubah menjadi terminal kargo, sudah tentu akan memerlukan duit lagi untuk diubahsuai. Entah berapa puluh juta lagi duit rakyat akan dikorbankan hanya untuk memuaskan nafsu orang yang gila projek ni.

Jelas pembaziran sudah berlaku. Memang saudara syaitan. Bukan setakat kawan syaitan, tapi saudara syaitan. Ada pertalian darah dan nasab keturunan!

Penerbangan kami bertolak jam 9.15 malam tanpa sebarang kelewatan dan tiba di LCCT jam 11.45 malam.