Archive for 2 September 2008


Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral.

Malam ini saya dijadual dan diberi amanah memimpin solat tarawih di surau ini.

Fikir saya mahu membawa awal juz 3 di dalam solat tarawih. Baca sikit-sikit, satu muka surat bahagi empat rakaat. Dapatlah 5 muka surat.

Sebelum solat isyak, Tuan Hj Omar selaku setiausaha surau menyampaikan beberapa pengumuman.

Antaranya memohon sumbangan untuk berbuka puasa di surau ini setiap hari, sumbangan untuk sekolah agama rakyat yang terletak di hadapan surau ini, dan juga sumbangan waqaf PASTI.

Sumbangan untuk berbuka boleh diserah kepada Tuan Hj Omar sendiri (019-8625282), untuk sekolah agama yang sudah mencapai pelajar lebih 60 orang itu boleh disalurkan kepada ust Zulhazmi Osman (012-4299897) dan untuk PASTI al-Hikmah boleh merujuk kepada Ust Muhasibi (013-8600545)

Saya seronok melihat pengurusan tarawih di surau ini.

Ia bermula dari majlis berbuka puasa beramai-ramai. Saya sempat menanya Tuan Che Mat, orang yang diamanahkan sebagai katering berbuka puasa di surau ini, dua hari ini jumlah yang hadir berbuka sekitar 60-80 orang.

Sistemnya mudah. Orang yang ingin menyumbang hanya perlu menyerahkan duit kepada JK Surau dan soal menyediakan menu diserahkan kepada perbincangan jawatankuasa dan katerer.

Pihak katerer juga akan mengemas dan membersihkan semua bekas dan sisa selepas berbuka dan moreh.

Ini sudah tentu memudahkan para penyumbang. Tidak perlu sakit kepala dan kelam kabut hendak menyedia dan mengemas.

Manakala setelah azan isyak, pihak surau tidak bergegas serta merta untuk iqamah. Mereka bersedia menanti jamaah lain yang belum tiba dan kira-kira 10-15 selepas itu barulah iqamah dilaungkan. nampak relaks dan bertenang-tenang.

Kebanyakan surau dan masjid yang saya ronda sebelum ini termasuk tahun-tahun sudah, seolah tidak sabar hendak iqamah, malahan tidak sabar hendak tarawih pun.

Banyak juga di tempat lain, selesai saja doa imam selepas solat Isyak, langsung serta merta bilal melaungkan tasbih : Subhanal malikil ma’bud!!!

Langsung tidak memberi peluang jamaah menunaikan solat ba’diyah Isyak.

Jadi rupanya Ramadhan ini bagi sesetengah orang, bukan menambah amal ibadah, tetapi mengurangkannya.

Solat tarawih berlangsung sekitar jam 8 malam dan selesai sejam selepas itu.

Selepas jamuan moreh, beberapa jamaah segera mencapai al-Quran dan membentuk tiga kumpulan halaqah.

Mereka menyambung tadarrus mulai juzu 3. Dua kumpulan muslimin dan satu lagi kaum muslimat.

Eh, si kecil pun ikut sekali!

Guru saya selalu berpesan, kalau kita berdoa minta supaya dijadikan orang yang sabar, Ia pasti menguji kita dengan sesuatu, membuktikan kita sabar atau tidak.

Hari ini, hari kedua berpuasa tetapi hari pertama bekerja dalam Ramadhan. Entah tidak semena-mena saya lambat keluar rumah pagi ini, dan waktu itu biasanya kesesakan sudah agak berkurangan.

Kenderaan di jalanan terlalu banyak. Semua terlambat bangunkah pagi tadi? Tiba-tiba timbul rasa geram dan panas hati, kereta di hadapan lambat bergerak. Mujur saya teringat hari ini berpuasa. Kemarahan itu reda semula. Allah uji rupanya.

Terkenang seorang teman saya yang lembut hati, peramah dan baik orangnya. Tiba-tiba dalam bulan Ramadhan beberapa tahun yang lalu, dia bergaduh dengan teman sekerja. Tidak pernah saya melihat suaranya tinggi seperti hari itu. Darah panasnya mendidih.

Sebelum Ramadhan dia tidak pernah marah orang. Tetapi Ramadhan kali itu dia jadi seorang pemanas. Jelas Allah tengah mengujinya.

Itu bab sabar.

Satu lagi, perangai orang berpuasa lebih kurang ini yang saya perhatikan, bila masuk Ramadhan saja, tiba-tiba jadi kaki mengumpat.

Waktu-waktu tidak Ramadhan, baik orangnya, pendiam, tidak suka campur hal orang, tiba-tiba masuk Ramadhan cerita hal si anu dan si anu. Kutuk si fulan dan si fulan, begitu begini.

Selalunya time begitu, biasanya dia berada di restoran atau kedai makan, minum jam 10 atau makan tengahari. Tetapi oleh kerana berpuasa, tidaklah dia ke restoran lagi. Dia tidak makan apa-apa.

Tetapi tanpa disedarinya, dia sedang meratah daging saudaranya sendiri.

Apa sudah jadi? Jadi cepat-cepatlah ingat, kita sedang berpuasa. Orang berpuasa berada dalam latihan. Orang berlatih banyak ujian dan dugaannya.

Bersabarlah. Semuanya ujian Allah.

PENTING & SEGERA!!

Tengahari tadi saya didatangi oleh dua orang sahabat saya – Ustaz Safri dan Ust Abd Wahab, kedua-duanya pendidik di Sekolah Menengah Agama Islam Toh Puan Hajjah Rahmah, Kota Kinabalu.

Kedua-dua mereka memohon pertolongan jika saya mempunyai sebarang hubungan dengan pihak-pihak tertentu bagi pihak pelajar sekolah mereka, Awang Sariff Baharuddin, 19 tahun yang akan berangkat menyambung pelajaran ke Mesir sabtu ini.

Untuk maklumat, sekolah ini sejak kewujudannya pertengahan 70an, dimana saya menuntut selama 5 tahun pada 1992-1996 dahulu, tidak pernah putus menghantar pelajar-pelajarnya menyambung pengajian ke Mesir.

Barangkali sudah ratusan graduan yang telah menamatkan pengajiannya dan kini berkhidmat di pelbagai bidang dan jabatan di seluruh negara.

Di kalangan senarai sekolah-sekolah agama aliran Arab di seluruh negara, sekolah ini mempunyai kedudukannya yang tersendiri.

Tidak keterlaluan, namanya harum dan sebaris dengan sekolah-sekolah sealiran dengannya seperti Maktab Mahmud di Kedah dan Maahad Muhammadi di Kelantan.

Ia sentiasa menjadi sebutan, mendapat perhatian dan rebutan para ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka ke sini.

Untuk tahun ini, SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah di bawah pimpinan Ust Hj Pg Omar Pg Gana selaku pengetua bersama guru-gurunya akan menghantar seramai 25 orang pelajar ke Universiti al-Azhar, Mesir dan menyambung pengajian dipelbagai bidang seperti usuluddin, syariah dan bahasa Arab.

Manakala dari SMAI Pantai Manis Papar di bawah pimpinan Ust Hamdani Omar selaku pengetua sekolah akan menghantar seramai 10 orang pelajar.

Awang Sariff, anak muda berbangsa bajau yang berasal dari Kg Landung Ayang Laut, Kudat Sabah ini adalah salah seorang pelajar bertuah itu.

Setelah mendapat 9 unit dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas, dia bakal menyambung pelajaran dalam bidang pengajian Bahasa Arab di Kaherah.

Walaubagaimanapun, dengan latar belakang keluarga yang susah, bapa hanya seorang nelayan dan ibu sebagai suri rumah, Awang Sariff, anak ke-2 dari 9 bersaudara ini menurut pemerhatian guru mereka memerlukan bantuan kewangan bagi menyara kos sara hidup serta pengajian di sana nanti.

Dalam semakan mereka, Awang Sariff adalah pelajar yang paling susah berbanding sahabat-sahabatnya yang lain.

Artikel ini saya tulis bagi pihak guru-guru sekolah dan tuan punya tubuh, memohon ihsan dan jasa baik saudara dan sahabat-sahabat di mana saja berada di seluruh Malaysia untuk membantu meringankan beban Awang Sariff.

Untuk maklumat lanjut, boleh merujuk kepada guru mereka Ust Hj Safri Bakar 016-5824304 atau terus menyampaikan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Sariff : 100 160 202 593 49

Mudah-mudahan sedekah yang dihulur sempena Ramadhan ini akan diberikan ganjaran sebesar-besarnya oleh Allah SWT, menjadi pahala yang berpanjangan sehingga hari kiamat.

Kepada Awang Sariff kita doakan agar diberikan kejayaan di dalam pengajiannya nanti. Amin.

Masjid Imam Hj Mohd Ya’akob Misir, Kg Beringgis Papar

Pada tahun ini, untuk tarawih, saya berazam untuk menziarahi banyak masjid atau surau yang berlainan, kecualilah surau Austral yang telah meletakkan jadual 3 kali saya sebagai imam di sana.

Saya juga bercadang tahun ini hendak banyak menjadi ma’mum setelah beberapa tahun asyik menjadi imam.

Oleh kerana niat saya begitu, saya menolak banyak permintaan menjadi imam tarawih tahun ini selagi boleh termasuklah di Masjid Negeri yang saya dipelawa oleh Imam Besar.

Malam kedua ini tadi, bersama teman perjalanan, saya dan Mahmud keluar rumah jam 7.20 malam. Sebenarnya, saya belum ada rancangan untuk ke masjid tertentu, cuma berharap malam ini dapat pergi yang jauh sedikit, memandangkan waktu cuti.

Jadi kami memilih untuk ke Masjid Imam Md Yaakob ini.

Masjid ini baru. Rasanya ini ramadhan yang kedua bagi masjid ini. Saya sendiri sudah pernah menjadi khatib jumaat di sini ketika mengiringi TYT solat Jumaat akhir tahun lepas.

Masjidnya besar, berkapasiti 800 jamaah. Tanah masjid ini diwaqafkan oleh seorang Imam yang kini menjadi nama masjid ini. Letaknya hanya di pinggir jalan Papar-KK. Sangat mudah untuk ditemui.

Sebenarnya, tidak banyak masjid di sepanjang jalan ini yang letak masjid atau surau benar-benar di tepi jalan. Masjid ini salah satunya. Ia menjadi salah satu pilihan orang yang bermusafir untuk singgah solat di sini.

Kami tiba di sini, tepat selepas azan Isyak. Jumlah kehadiran dianggarkan sekitar 200 orang jamaah termasuk muslimat.

Solat isyak dan tarawih diimamkan oleh Tuan Imam Ruji Abd Hamid. Bacaannya sederhana, tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu laju. Walaupun surah lazim, pukul ratanya, ma’mum selesa membaca surah al-Fatihah dengan tenang.

Begitu juga bacaan-bacaan dan tempo rukuk, sujud, dan sebagainya agak bersesuaian. Saya beri imam ini markah 65% untuk keseluruhan prestasinya malam ini.

Manakala solawat bilal juga bagus kecuali satu part yang banyak saya tegur di mana-mana masjid dan surau.

Part itu adalah ketika bilal melaungkan : “al-badrul muniru sayyiduna muhammad!!'” Lalu jamaah menjawab “sollu ‘alaih”.  Ini adalah silap.

Huraian kepada frasa ini ialah : Bilal menyatakan kepada jamaah : “Bulan Purnama Nabi Muhammad!” Lalu jamaah menjawab : “Solawatlah kamu!!”

Persoalannya, perintah bersolawat oleh jamaah itu dituju kepada siapa?

Jadi yang betulnya ialah bilal melaungkan begini : “albadrul muniru sayyiduna Muhammadun, sollu alaih!!!” Ertinya : “Bulan purnama Nabi Muhammad, bersolawatlah kamu!!”

Maksudnya, bilal memerintahkan para jamaah  bersalawat. Jadi jamaah akan menjawab : “Sollallahu wasallam ‘alaih!!”

Selain itu semuanya ok bagi saya. Hanya sahutan dan jawapan ma’mum agak tidak bermaya. Baru puasa hari pertama ni, sepatutnya bersemangat dan menunjukkan syiar tarawih.