Archive for 27 September 2008


Masjid Nurul Iman, Kg Kawang Papar

Seingat saya, ini kali ketiga berkunjung ke mari.

Kali pertama, meronda untuk mengambil gambar, sementara kali kedua jemputan ceramah beberapa bulan lalu. Saya sudah lupa ceramah sempena apa ntah.

Saya tidak menanti lama di SMKA Tun Mustapha, kerana memang berhajat untuk bergerak lebih banyak.

Dari sekolah itu, perjalanan ke Masjid Kg Kawang ini tidak mengambil masa yang lama, hanya kira-kira 6-7 minit sahaja.

Ketika saya sampai, solat isyak baru saja selesai.

Masjid ini dirasmikan oleh Tun Ghafar Baba pada tahun 1991 ketika Allahyarham sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Setelah melalui pembesaran, ia kini keseluruhannya boleh memuatkan kira-kira 700 jamaah termasuk di bahagian beranda di sayap dan belakang.

Saya tidak mengenali imam tarawih pada malam itu, tetapi bacaannya sangat tenang dan menyenangkan. Tidak tergesa-gesa dan kelam kabut.

Kehadiran jamaah pada malam itu dianggarkan sekitar 60-70 orang sahaja.

Sebagaimana berlaku di kebanyakan masjid dan surau, jamaah sudah semakin maju ke hadapan.

Orang tidak lagi beringat tentang lailatul qadar, tetapi sekarang sudah berubah kepada lailatul kedai.

Raya sudah dekat.

Apabila sahabat saya, Ust Yusrizal Ramli salah seorang tenaga pengajar di sekolah ini mempelawa saya sebagai pembimbing majlis khatam al-Quran peringkat sekolah pada khamis, saya segera mengiyakannya.

Majlis khatam al-Quran adalah majlis yang mulia dan berkat.

Ia adalah tuntutan agama dan dilakukan oleh Rasulullah SAW, dan juga amalan para sahabat, salafus soleh dan para ulama’.

Para malaikat turun menaungi dan membawa rahmat majlis khatam al-Quran yang dilangsungkan.

Di dalam buku at-Tibyan susunan Imam an-Nawawi, diceritakan, ada di kalangan ulama dan salafus soleh yang menamatkan al-Quran sehingga 8 kali sehari.

Empat kali malam dan empat kali pada waktu siang.

Bagaimana mereka menamatkan bacaan, wallahu a’lam.

Allah SWT memberikan mereka ruang masa yang cukup untuk membaca al-Quran. 

Tapi yang lebih penting daripada itu, ialah mengambil manfaat daripada apa yang dibaca, dan meneruskan tilawah setelah khatam.

Sebab itu dalam majlis khatam, kita dituntut menyambung bacaan ke surah al-Fatihah dan 5 ayat surah al-Baqarah. 

Maksudnya bahawa pembacaan al-Quran akan diteruskan lagi, bukannya terus ditutup.

Majlis khatam petang itu didahului dengan ucapan Tuan Pengetua, Ust Haidon Hadi Sapiri.

Ia disusuli perasmian oleh Ust Abdullah Md Din, Timbalan Pengarah Operasi Dakwah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Banyak nasihat boleh diambil dalam ucapan perasmian berkenaan yang merangkumi pelbagai perkara. 

Antaranya, Ust Abdullah menyarankan agar pelajar jangan takut berhijrah untuk mendapat ilmu yang lebih luas, kerana dengan berhijrah ke merata tempat, pelbagai ilmu dan pengalaman boleh dikutip untuk bekalan selepas kembali nanti. 

Selepas ucapan ust Abdullah, majlis diteruskan dengan majlis khatam oleh semua pelajar sekolah ini.

Saya menjadi pembimbing dan pembuka majlis sedangkan tekongnya ialah adik Md Zamir Md Zamri, pelajar tingkatan 5 dan ia berlangsung selama lebih kurang 25 minit.

Selepas iftar jamaie dan solat maghrib, majlis bersambung dengan makan malam, solat isyak, tarawih dan solat hajat untuk pelajar yang bakal menduduki PMR & SPM.

Ia diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Kutipan berkenaan diperolehi dan disumbangkan sendiri  daripada kalangan pelajar dan para guru sekolah berkenaan.

Satu usaha yang sangat baik dan murni serta memupuk budaya memberi di kalangan warga sekolah itu sendiri.

Doa saya, mudah-mudahan berkat Ramadhan ini, adik-adik di sana akan mendapat kejayaan yang cemerlang.

Itu doa saya. Amin.

Masjid al-Kauthar, Kg Tg Aru.

Dari Surau SMK Teknik Likas, saya ke Tg Aru pula. Saya tiba lewat, ketika tarawih sudah bermula, sedang saya isyak pun belum.

Jamaahnya ramai, berpadanan kedudukannya yang berada di tengah-tengah kampung.

Di kelilingi oleh rumah di persekitarannya.

Masjid ini menjadi salah satu masjid kesukaan Tun Ahmadshah untuk bersolat jumaat.

Masjid ini juga mendirikan solat Jumaat tepat menurut waktu zuhur.

Jika zuhur 12.10 minit, maka azan jumaat pun 12.10 juga. 

Tidak seperti kebanyakan masjid lain, secara umumnya azan jumaat pada jam 12.30 tengahari.

Tapi saya bermasalah sedikit dengan stail solat tarawih di masjid ini. Terutama bacaan imam yang meninggalkan sabdu atau tasydid ketika membaca basmalah surah al-Fatihah.

Dalam fiqah, semua 14 sabdu di dalam al-Fatihah itu wajib dijaga. Sembahyang tidak sah kalau sabdu tidak sempurna.

Imam baca “bismilah”, sedangkan sebenarnya “bismillah”. Huruf lam ada sabdu @ tasydid. Atau lebih faham, huruf ‘L’ ada dua. Cubalah saudara dengar dan perhati baik-baik.

Situasi kedua ini pula saya sudah pernah menegurnya tahun 2006 lagi, tetapi hanya sedikit perubahannya yang berlaku.

Solat tarawih yang laju memang sinonim dengan masjid Tg Aru ini. Mau laju, ke sinilah! 8.20 atau paling lambat 8.30 selesai.

Bukan 8 rakaat, tapi 23. Solawat penuh pula. Begitulah keadaannya sejak bertahun lalu.

Bayangkan, misalnya kalau bilal baru menyerukan nama khalifah seperti : “..sayyidina Umar Ibnul Khattaaabb!!!”

Belum sempat ma’mum jawab, imam jawab dulu. Kata imam : “Allahu akbar”. Dia sudah angkat takbir.

5.30 petang, 24hb saya hadir di majlis iftar jam’ie  SMK Teknik bersama sahabat an-Nur, meraikan aktivis-aktivis surau sekolah.

Saya diminta untuk menyampaikan tazkirah 15 minit, menceritakan tentang pengenalan kepada blog ABU NUHA CORNER ini kepada para pelajar yang hadir.

Bukan setakat masuk ke ANC tetapi mengambil manfaat terhadap isi kandungannya.

Sahabat saya, Cikgu Nasirin, meminta penekanan dibuat kepada artikel aktiviti kesukarelawanan yang dijalankan oleh kami seperti ziarah hospital dan program pemantapan aqidah yang semakin mendapat tempat.

Tazkirah itu berakhir beberapa minit sebelum azan maghrib dilaungkan.

Sebenarnya, tujuan asal saya ke sana untuk mendapatkan cd artis nasyid, Muadz yang datang ke Sabah minggu lepas.

Sejak diceritakan oleh CIkgu Nasirin berkenaan Muadz ini sebulan dua lepas, saya mencari-cari juga CDnya tetapi tidak bertemu.

Alhamdulillah, saya sudah dapat CD itu.

Lagu-lagunya adalah berdasarkan hadith-hadith Rasulullah SAW.

Jangan terkejut, lagu-lagunya berentak pop tetapi saya rasa ia diminati oleh mereka yang agak jauh dari agama.

Kalau dengar berkali-kali boleh hafal kita hadith-hadith tersebut.

Susah-susah komen, saudara beli sajalah dulu. Hubungi Cikgu Nasirin di SMK Teknik Likas : 013-2069733  atau kalau ada masa terluang, ziarah-ziarahlah blog saudara  Muadz ini :  http://www.muadzseekinglight.blogspot.com/ 

Dia anak YB Dr Dzulkefly Ahmad.

%d bloggers like this: