Archive for 1 September 2008


Minggu lepas, saya membelek-belek semula gambar-gambar lama semasa belajar dulu di Mesir.

Saya rujuk juga beberapa sahabat, dan apabila diamati kami meninggalkan bumi Malaysia pada 27 Ogos 2000.

Perjalanan kami menaiki Singapore Airline itu diurus oleh sebuah sekretariat pelajar mengurus perjalanan ke Mesir yang berpusat di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baru, Selangor.

Kalau tidak salah saya, kos yang kirim kepada sekretariat ini untuk tiket kapal terbang KL-Changi-Kaherah hanya RM1300. Saya kira, tambang kapal terbang pada masa sekarang sudah jauh meningkat berbanding dulu.

Sebenarnya, saya bersama tiga sahabat lain – Rahim Yahya Abd Rahman, Zamrul Md Aslie dan Hj Yakob Hj Jilun adalah kumpulan pertama pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah yang melanjutkan pengajian ke Mesir.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa KK, kecuali saya, tiga orang sahabat saya itu dihantar oleh keluarga dan sanak saudara masing-masing yang memeriahkan suasana teminal. Sementara saya, hanya disinggahkan oleh kakak ipar kerana keluarga saya berada di Labuan.

Malahan semasa di Labuan pun, keluarga yang menghantar lebih kurang saja. Hehe..

Kami berada di KL beberapa hari, sebelum berangkat ke Mesir.

Di KLIA, berbanding kira-kira lima puluh orang sahabat rombongan Darul Quran yang lain, masing-masing kelihatan diiringi oleh sanak saudara masing-masing. Giliran kami pula yang kesedihan sendiri, tiada keluarga yang menghantar.

Mujur ada pakcik Fikri Ismail dan makcik Zainab yang menghantar kami ke KLIA.

Pakcik Fikri dahulunya bertugas di KK dan tinggal bersebelahan dengan rumah kami di Grace Court, Sembulan.

Manakala makcik Zainab adalah pegawai kanan di BERNAS ketika itu.

Sekarang, kedua-duanya sudah pencen dan hanya menjaga cucu mereka di Taman Tun Dr Ismail, Damansara.

Jadi mereka berdualah menjadi ibu dan bapa kami, yang kami lambai di KLIA itu, sebelum meninggalkan bumi Malaysia.

Perjalanan keseluruhan mengambil masa kira-kira 10-11 jam termasuk perjalanan KLIA ke Changi Singapura dan singgah di Dubai.

Sebenarnya, dalam perjalanan kami itu, ada lagi orang Sabah. Namanya Ust Farhan Abdullah, seorang muallaf yang akhirnya menjadi sahabat akrab kami.

Ust Farhan sudah berkeluarga ketika itu tetapi hanya pergi sendirian, sementara anak isterinya tinggal di Serdang, kalau tidak salah saya.

Kisah Farhan masuk Islam ini banyak tersebar luas terutama di internet.

Kami tiba di LTA Kaherah pada waktu subuh, 28 Ogos 2000.

Kalau tidak salah ingat, kami dijemput oleh Ust Bakhtiar Hud dan Ust Zulkarnain Hassan yang kedua-duanya orang penting dalam Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) ketika itu.

BKPSM adalah persatuan yang diiktiraf oleh Kedutaan Malaysia yang menghimpunkan anak-anak Sabah di Mesir.

Pada hari itu, maka bermulalah kehidupan dan perjuangan baru di Mesir.

SURAU AN-NUR TAMAN LIMAUAN, KINARUT

Bertepatan malam melihat anak bulan Ramadhan berlangsung pada ahad, saya berada di Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut.

Sebagaimana yang saya telah ceritakan dalam artikel lalu, di surau ini saya memang dijadualkan berkuliah setiap ahad.

Sementara menanti keputusan cerapan anak bulan, saya juga menyebutkan kepada jamaah agar memelihara adab ketka berada di dalam surau atau masjid, termasuk kepada anak-anak dan remaja.

Terdapat juga ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak-anak ke surau sebagai latihan dan membiasakan diri. Pada dasarnya ini adalah sesuatu yang baik.

Tetapi yang menjadi masalah, apabila anak yang dibawa terlalu kecil seperti yang baru berumur 2-3 tahun, baru pandai berjalan dan berlari, serta dibiarkan bebas tanpa kawalan.

Masalahnya, bukan setakat anak itu berjalan atau berlari di hadapan saf.

Bayangkan di Masjid Negeri beberapa tahun lalu, ketika itu Masjid Negeri belum punya aircond seperti sekarang. Seorang anak kecil berlari di saf hadapan sambil menutup satu persatu kipas.

Setakat menutup kipas mungkin tidak mengapa sangat. Bayangkan umur 3-4 tahun begitu, kalaulah bukan suis yang ditutupnya, tetapi jarinya dimasukkan ke dalam kipas itu bagaimana?

Sudah tentu bakal menyusahkan orang ramai.

Saya juga memberikan pandangan, kalaulah seperti di surau an-Nur, anak-anak sekecil itu berlari keluar masuk dan terjatuh ke dalam parit dan longkang, juga bakal merumitkan keadaan.

Maafkan saya, bukan begitu usia yang dianjurkan Nabi SAW untuk anak dibawa ke masjid dan ke surau jika ibu bapa bermaksud untuk solat dan membiarkan anak sendirian di belakang.

Akibatnya, nanti anak ke mana, dan solat kita ke mana.

Malam itu saya diminta memimpin solat tarawih di sana. Alhamdulillah, solat bermula kira-kira 8.25 dan berakhir sekitar 9.40 malam.

Sabda Nabi SAW : “Suruh anak-anak kamu untuk solat ketika umurnya tujuh tahun, dan (jika tidak solat) sesudah umur sepuluh, pukullah (sebagai pukulan mendidik), dan pisahkanlah tempat tidur mereka”.

Saya merasa kagum apabila datang ke surau ini, melihat jadual tempahan berbuka puasa penuh diisi oleh jamaah surau.

Agak susah mencari surau yang penuh ditempah jamaah untuk sedekah berbuka puasa. Kebiasaan yang berlaku di surau atau masjid lain ialah jamuan moreh selepas solat tarawih.

Selain masjid-masjid besar seperti Masjid Negeri, Masjid Bandaraya dan beberapa masjid lain, agak saya susah melihat suasana ini sebagaimana keghairahan penduduk taman Austral dan sekitarnya menyumbang dana untuk berbuka puasa.

Selalu saya berpesan juga kepada surau dan masjid, di mana saya berkuliah agar cuba memulakan majlis iftar jamaie – berbuka puasa beramai-ramai, sekurang-kurangnya pada hujung minggu sebagai permulaan.

Saya tidak mengatakan jamuan moreh itu salah, sebab ia mempunyai sandaran hukum berdasarkan galakan dan perintah bersedekah yang umum.

Tetapi memberi makanan dan minuman kepada orang yang hendak berbuka puasa mempunyai perintah dan saranan khusus daripada baginda SAW, yang sepatutnya lebih diutamakan.

Suasana yang berlaku di Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral ini bukan baru tahun ini.

Sejak ia mula beroperasi pada Januari 2005, program berbuka puasa mula mendapat tempat di hati jamaah untuk bersedekah di surau yang berkapasiti sekitar 200 orang ini.

Terletak hanya di tepi jalan, surau bernilai RM180 ribu ini meriah dengan program kuliah setiap malam, aqiqah 3-4 kali setahun, ceramah bulanan, program berbuka puasa bersama anak yatim dan sebagainya.

Pengerusi JK Surau ini ialah Tuan Hj Sapawi Thussin, manakala Setiausahanya ialah Tuan Hj Omar Tompang (019-8625282 – gambar) yang menjadi penggerak utama kemajuan dan pengimarahan surau ini bersama AJK yang lain.

Laluan ke surau ini :

Bagi saudara yang tidak pernah ke surau ini, untuk gambaran lebih jelas, adalah baik dan lebih mudah bergerak dari terowong yang tidak jauh di hadapan Masjid Negeri.

Selepas terowong itu, saudara akan mendapati dua bulatan. Jalan terus setelah melalui bulatan pertama, dan belok kiri selepas bulatan kedua.

Surau berada tidak jauh di sebelah kiri pinggir jalan.

Di pinggir jalan ke surau ini terletak premis jualan kereta terpakai – Siddqi Auto milik salah seorang jamaah surau – ust Zulhazmi Osman.

Manakala di belakang premis itu terdapat bangunan sekolah agama rakyat, iaitu Pusat Pendidikan Islam an-Nur.

Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah seperti tahun-tahun sudah diamanahkan menyusun jadual berkenaan.

Untuk hari sabtu hingga khamis, tazkirah diadakan sejurus selepas solat zuhur, manakala pada hari jumaat diadakan sebelum azan kira-kira ja 11.50 pagi hingga 12.20 tengahari.

Seperti yang dipraktikkan beberapa tahun kebelakangan, tazkirah tidak terhad kepada tajuk-tajuk Ramadhan, bahkan mencakupi pelbagai topik.

Harapan kami agar saudara dapat menyebarkan maklumat ini.

Untuk hari ini, tazkirah akan disampaikan oleh Ust Jamiatul Ikhwan dari USIA.

MINGGU 1

01 Sept (Isn) Ust Hj Jamiatul Ikhwan Asngadi – USIA – Puasa Yang Diterima Allah
02 Sept (Sel) Ust Hj Nor Azamuddin Umar – Maktab Sabah – Infaq Ke Jalan Allah
03 Sept (Rab) Datuk Hj Mokhtar Rapok  – MNS – Tadarrus & Khatam Al-Quran
04 Sept (Kha) Ust Hj Muchlish Ali Kasim – MNS – Riwayat Hidup Imam asy-Syafii
05 Sept (Jum) Ust Hj Md Iyen Atim – Kg Likas – Larang & harus Mengumpat
06 Sept (Sab) Ust Hafizullah Ubaidah – SMK Teknik – Mengimani Qadha & Qadar
07 Sept (Aha) Ust Mahadzir Jamil – PUSPA – Peranan Terhadap Bekas Penagih

MINGGU 2

08 Sept (Isn) Dr. Mohd Razin Hassan – Hospital Likas – Penyakit Kanak-Kanak
09 Sept (Sel) Ust Bungsu Aziz Jaafar – UiTM – Kenali Fahaman Islam Liberal
10 Sept (Rab) Ust Hj Md Noor Kasah – JHEAINS – Mencegah Kemungkaran
11 Sept (Kha) Ust Hj Md Mursal Muchtar – MNS – Tuntutan Solat Berjamaah
12 Sept (Jum) Ust Hj Nahar Hj Matamin – Masjid Negeri – Surah al-Ikhlas
13 Sept (Sab) Dr. Hj Kassim Mansor – UMS – Pengurusan Kewangan Keluarga
14 Sept (Aha) Ust Abu Hurairah Abd Rahman – USIA – Taubat Kepada Allah

MINGGU 3

15 Sept (Isn) Dr Hj Mingu Jumaan – JPKNS – Portal Maklumat Islam
16 Sept (Sel) Ust Nik Anwar Zakaria – SMKA Kota Kinabalu – Hakikat Jin
17 Sept (Rab) Tuan Hj Jaafar Walad – KPDN & HEP – Hak Pengguna Islam
18 Sept (Kha) Ust Mansuruddin Batubara – Tmn Sempelang – Dakwah Non Muslim
19 Sept (Jum) Ust Hj Norazamuddin Umar – Maktab Sabah – Mencari Malam Qadar
20 Sept (Sab) Ust Zulkifli Mustafa – Maktab Sabah – Membentuk Keluarga Beriman
21 Sept (Aha) Idris Kassim – Agnsi Kaunseling Pgurusan Kredit – Mengurus Hutang

MINGGU 4

22 Sept (Isn) Khairul Anuar Johari – BPR – Kemusnahan Akibat Rasuah
23 Sept (Sel) Ust Hj Ghazali Sulaiman – Kg Pasir Putih Putatan – Dosa & Pahala
24 Sept (Rab) Ust Hj Muchlish Ali Kassim – Masjid Negeri – Solat Jamak & Qasar
25 Sept (Kha) PDRM – IPD Karamunsing – Jenayah Juvana
26 Sept (Jum) Ust Hj Awwaluddin Nasution – JHEAINS – Muhasabah Ramadhan
27 Sept (Sab) Ust Sarip Adul – UMS – Menangani Stress Menurut Islam
28 Sept (Aha) Ust Zulhazmi Osman – Taman Austral – Perang Ahzab

29 Sept (Isn) Ust Hj Jamiatul Ikhwan Asngadi – USIA – Huraian Takbir Raya

Maghrib saya berkuliah di surau an-Nur Taman Limauan. Sebagaimana dijanjikan seminggu lalu, malam ini kuliah akan ditumpukan soal pelaksanaan solat tarawih.

Perbahasan merujuk kepada kertas kerja yang disusun oleh Ust Hj Muchlish dalam kursus ‘Pengurusan Solat Tarawih Yang Berkesan’ di Masjid Negeri setahun lalu.

Ia bermula dengan maksud qiyam Ramadhan, sejarah tarawih, pendapat-pendapat imam mazhab yang empat berdasarkan dalil-dalil yang kukuh serta penjelasan beberapa masalah yang melanda umat Islam bertitik tolak soal tarawih.

Rupanya tengah-tengah kuliah tu, banyak SMS dan ‘miss call’ masuk ke dalam talian.

Semua SMS bertanya tentang keputusan melihat anak bulan. Ada yang tidak tahu saya sudah tidak di Istana Negeri lagi. Ada yang tahu tapi menganggap saya masih ada ‘orang dalam’ di sana.

Memang ada, dan memang saya dah tau awal. Cuma saya katakan eloklah tunggu pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Selepas solat isyak, sebagaimana masyarakat Islam lain di mana saja, kami menanti pengumuman. Ketika itu lebih 10 panggilan bertalu-talu masuk bertanya hal yang sama. Belum lagi SMS-SMS yang masuk.

“Tolong SMS keputusan berpuasa”

“Sudah confirm esok puasa ka??”

“Bagitau kalau nampak anak bulan k”

“Tuan ada meneropong anak bulan kah tadi?”

“Tuan, bila puasa?’

“Ana nak tanya anak bulan nampak tak? Sure confirm esok posa?”

“Cemana puasa ka esok”

“Bila puasa”?

“Nampak anak bulan?”

Tunggu ja la pengumuman.

Begitulah manusia. Semua mau cepat.  Sembahyang mau cepat. Ceramah mau cepat habis. Makan cepat. Sebab tu ada mee segera. Mati ja mau lambat. Kalau boleh tak mau mati pun.

Saya cuma nampak satu saja. Bila dapat tau awal, boleh tarawih awal, boleh awal habis, boleh moreh cepat. Kalau lambat makan, nanti makanan sejuk.

Heh. Makan punya pasal.

Sebagaimana yang diatur oleh Che’gu Jamil sejak seminggu dua lepas, kami sekali lagi berziarah ke QEH.

Waktunya sama,  solat asar di Masjid Negeri Sabah dan bergerak bersama ke hospital.

Walaupun ziarah berlangsung setiap minggu, tetapi kali ini lebih ramai, kira-kira 30 orang, dan ada buah tangan yang ditaja oleh BTC.

Terima kasih banyak.

Kali ini sasaran ditujukan ke tingkat 3 dan 2 di bangunan utama hospital, manakala kaum ibu pula bergerak di bangunan lama berdekatan dengan surau.

Oleh kerana peserta yang ramai, pergerakan ziarah dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Bagi saya sendiri pula, pengalaman untuk kali ini, saya bertemu dengan pesakit dari WP Labuan, yang rupa-rupanya keluarga sebelah emak.

Apabila memperkenalkan diri dan keluarga saya, serta merta air matanya mengalir.

Entah apa sebabnya. Che’gu Jamil memujuk beliau bersabar dan bertenang.

Hj Imran Ladis, 65 tahun berasal dari Kg Patau-Patau 1 dikesan sakit susah membuang air kecil. Beliau ditemani oleh anak perempuannya yang sudah berkeluarga dan menetap di Kg Ayer, di Bandar Seri Begawan Brunei.

Jika tiada aral, sehari dua ini dia akan keluar dan boleh kembali ke kampung.

Insya Allah, program seterusnya pada 14 Sept bersamaan 14 Ramadhan nanti.

Di Taman Ketiau, sejak seminggu lalu saya sudah berjanji untuk hadir ke majlis ini.

Herda pernah saya ajar mengaji 10 tahun lalu di Kg Sembulan Tengah.

Suasana majlis itu petang semalam, dipenuhi dengan semangat kekeluargaan dan kemesraan.

Herda selamat ditunangkan dengan Mohd Nazarudin Abu Kasim, 23 tahun yang berasal dari Kg Air Molek Melaka.

Perbincangan ditetapkan. Permintaan pihak perempuan untuk belanja hangus hanya sebanyak RM6 ribu saja.

Bagi saya itu bersesuaian dan sederhana.

Permintaan pihak lelaki pula agar majlis pernikahan dilangsungkan pada hujung Mac 2009.

Kedua-dua permintaan itu diterima baik oleh kedua-dua pihak.

Permintaan saya pula, saya sangat berharap Herda akan menutup aurat sebagaimana penampilannya dahulu dia mengaji di hadapan saya, dan beramal dengan Islam.

Selamat bertunang, jaga tunang baik-baik dan masa 6-7 bulan sebelum bernikah diisi dengan mendalami ilmu kekeluargaan dan menjadi suami isteri yang baik.

Balik dari Bukit Padang tengahari semalam, tiba di lampu trafik Petagas, jalan raya sesak teruk.

Entah apa puncanya, kerana ia hari bercuti. Laluan yang sama kalau petang hari bekerja pun tidak sesesak ini.

Saya menyimpang mengikut laluan Kampung Contoh, ke Tg Dumpil, Pasir Putih dan ke Taman Darius. Di Taman Darius ini, lorong-lorong kecil juga sesak teruk.

Saya membatalkan hajat untuk singgah ke tamu Putatan apabila melalui kesesakan begini.

Perjalanan pulang ke rumah sejauh 15km tengahari tu mengambil masa hampir sejam.

Petang, kembali pula ke PASTI Taman Sempelang. Laluan menuju ke pusat bandar agak lancar. Keluar dari PASTI jam 2.40 petang, saya sudah berjanji menghadiri majlis pertunangan seseorang yang ada hubungan keluarga juga di Taman Ketiau. Janji saya jam 3 petang.

Saya mengambil keputusan melalui jalan baru Penampang, kemudian ikut jalan kampung Ulu Putatan untuk mengelak kesesakan teruk. Saya tiba di sana hampir jam 3.30 petang!

Jam 4 pula saya terpaksa keluar dari majlis kerana janji untuk ziarah Hospital Queen Elizabeth bersama Masjid Negeri dan NGO Islam yang telah diatur.

Saya agak, punca utama kesesakan ini akibat keghairahan awam yang berpusu-pusu ke premis Hypermarket Servay yang baru dibuka tepat 31 Ogos di bangunan baru di Putatan ini.

Tambahan pula, lampu trafik sudah terbahagi empat simpang berbanding 3 simpang sebelum ini.

Apabila saya kembali melalui di jalan ini untuk ke QEH, saya lihat sudah ada dua anggota trafik mengawal lalu lintas.

Saya berharap pihak trafik akan terus berkawal, memandangkan hari ini umat Islam mula berpuasa dan kebiasaannya pekan Putatan menjadi sasaran umat Islam membeli juadah berbuka.

Esok pula hari bekerja. Entah bagaimana pula sesaknya nanti.

Menjelang Ramadhan, selalu kita diperingatkan oleh tuan-tuan guru berkenaan kelebihan-kelebihan beramal ibadah di dalam bulan yang penuh barakah ini.

Ini termasuklah juga dalam masalah bersedekah dengan harta dan wang ringgit.

Petang tadi, dalam satu majlis ringkas, Ust Nasaruddin Mat Isa melancarkan waqaf untuk Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Hikmah, Taman Sempelang.

Betapa Ust Nasaruddin menjelaskan dalam keadaan apa sekalipun, ahli mesti digerak dan disedarkan tentang kepentingan berkorban, termasuklah wang ringgit.

Di seluruh dunia, institusi waqaf sangat berkesan antara lain untuk mewujudkan institusi pendidikan. Satu contoh yang ulung ialah seperti Universiti al-Azhar di Mesir yang digerakkan melalui waqaf.

Di sinilah letaknya kelebihan PAS sebagai gerakan Islam, mentarbiyah ahlinya dalam keadaan susah dan senang untuk menyumbang kepada parti dan Islam itu sendiri.

Ahli gerakan Islam mesti lembut hati untuk berkorban termasuk wang ringgit walaupun PAS sedang memerintah, memimpin dan menyertai beberapa kerajaan negeri.

Selain melancarkan dana waqaf PASTI, Ust Nasa juga diberikan penghormatan untuk merasmikan bangunan PASTI ini yang disaksikan oleh semua AJK PAS Kawasan Putatan dan para guru PASTI.

Sebagai satu motivasi, Ust Nasa turut memberikan sumbangan kewangan kepada PASTI ini melalui Cikgu Abd Hamid Abu Bakar, Pengerusi PASTI Kota Kinabalu.

Untuk rekod, bangunan PASTI ini telah pun dibeli sejak beberapa tahun lalu dengan harga RM165 ribu.

Pihak jawatankuasa dana waqaf masih memerlukan sumbangan umat Islam di mana jua berada untuk membantu dengan menghulurkan sumbangan kewangan.

Sila hubungi Setiausaha PASTI Kawasan, Ust Muhasibi : 013-8600545 atau Bendahari PASTI Kawasan, Ust Wan Zaidel : 019-8807232 untuk maklumat lanjut.

Ambillah kesempatan sempena bulan Ramadhan yang barakah ini, sementelahan lagi bagi penjawat awam ada bonus menanti sebelum raya nanti.

Pastikan sebahagian bonus itu disalurkan ke dana waqaf ini.

Artikel berkaitan : https://abunuha.wordpress.com/2008/08/16/pasti-al-hikmah-sembulan/

Pagi tadi berlangsung hari ujibakat PASTI Peringkat Pantai Barat 2008 di Madrasah Nurul Hikmah, Bukit Padang.

Ujibakat ini menemukan bukan saja pelajar PASTI di sekitar Pantai Barat Sabah, tapi juga para ibu bapa dan guru-guru.

Walaupun di tengah bandaraya Kota Kinabalu, hari ini masyarakat bertumpu menyaksikan perarakan kemerdekaan peringkat Negeri Sabah, para ibu bapa pelajar memilih untuk hadir ke sini, dan tidak berganjak daripada menemani serta memberikan sokongan kepada anak masing-masing.

Saya agak, tidak kurang juga 100 ibu bapa hadir menyaksikan majlis ini.

Acara ini berlangsung selama dua jam setengah dan dirasmikan oleh Cikgu Abd Hamid Abu Bakar, selaku Pengarah PASTI Kota Kinabalu.

Antara acara yang dijalankan dalam pertandingan uji bakat ini ialah syarahan, azan, khutbah, hafazan, nasyid dan bercerita.

Anak dari PASTI al-Aqsa Taman Limauan ini, (gambar kiri) yang baru berumur 4 tahun, boleh menghafaz dengan baik surah as-Sajadah hampir habis.

Jangan main, ramai ustaz ustazah dan para imam sekalipun yang tidak hafaz surah ni.

Tetapi anak ini mampu membacanya walaupun terpaksa dipujuk beberapa kali dan ditemani oleh ibunya di hadapan hakim.

Bermacam gelagat dapat disaksikan terutama apabila pengacara memanggil peserta-peserta kecil ini agar tampil ke hadapan.

Ada yang menangis, ada yang takut, ada yang berani, ada yang terpaksa ditemani ibu-bapa atau gurunya.

Ada juga yang terpaksa dipujuk dengan bermacam janji, tujuannya supaya tampil ke hadapan.

Apabila menyaksikan majlis ini dari awal, saya dapat merasakan pertandingan seumpama ini antara lain kesannya bakal membina keyakinan diri terhadap anak-anak kita.

Berani tampil ke hadapan untuk mempertahankan agamanya melalui apa saja cara yang ditetapkan.

Berkhutbah, berpidato, bernasyid dan sebagainya.

Tahniah kepada semua pemenang dan guru-guru PASTI yang menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak ini.

Tidak lupa para ibu bapa yang memberi galakan dan sokongan serta semua yang memberikan sumbangan terhadap kejayaan PASTI keseluruhannya.

Begitu juga para sahabat yang diamanahkan sebagai hakim bagi setiap acara yang dilangsungkan, mudah-mudahan masing-masing mendapat komisyen di atas kebaikan dan kejayaan yang dicapai oleh anak-anak ini.

Para penyumbang hadiah yang bermurah hati menghulurkan pelbagai bentuk, memberikan motivasi dan semangat kepada para guru dan anak-anak ini terus maju dalam kehidupan mereka.

Semoga dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

Kita doakan semoga anak-anak ini akan menjadi pejuang-pejuang Islam masa depan, mempertahankan Islam yang ada di dalam diri mereka.

Dengan izin Allah, kehidupan mereka ini tidak akan sia-sia.

Bagi pihak seluruh AJK, kepada ibu bapa yang hadir, sejuta kemaafan, kami menyedari beberapa kekurangan yang berlaku. Insya Allah akan dipertingkatkan.

Harapannya bukan kelemahan-kelemahan kecil yang dijadikan perbalahan tetapi kebaikan dan keuntungan yang diperolehi oleh anak-anak itulah yang wajar ditonjolkan.

Di luar dewan pertandingan, tidak ketinggalan para sahabat menyediakan meja-meja jualan.

Eh, kurma sajad pun ada. Beli, jangan nda beli. Esok puasa.

%d bloggers like this: