Archive for 5 September 2008


Alhamdulillah,  setelah berbulan menyusun dan merancang, tolak tambah bahagi darab, Konvensyen Pendakwah Negeri Sabah Kali Ke-3 tiba lagi.

Ia dianjurkan oleh JAKIM Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS dan seperti biasanya dibuat di Dewan Kinabalu, Kompleks Tabung Haji Sembulan.

Konvensyen ini idea asalnya bermula dalam mesyuarat Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah pada 2005 atau awal 2006. Secara terperincinya dicetuskan oleh Datuk Hj Md Safari Abd Manan yang menjadi AJK syukbah.

Mesyuarat yang dipimpin oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim  selaku pengerusi bersetuju dengan cadangan itu dan memutuskan agar diperincikan oleh beberapa AJK yang lain.

Cadangan asalnya hanyalah mengadakan konvensyen atau pertemuan para pendakwah di peringkat Kota Kinabalu. AJK yang diamanahkan mencari penaja akhirnya bertemu dengan Pengarah JAKIM Sabah ketika itu iaitu Tuan Hj Paimuzi Hj Yahya yang memberi kerjasama 200% terhadap projek ini.

Antara AJK Syukbah Dakwah yang terlibat ialah Ust Hj Abdullah Din, Che’gu Jamil Dayan, Ust Hj Nor Azamuddin Umar, Ust Md Khidir Ishak dan Ust Hj Nahar Matamin sendiri.

Tuan Hj Paimuzi memberi respon luar jangka, apabila beliau mempersoalkan kenapa hanya untuk Kota Kinabalu?

Akhirnya beliau memberikan janjinya bahawa JAKIM Sabah akan memberikan sepenuh komitmen untuk melaksanakan projek ini bukan setakat Kota Kinabalu tetapi seluruh Sabah sekaligus menanggung sepenuhnya kos yang jumlahnya tidak sedikit.

Sejak itu kerjasama diberikan oleh AJK kami yang akhirnya bertungkus lumus bersama warga JAKIM Sabah, memerah otak memikirkan tema, peserta, penceramah, pengisian, bengkel dan sebagainya.

Alhamdulillah, ia berjaya dilaksanakan dan kali ini sudah masuk tahun ke-3.

Seperti sebelum ini, program dijalankan dalam bulan Ramadhan mulai petang tadi, sehingga tengahari ahad akan datang.

Insya Allah, setelah pendaftaran di Kompleks Tabung Haji, Sembulan petang tadi, malam ini akan bermula majlis perasmian selepas solat tarawih.

Perasmian akan disempurnakan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan.

Tema konvensyen kali ini ialah Memperkasa Aqidah Remaja. Jadi pendakwah yang dijemput kali ini dipilih dari kalangan yang dekat dengan remaja dan belia juga.

Semoga Ramadhan memberi kekuatan kepada semua pendakwah yang hadir dan membawa tips-tips berharga daripada para pembentang. Insya Allah. Jumpa di sana!!

Pagi ini saya memohon kebenaran ketua saya untuk keluar menziarahi keluarga Pakcik Md Rosdi bin Kapang di Kg Gadong, Kimanis dimana anak ketiganya bakal melanjutkan pelajaran ke Mesir esok.

Saya bersama Ust Zulhazmi dan Cikgu Abd Hamid bergerak kira-kira jam 9 pagi dan singgah di petronas Papar untuk membeli sedikit buah tangan.

Pakcik Md Rosdi baru sebulan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Likas. Sebelum ini beliau terlantar sakit menderita penyakit ganji yang tidak boleh dikesan oleh doktor selama 4 tahun dan terpaksa berubat di Indonesia.

Isterinya Puan Siti Sarah Darus bekerja di sebuah kilang papan di Kimanis dan mereka mempunyai 4 orang anak. Amiruddin, 24; Maslinah, 22; Masri, 20 dan Zuraidah, 16.

Amiruddin sedang melanjutkan pelajaran dalam tahun 3 Universiti al-Azhar, Kaherah dalam bidang Syariah. 

Maslinah baru setahun tamat diploma tahfiz al-Quran JAKIM dengan keputusan jayyid jiddan dan sekarang bertugas di Pusat Pendidikan Islam an-Nur, Taman Sempelang.

Masri yang bakal berangkat ke Mesir esok pula berhasrat menyambung dalam bidang yang sama dengan abangnya.

Zuraidah ketika ini menuntut di SMAI Pantai Manis, sekolah dibawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam tingkatan empat.

Keempat adik beradik ini menurut pemerhatian saya adalah anak-anak yang cerdik. Selain Zuraidah yang masih di sekolah menengah, ketiga-tiga abang dan kakaknya terdahulu juga menuntut di sekolah yang sama.

Perjalanan kami yang turut disertai oleh Maslinah itu diiringi dengan hujan lebat di sepanjang jalan.

Masuk ke lorong menuju rumahnya, yang mereka huni sejak 1990, kereta ust Zul berhadapan dengan lumpur kira-kira 10 minit dan kemudian terpaksa berjalan kaki pula kira-kira 5-10 minit lagi.

Rumah Pakcik Md Rosdi letaknya terpencil dan bersendirian. Rumah yang berhadapan dengan sungai Kimanis itu, berdiri usang tanpa elektrik bahkan tandas dan bilik air pun tiada.

Sekiranya mereka hendak mandi, kalau ada air hujan mereka mandi di rumah. Jika tidak ada terpaksalah mereka mandi dan mengqadha hajat di sungai. Memang tidak ada orang di kawasan ini kecuali sebuah rumah lain yang juga letaknya berjauhan.

Kata Maslinah, dahulu mereka ada generator tetapi sudah rosak beberapa tahun lalu. Kini semua aktiviti malam, belajar, makan, membaca buku dan sebagainya disinari dengan pelita sahaja.

Ingatan saya, ini kali ketiga saya datang ke mari.

Pertama kali hadir bersama anak isteri berhari raya 2-3 tahun lalu, air mata saya mengalir melihat penderitaan, kesusahan mereka.

Untuk keluar ke jalan besar, mereka perlu berjalan kaki kira-kira hampir sejam.

Tambahan lagi, kesusahan mereka ketika itu hanya makcik Siti Sarah yang bekerja sedang pakcik Rosdi jauh di Indonesia terlantar dan pergi berubat.

Saya tidak pasti penyakitnya ketika itu, tetapi menurut pakcik kepada Maslinah, ia tidak sedarkan diri dalam tempoh yang lama.

Ketika bertugas di Maahad Tahfiz dahulu, Maslinah adalah pelajar saya. Semua kami senang dengannya. Orangnya cerdik, rajin belajar, baik hati tapi pendiam.

Bukan sekali kami hendak berkunjung ke rumahnya, sekurang-kurang untuk berhari raya, tetapi dia berkeras dan berat hati menerima kami.

Apabila berkunjung ke rumahnya 2-3 tahun lalu, barulah saya tahu kesengsaraan hidup mereka.

Kata Maslinah, hanya tinggal rumah mereka lagi belum mempunyai bekalan api.

Alasan yang mereka terima, rumah mereka jauh dari rumah orang lain dan hanya sebuah, perlu empat tiang elektrik untuk sampai ke rumah.

Bayangkanlah, di rumah ini hidup konon pada zaman sains dan teknologi tanpa elektrik, tanpa peti sejuk, tanpa tandas, tanpa kipas dan segalanya tiada.

Tidak terfikir di benak, kehidupan anak murid saya begini rupanya.

Saya katakan kepada Maslinah, apabila mereka semua sudah berjaya kelak, merekalah yang bakal merubah keadaan keluarga mereka nanti.

Orang-orang politik yang tidak berperikemanusiaan, sangat suka apabila melihat rakyat dalam keadaan jahil, bodoh dan miskin supaya boleh diperalatkan apabila diperlukan satu masa nanti.

Kesabaran mereka menghadapi kesusahan, kesengsaraan dan penderitaan mudah-mudahan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Dari kiri : Rosdi, Maslinah, Masri & pakcik mereka

Artikel ini saya catatkan untuk memohon jasa saudara pembaca teramat sangat untuk menghulur bantuan baik kepada Masri dan Amiruddin yang melanjutkan pelajaran di Mesir, yang saya tahu kesusahan mereka, atau juga kepada keluarga Pakcik Rosdi.

Allah SWT jua yang membalas kebaikan yang saudara hulurkan.

Ingatlah, putaran roda hidup ini sentiasa berpusing.

NAMA : MASRI MOHD ROSDI (881109-12-5249) NO AKAUN HSBC : 092-138320-025

NAMA : MOHD ROSDI BIN KAPANG. NO AKAUN PUBLIC BANK 4-8694872-25

Sumbangan saudara pada bulan Ramadhan ini sesungguhnya menggembirakan mereka. Ingatlah orang Islam ini seperti satu tubuh.

Ramadhan ertinya panas membakar. Membakar hangus dosa kesalahan setelah beramal di dalamnya.

Dalam perjalanan ke SMK Kinarut petang semalam, tidak jauh tepi simpang LTAKK, ada sebuah kereta jenis mazda terbakar di belakang sebelah kanan.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan berlaku di kiri dan kanan lebuhraya pintas, kerana masing-masing bergerak perlahan melihat asap putih menyelubungi jalan di hadapan.

Ntah apa dosa kereta itu.

Masjid Jamek Putatan

Gambar masjid pada 2 Disember 2006, sebelum dibaik pulih.

Apabila saudara dari arah Kota Kinabalu, tiba di kawasan Pekan Putatan, bertemu dengan simpang Putatan-Ramayah di sebelah kiri, beberapa minit itu akan tiba di Masjid Jamek ini yang terletak di tepi jalan Kg Ulu, Putatan.

Apa yang saya ketahui, masjid ini begitu sentimental kepada umat Islam di kawasan ini kerana mempunyai latar sejarah yang tersendiri.

Sebelum masjid yang ada ini dibangunkan, di tepinya terdapat masjid lama yang kecil sahaja, yang usianya mungkin hampir atau lebih 100 tahun. Wallahu a’lam.

Bangunan yang ada sekarang asalnya kecil juga, tidak sampai muatnya 200 orang.

Tetapi di sayap kiri dan kanan sudah ditambah dan dibesarkan, malahan lebih luas dari kawasan dalam.

Mungkin keseluruhan kapasiti mencapai 500 jamaah.

Awal solat, jamaahnya lebih 200 orang, melimpah hingga ke sayap kiri dan kanan.

Tetapi selepas lapan rakaat, tolaklah separuh.

Bacaan imamnya sederhana, mendayu, seronok mendengar.

Cuma salawat bilal kurang sempurna, banyak lompang di sana-sini.

Maklumlah, orang tua. Tetapi semangatnya itu saya hormati.

Hampir separuh solat, saya baru menyedari kehadiran Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Yahya Hussein, yang juga ADUN Petagas iaitu kawasan ini.

Saya maklum Datuk Yahya sering berziarah ke masjid-masjid di kawasannya ini terutama pada Ramadhan.

Saya juga pernah diberikan jadual pergerakan solat Jumaat beliau di masjid-masjid kawasannya. Bagi saya ini adalah sesuatu yang baik.

Terdapat juga beberapa pegawai tinggi kerajaan bersolat di sini, saya pasti mereka bukan mengiringi Timbalan KM itu, tetapi mereka memang ahli qaryah di sini.

Antaranya Dr Hj Mingu Jumaan, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri dan Datuk Hj Mohd Yaman Hj Ahmad Mus, Pengarah Balai Seni Lukis Negeri dan beberapa pegawai yang lain.

Solat selesai sepenuhnya jam 9 malam. Di hujung corong speaker, tuan imam marah-marah kepada anak-anak yang berlari dan buat bising di dalam masjid, serta tidak menunaikan solat.

“Orang yang solat orang yang baik, orang yang tidak solat itu orang tidak baik”. Geram bunyinya.

Saya dijemput menyampaikan ceramah Ramadhan : “Puasa Mendidik Akhlak Mulia kepada pelajar tingkatan 1 dan 2 SMK Kinarut petang semalam.

Agak saya mungkin pelajar yang ada di hadapan saya ini lebih kurang 300 orang.

Sudah lama saya tidak berceramah di hadapan pelajar sekolah. Tidak salah yang terakhir pada awal tahun  ini di SK Tansau, Ketiau.

Bagi saya, banyak karenah berceramah di hadapan pelajar zaman sekarang ini.

Dengan gelagat mereka yang tidak mendengar kata, tidak memberi perhatian serta membuat hal di belakang, hal itu sangat menyakitkan hati.

Mungkin saya tidak begitu sesuai berceramah di hadapan pelajar.

Tetapi sebagai pendakwah, saya mesti menyahut cabaran dan tidak berkira.

Saya boleh mengagak apa akan berlaku apabila saya berceramah di sekolah-sekolah.

Kebiasaannya, apa yang dirancang untuk diceramahkan tidak menjadi 100 peratus. Mungkin separuh atau lebih sedikit. Selainnya, terpaksa mengawal suasana pelajar yang terlalu ramai di hadapan.

Berhadapan pelajar sekolah menengah zaman ini, tidak hairan ada guru kita dengar ditimpa stres yang dahsyat kerana tidak mampu menyerap tekanan. Setiap hari berhadapan pelajar yang degil.

Saya menyuruh para pelajar menutup mata mereka pada awal ceramah dan menguji mereka dengan beberapa soalan. Antaranya :

1) Siapa yang tidak puasa hari ini? Hanya beberapa orang yang angkat tangan.

2) Siapa yang tidak solat subuh? Ini ramai yang mengaku, mungkin satu pertiga

3) Siapa yang tidak solat zuhur? Pun ramai

4) Lelaki : Siapa yang selalu ponteng solat jumaat? Ada la beberapa kerat, mungkin sekitar 10 orang.

5) Siapa tidak pandai baca al-Quran? Pun ramai angkat tangan.

Saya meminta para guru yang hadir mengambil perhatian terhadap reaksi pelajar mereka terhadap soalan saya tadi.

Sebagaimana pernah saya tulis, ramai orang berpuasa tetapi tidak solat. Bagaimana Allah terima ibadah yang tiang rumahnya sudah roboh dan runtuh.

Sedihnya ramai remaja umat Islam yang mengaku berpuasa tetapi meninggalkan solat.

Faham ka tidak nii?