Archive for 26 September 2008


BELAJAR TAKBIR RAYA

Saya hampir terlupa jika tidak diingatkan oleh Abang Rushdi di SPANS untuk belajar takbir raya tengahari rabu.

Nampaknya, yang hadir itu mula-mula malu juga untuk bertakbir. Tetapi sesudah diberikan contoh, enjin masing-masing mula panas.

Antara kesilapan sebutan yang agak ketara apabila ramai menyebut : “walillah, ilham” sedangkan sepatutnya : “walillaahilhamd”

Kemudian, bait : “wa’a’azzajundah”, bukannya “wa’a’azzazundah”. Ah, susah menulis ruminya.

Dalam artikel ‘risalah Aidil Fitri, ada saya sertakan lafaz takbir raya bahasa Arab untuk ingatan semua.

Risalah itu saya yang susun atas permintaan KPP kami Ust Musally dan diterbitkan oleh JHEAINS untuk edaran umum.

Sebenarnya, jika kita menghayati bait-bait takbir raya itu, kita bukan sepatutnya menangis.

Tetapi kita akan menjadi hamba yang semakin bersemangat kerana pertolongan Allah datang membantu tenteraNya menewaskan musuh tentera ahzab. Perang Ahzab berlaku dalam bulan Syawal.

Demikian jika kita maklum maksud sebenarnya.

Dalam banyak perang yang disertai Nabi SAW, perang Ahzab ini ditulis sehingga menjadi nama surah. Tidak ada surah Uhud, atau surah Badar tetapi surah al-Ahzab yang tidak begitu diingat orang.

Bahkan lafaz takbir itu secara praktiknya untuk menaikkan semangat juang, bukannya membawa kesedihan.

Mungkin lagunya itu yang membuatkan kita bersedih, ataupun ketika tengah mengalunkannya, kita terkenang kampung halaman, tidak dapat balik kampung dan sebagainya.

Jika di Mesir, seingat saya takbir raya di sana lurus saja. Macam tiada perasaan langsung.

Kami pelajar Malaysia ini, mau juga mendengar dan mengalunkan ‘takbir ala melayu’ itu.

Masjid (Sementara) Pengiran Rauf, Kg Pengalat Besar Papar

Masjid asal kampung ini telah dirobohkan 3 tahun lalu.

Entah apa dan di mana silapnya sehingga sejak 3 tahun lalu belum ada apa-apa perkembangan sehinggalah baru-baru ini tapak asalnya sudah mula diusahakan semula untuk pembinaan masjid baru.

Sejak diroboh itulah, penduduk kampung menggunakan Dewan Serbaguna ini sebagai tempat bersolat 5 waktu, tarawih, hari raya dan semua program yang dahulunya di dalam masjid, dibawa ke sini.

Walaupun begitu, hikmahnya tetap ada.

Kata sahabat saya di sana, dewan serbaguna ini dahulu memang serbaguna.

Majlis baik-baik pun selalu dibuat, majlis yang tidak berapa baik pun tidak juga ada kurangnya.

Ada mesyuarat, seminar, ceramah, tari menari dan sebagainya. Maklumlah namanya pun serbaguna.

Tapi sejak dijadikan masjid sementara yang sudah masuk 3 tahun, ia tidak lagi seserba guna seperti dahulu.

Acaranya hanya yang berkait dengan iman dan islam. Alhamdulillah.

Harapnya, apabila masjid baru sudah siap dan kembali ke sana, jangan pula dewan ini kembali seperti dulu.

Biarlah dia menjadi dewan yang berguna. Jangan jadi dewan nda guna.

Sahabat karib saya semasa mengaji di Mesir dulu, kebetulan jadual gilirannya menjadi imam pada malam itu.

Agak lama tidak bertemu dengan Ust Ma’ruf Ishak ini.

Beliau berasal dari Selangor dan kini bertugas di SK Pekan Papar.

Bahasa Selangornya hampir hilang apabila berbual dengannya. Rancak berbahasa brunai.

Sebagaimana yang saya ketahui, bacaannya sangat bagus. Walaupun hanya memilih ayat yang pendek-pendek, – kerana merai masyarakat – tetapi mutu hafalannya terjaga.

Kalaulah bukan kerana kualiti pembesar suara yang tidak begitu baik, kerana bunyi berdengung – sudah tentu suara merdunya akan benar-benar ketara dan menonjol.

Saya doakan masjid baru cepat-cepat siap untuk kemudahan dan keselesaan jamaah.

Cuma bila ada masjid baru nanti, mahu pulalah kita melihat jamaahnya bertambah daripada apa yang ada sekarang.

Sempena malam ke-27 Ramadhan malam ini, saya turunkan semula satu catatan lama yang saya tulis pada 28 Ramadhan di Kaherah Mesir pada tahun 2000.

Artikel ini menceritakan pengalaman berharga saya dan beberapa sahabat, menyertai solat tarawih bersama Shaikh Muhammad Jibril di Masjid Amru al-Ash, Kaherah Mesir.

Artikel itu saya kirimkan kepada beberapa orang ketika itu, antaranya Hj Alimin Jasman dan kemudian beliau fowardkan ke dalam emel group mat-salleh.

Tulisan itu saya cari dalam arkib mat-salleh dan saya edit semula untuk tatapan pembaca blog.

Harapan saya mudah-mudahan saudara-saudara turun ke masjid yang berdekatan, khususnya Masjid Negeri Sabah (bagi yang berada di sekitar KK).

Bagi masyarakat Islam di Mesir dan di negara-negara Arab umumnya, malam 27 Ramadhan adalah tarikh yang ditunggu-tunggu bagi mereka.

Malam itu merupakan pesta ibadah terbesar tahunan mereka, berbanding kesibukan masyarakat kita yang menumpukan persiapan hari raya.

Berikut artikel berkenaan :

Assalamualaikum,

“Malam tadi 27 Ramadhan, bersama beberapa orang kawan, antaranya dengan Ust Hj Vikri Agus, saya menunaikan solat tarawih di Masjid Amru Al-Ash, masjid tertua di Mesir dan Afrika.

Masjid Amru al-Ash, dibina pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar al-Khattab pada tahun 21 Hijrah, bersamaan tahun 642M sempena penaklukan negara Mesir yang diketuai oleh Sayyidina Amru al-Ash bersama 60 sahabat ketika itu.

Untuk rekod, Masjid Amru adalah masjid Jamek (masjid besar) yang keempat dibina dalam sejarah Islam selepas Masjid Nabi, Basrah dan Kufah.

Antara sahabat Nabi yang menyertai Amru ialah Abu Zar al-Ghiffari, Zubair al-Awwam, Miqdad al-Aswad, Ubadah bin Somit, Abu Darda’ Uqbah bin Amir dan lain-lain.

Selepas waktu asar, kami mula menaiki pengangkutan keretapi transit aliran ringan yang di sini dipanggil metro untuk ke lokasi.

Manusia berpusu-pusu masuk, sukar dibayangkan kesesakan yang teramat sangat. Terlalu sempit dan berhimpit.

Muka saya sendiri tersepit di celah-celah antara tiang tempat berpaut dengan badan orang arab yang besar-besar itu.

Waktu yang singkat menyebabkan kami hanya berbuka puasa di dalam Metro sekitar jam 5 petang dengan tamar yang diedarkan oleh hamba-hamba Allah yang bersedekah di dalam Metro itu.

Sampai di sana, ribuan manusia yang tadinya masuk bersama-sama, kini turut keluar bersama.

Himpunan ummat mula jelas kelihatan dengan manusia yang sudah berada lebih awal.

Waktu ini masjid yang rasanya boleh memuatkan 5 ke 6 ribu jamaah sudah penuh dan ramai jamaah yang sedang mendirikan sembahyang maghrib di luar masjid.

Yang datang petang ini pun sudah tidak dapat masuk ke dalam lagi. Kami terpaksa bersesak-sesak, untuk berada di kawasan paling hampir dengan bangunan masjid.

Itupun hanya dapat bersolat di tanah yang tidak rata, yang menuruni anak bukit.

Bayangkanlah, bagaimana berdiri di tanah yang tidak rata untuk sepanjang solat maghrib hingga selesai witir.

Di kiri dan kanan perkarangan masjid, di belakang dan sepanjang jalan dan lorong yang berhampiran dipenuhi oleh lautan manusia yang ingin berjamaah bersama dan berimamkan Shaikh Muhammad Jibril.

Seorang pemuda berbangsa arab yang berada di sebelah saya bercerita, beginilah setiap tahun. Katanya, ada jamaah yang berada di dalam masjid sudahpun berada di sana sejak semalam lagi.

Beriktikaf dan menempah tempat lebih awal di dalam masjid.

Saya tanyakan, adakah mungkin jumlah kesemua jamaah hari ini mencapai 100 ribu? Katanya, lebih. mungkin dalam 200 ribu. Saya tidak menolak jangkaan itu. Manusia terlalu ramai.

Sementara menunggu waktu isyak yang semakin gelap, dengarnya, bekalan elektrik terputus, udara bandaraya Kaherah dipenuhi dengan laungan takbir, tahmid, dan zikir-zikir memuji Allah SWT.

Suasana itu sangat mengharukan. Paduan suara manusia yang memecah kesunyian.

Hampir waktu isyak, bekalan elektrik pun pulih sediakala. Manusia ratusan ribu itu sekali lagi bertakbir dengan keadaan itu. Waktu Isyak masuk sekitar 6.20 petang.

Suara muazzin sangat merdu dan menusuk.

Solat diketuai oleh Shaikh Muhammad Jibril, seorang imam dan qari yang sangat disayangi dan ditunggu-tunggu oleh rakyat Mesir. Beliau merupakan seorang Qari Mesir yang terkemuka.

Setiap 2 rakaat ada tazkirah ringkas. Suara Sheikh Jibril sangat stabil dan menarik. Bacaan-bacaan ayat diulang-ulang jika bersesuaian.

Sesekali kedengaran jamaah yang teresak-esak mendengar ayat-ayat azab neraka dan kelalaian manusia.

Tiba ke witir rakaat yang ketiga. Inilah ditunggu-tunggu. Ketika ini jam sudah melewati 9.45 malam. Semuanya menunggu qunut yang dibacakan. Sungguh syahdu jika dapat menghayati maknanya.

Qunut berjalan selama 1 jam 10 minit. Doa-doa meminta keampunan dan pujian kepada Allah dipanjatkan. Sekali lagi suara esakan dan tangisan kedengaran.

Ia semakin kuat dan jelas kedengaran.

Solat berakhir sekitar 11.05 malam. Puas. Tapi kepulangan ke rumah sangat menyeksakan. Sekali lagi manusia bersesak menaiki Metro. Lebih sesak daripada ketibaan tadi.

Apapun kami selamat tiba di rumah jam lewat jam 1 pagi.

Hari ini. Sheikh Jibril diumumkan berangkat ke Malaysia memenuhi undangan di sana. Begitulah imam kesayangan ummah. Wassalam”.

Setiap tahun, selepas Ramadhan, adalah pihak-pihak tertentu akan menerbitkan himpunan doa qunut yang telah dibacakan oleh Shaikh Muhammad Jibril itu.

Saya ada membeli sebuah buku kecil itu yang memuatkan doa qunut 27 Ramadhan 1419 (tahun sebelumnya).

Dalam buku itu ada dimuatkan tentang kata-kata allahyarham Ahmad Deedat yang mengatakan bahawa sepatutnya Muhammad Jibril layak menjadi imam di Masjidil Haram.

Jika beliau menyertainya berdakwah ke pelusuk dunia, nescaya ramai akan cair dan memeluk Islam dengan izin Allah.

Kalau tidak salah saya pernah mendengar satu statistik bahawa jumlah kehadiran jamaah malam itu mencecah sejuta orang. Wallahu a’lam.

Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral

Selesai saja berbuka puasa dan solat maghrib di Tuaran, saya bergegas pula ke sini.

Kali ini adalah giliran imam tarawih saya yang terakhir untuk Ramadhan kali ini di surau ini.

Suasana dan bibit-bibit hari raya sudah mula terasa. Tuan Hj Omar sudah pun mewar-warkan solat hari raya seperti mana tahun-tahun sudah akan diadakan lagi di surau ini tepat 7.30 pagi.

Bercerita berkenaan kesedaran dan kempen yang dilakukan secara kolektif oleh para jamaah dalam bab bersedekah Ramadhan, Tuan Hj Omar memberitahu saya kutipan dan sumbangan Ramadhan saja kali ini mencecah lebih RM80 ribu!

Alhamdulillah.

Ia sudah tentu satu kejayaan yang membanggakan bagi sebuah surau di negeri Sabah walaupun kebanyakan jamaahnya terdiri daripada sahabat-sahabat Semenanjung.

Tetapi ini satu perkembangan yang penting dan wajar disebarkan bagi mewujudkan suasana dan minat yang serupa di kalangan surau dan masjid lain, tambahan lagi masjid atau surau yang terletak di dalam atau berdekatan kawasan taman.

Kalau masjid dan surau di kampung-kampung pula, budaya bersedekah perlu dipupuk walaupun sedikit.

Saya pernah mendapati sebuah masjid dalam Kota Kinabalu yang berdekatan dengan taman perumahan, tetapi hanya mempunyai kutipan mingguan jumaat sekitar belasan ringgit sahaja.

Sangat menyedihkan. Saya berharap surau dan masjid lain perlu datang dan belajar dengan JK surau ini. Ia sudah tentu tiada salahnya walaupun surau ini baru beberapa tahun dibangunkan.

Untuk sebaran. Baik untuk disebarkan di masjid / surau untuk diedarkan sebelum atau pada pagi raya

RISALAH AIDIL FITRI

1) MUQADDIMAH
– Di dalam agama Islam terdapat 2 perayaan iaitu Hari Raya Fitrah dan Haji;
– Menurut syariat, menyambut hari Eidil Fitri didahului dengan puasa, zakat, takbir dan solat raya.

2) MAKNA ‘EID (HARI RAYA)
– Eid ertinya kembali.
– Dinamakan begitu kerana disebabkan berulang pada setiap tahun;
– Atau disebabkan kegembiraan yang timbul dengan kembalinya hari itu;
– Atau disebabkan terlalu banyak nikmat daripada Allah pada hari tersebut keatas hamba-hambaNya;
– Atau umat Islam kembali dalam keadaan bersih daripada dosa setelah melakukan amal ibadah, taubat dan sebagainya sepanjang Ramadhan;
– Atau juga kerana umat Islam kembali kepada asal tidak berpuasa seperti sebelum Ramadhan.

3) SOLAT EIDIL FITRI
– Disyariatkan pada tahun kedua selepas hijrah;
– Hukumnya sunnat muakkad dan dituntut melakukan secara berjamaah, tetapi sah jika bersendirian;
– Dituntut mendirikannya kepada semua mukallaf – lelaki, perempuan, dan orang bermukim atau bemusafir;
– Tidak sunat azan dan iqamah, tetapi diseru dengan : “assolaatu jaami’ah”;
– Waktunya bermula dengan terbitnya matahari hingga gelincirnya, tetapi yang utama ialah ketika matahari naik setinggi galah, kerana itulah waktu yang selalu didirikan solat oleh Nabi SAW.
– Mempunyai 2 rakaat, dimulakan dengan takbiratul ihram, kemudian membaca doa iftitah, kemudian bertakbir sebanyak 7 kali dalam keadaan mengangkat tangan sehingga bersetentang dua bahunya seperti mana takbiratul ihram.
– Ketujuh-tujuh takbir itu dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana dan disunnatkan membaca tasbih :

سبحان الله والحمد لله ولآ إله إلا الله والله أكبر

– Kemudian membaca isti’azah dan surah al-Fatihah serta dibaca bersamanya satu surah atau beberapa ayat;
– Apabila berdiri pada rakaat yang kedua, hendaklah bertakbir sebanyak 5 kali, tidak termasuk takbir yang dibaca ketika bangun dari sujud;
– Kelima-lima takbir itu juga dipisahkan dengan bacaan tasbih di atas;
– Kesemua takbir tambahan itu hukumnya sunnat sahaja, jika terlupa melakukannya dan terus membaca al-Fatihah, maka takbir-takbir tadi luput dan tidak perlu diulangi semula dan solatnya tetap sah;
– Boleh didirikan di masjid atau di padang, yang afdhal ialah tempat yang luas dan memuatkan semua orang yang bersembahyang.

4) KHUTBAH HARI RAYA
– Dilakukan selepas solat hari raya, berlawanan dengan khutbah Jumaat;
– Semua rukun dan sunnat khutbah sama seperti khutbah Jumaat;
– Khutbah pertama sunnat dimulakan dengan 9 kali takbir, dan khutbah kedua dengan 7 kali takbir.

5) BERTAKBIR PADA HARI RAYA
– Sunnat bertakbir bermula tenggelamnya matahari pada malam hari raya di rumah, di jalanraya, di masjid dan di pasar dengan suara yang tinggi sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk solat hari raya;
– Pada hari raya puasa, takbir tidak lagi disunnatkan selepas solat raya, bahkan sunnatnya berakhir apabila imam mengangkat takbiratul ihram.
– Lafaz takbir :

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أْكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ. لآ إِلَهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الحْمَدُ.
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكَْرَةً وَأَصِيلا، لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَلا نَعْـبٌدُ إلا إِيَّاهُ، مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَو كَرِهَ الْكَافِرُونَ. لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ.

6) ADAB-ADAB PADA HARI RAYA
– Mandi dan memakai pakaiannya yang cantik dan bersih;
– Disunnatkan datang lebih awal ke masjid pada pagi hari raya;
– Pada hari raya puasa, disunnatkan makan sedikit sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya;
– Disunnatkan pergi ke tempat sembahyang atau masjid dengan melalui satu jalan dan kembali dengan jalan yang lain.

7) MENZIARAHI KUBUR
– Menziarahi kubur tidak disunnatkan pada waktu-waktu tertentu seperti hari raya sahaja, bahkan dilakukan pada bila-bila masa;
– Para ulama bersepakat bahawa sunnat bagi golongan lelaki menziarahi kubur orang Islam;
– Bagi golongan perempuan, makruh menziarahi kubur kerana dibimbangi berlaku tabarruj (solekan yang berlebihan ketika keluar rumah), menjerit-jerit dan mengangkat suara;
– Walaubagaimanapun disunnatkan menziarahi kubur Rasulullah SAW dan kubur para Nabi serta orang soleh, dengan syarat mereka keluar dengan tidak dalam keadaan berhias, tidak mengangkat suara dan bersesak-sesak dengan golongan lelaki.

8 ) ADAB MENZIARAHI KUBUR
– Disunnatkan memberi salam kepada penghuni kubur dengan berkata :

السلام عليكم دَارَ قَومٍ مُؤمِنِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَآءَ اللهُ بِكُمْ لاحِقُونَ

“Salam sejahtera buat kamu semua wahai penghuni di rumah orang-orang beriman. Sesungguhnya kami dengan izin Allah akan datang menyusul pula bersama-sama kamu”.
– Datang dengan menutup aurat, bersopan, tidak berbuat bising atau bergelak ketawa, serta tidak melaungkau atau duduk di atas kuburan;
– Tidak melakukan perkara khurafat seperti pemujaan, atau meninggalkan wang ringgit di tanah kubur dan sebagainya;
– Dibaca di sisi mereka ayat-ayat al-Quran kerana rahmat Allah akan turun ketika ayat dibaca;
– Setelah selesai membaca al-Quran, hendaklah mendoakan kebaikan untuk mereka; pahala bacaannya dihadiahkan kepada ruh-ruh mereka;
– Apabila doa diterima Allah, maka simati akan mendapat manfaat daripada pahala bacaan yang dihadiahkan kepadanya.

9) PUASA ENAM HARI DALAM BULAN SYAWAL
– Disunnatkan berpuasa 6 hari dalam bulan syawal, berdasarkan perintah Nabi SAW : “Sesiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka ia seumpama berpuasa sepanjang tahun”.
– Puasa 6 hari dalam bulan Syawal boleh dilakukan berselang seli tetapi sebaik-baiknya dilakukan secara berturutan selepas hari raya pertama;
– Melewatkan puasa sunnat syawal akan menimbulkan rasa malas, sedangkan bersegera melakukan ibadah adalah lebih afdhal.
– Menurut ulama’ terkemudian dalam Mazhab Syafie seperti al-Khatib asy-Syarbini dan Imam Ramli, orang yang menunaikan puasa kerana qadha, nazar atau sebagainya dalam bulan syawal akan memperolehi pahala puasa sunnat syawal.

10) ADAB BERTAMU
– Berziarah pada masa yang sesuai dan disenangi tuan rumah;
– Masuk ke rumah setelah diizinkan dan memberi salam;
– Menjaga mata, jangan liar memandang ke sana ke mari;
– Tidak meminta sesuatu yang boleh menyusahkan tuan rumah;
– Tidak berziarah ke rumah yang boleh mendatangkan fitnah seperti berdua-duaan tanpa mahram dan sebagainya;
– Tidak berziarah semata-mata tujuan memuaskan kehendak perut;
– Jangan duduk terlalu lama atau terlalu bersegera hendak pulang;
– Meninggalkan tuan rumah dengan salam dan berjabat tangan sesama lelaki atau sesama perempuan;

11) ADAB MENERIMA TETAMU
– Memuliakan tetamu dengan bermanis muka dan kata-kata yang sopan;
– Memenuhi hajat tamu jika ia memerlukan bantuan mengikut kemampuan;
– Tidak membezakan layanan antara tetamu yang berada dan sebaliknya;
– Tidak menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah supaya dipuji orang;
– Memberi jamuan walaupun ala kadar sebagai penghormatan;

12) TUNTUTAN BERMAAF-MAAFAN
– Memohon maaf terhadap sesama manusia adalah satu sikap yang dianjurkan agama, tambahan lagi kepada orang tua dan ahli keluarga;
– Sementara orang yang suka memberi maaf termasuk orang bertaqwa. Firman Allah : “(Orang yang bertaqwa itu) ialah, orang yang menafkahkan harta ketika senang dan susah, menahan marah, dan suka memaafkan orang lain; Allah suka orang yang berbuat baik”. (Ali Imran : 134)
– Sabda Nabi SAW : “Sesiapa yang memaafkan kesalahan orang, ketika ia mampu membalas maka Allah akan memberinya maaf pada hari kesulitan (hari kiamat)”.

13) LARANGAN BERJABAT TANGAN ANTARA BUKAN MAHRAM LELAKI – PEREMPUAN
– Rasulullah SAW tidak pernah berjabat tangan dengan wanita bukan mahram, kecuali dengan para isterinya;
– Islam melarang perbuatan itu dengan tujuan pencegahan awal, supaya jangan sampai timbul fitnah, atau keinginan seksual atau keseronokan;

14) HUKUM MEMBERI DUIT RAYA
– Harus hukumnya bersedekah duit raya sebagai satu kegembiraan terutama kepada anak-anak kecil dan orang susah. Sabda Nabi SAW : “Hendaklah kamu memberi hadiah, nanti akan timbul rasa kasih sayang”.
– Sabda Nabi SAW : “Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima”.
– Walaubagaimanapun, para ibubapa hendaklah mendidik anak-anak agar jangan suka meminta-minta dengan orang lain.

15) MENERUSKAN AMALAN YANG BAIK DALAM RAMADHAN KE DALAM BULAN SYAWAL
– Antara ibadah yang sewajarnya diteruskan adalah seperti rajin membaca al-Quran, solat berjamaah, suka bersedekah, berpuasa sunnat, mendengar ceramah dan tazkirah, mendirikan solat sunnat seperti solat tahajjud, tasbih, hajat, witir, rawatib, rajin ke masjid dan sebagainya.

Dikeluarkan oleh :
Bahagian Penyelidikan & Informasi,
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Kinabalu.
Sept 2008 / Ramadhan 1429H

%d bloggers like this: