Maklumat ini dihantar oleh sahabat saya, tuan Hj Salman Hj Amir dari WP Labuan, yang menyampaikan khabar mendebarkan buat pasangan ini.

Hj Mustakim Maisar & Noranimah Abd Ghani adalah teman sekeluarga kami di Mesir, khususnya di Mansoura.

Mustakim berasal dari Sandakan dan Noranimah dari Kuala Penyu, melangsungkan perkahwinan di Sabah ketika masih belajar di Mesir pada tahun 2003.

Kini mereka telah mempunyai tiga cahayamata, Nurul Humairah, Md Daniel dan yang terkini Nurul Izzah.

Allah hendak menduga mereka, apabila bayi ke-3 yang dilahirkan Noranimah pada jam 1.50 pagi, 26 Ogos lepas, di Hospital Selayang,  terpaksa ditahan dalam tabung kerana kelahiran pra-matang iaitu hanya 7 bulan dalam kandungan.

Ketika lahirnya, berat bayi yang dinamakan Nurul Izzah – sempena PRK Permatang Pauh – hanya 1.5kg ketika lahir dan ketika maklumat ini diterima, beratnya sedikit bertambah kepada 1.6kg.

Akibat komplikasi jantung yang lemah, Izzah terpaksa ditahan dan ibunya terpaksa berulang-alik untuk menyusukan bayinya.

Sebagai tanda sokongan dan solidariti, terutama sahabat-sahabat azhariyyun yang sezaman, saya pohon kita masing-masing mendirikan solat hajat serta doakanlah kesejahteraan dan keselamatan untuk bayi ini.

Mudah-mudahan pulih dan kembali ke pangkuan keluarga setidak-tidaknya menjelang raya ini. Seterusnya menjadi anak yang berbakti kepada orang tuanya.

Juga kedua-dua ibubapa ini – sahabat kami – semoga diberikan ketabahan dan kesabaran. Ini tidak lain hanyalah ujian Allah SWT. Sesungguhnya sabar itulah yang paling indah.