Selepas solat subuh di Masjid Tok Guru di Pulau Melaka, kami mengambil masa untuk bersiar-siar menaiki viva yang kami sewa.

Antaranya kami melewati kawasan Hospital Universiti di Kubang Kerian, di mana Abu Aslam pernah mengaji di sana.

Yang kami agak lama singgah ialah di Pondok Pasir Tumboh.

Sepanjang hidup saya, ini adalah kali kedua saya menziarah tempat pengajian sistem pondok.

Kali pertama berziarah di Terengganu beberapa tahun lalu, menghantar dan menziarahi pelajar Sabah di Dungun kalau tidak salah saya.

Tetapi kali ini suasananya sedikit berbeza. Pondok Pasir Tumboh menempatkan lebih 700 pondok dan lebih 1800 pelajar yang datang dari dalam dan luar negara.

Pengajian agama berasaskan sistem pondok begitu terpelihara dan subur sekali di negeri tadahan wahyu ini.

Ia adalah benteng terakhir umat Islam yang cintakan ilmu pengetahuan berasaskan tradisi menadah kitab.

Di pondok Pasir Tumboh yang terkenal ini yang telah wujud sejak tahun 1940an lagi,  sebenarnya tidak asing bagi sesetengah pelajar dari Sabah.

Tanpa menyebutkan nama, sebenarnya ramai guru dan ustaz di Sabah yang pernah menuntut di pondok ini satu ketika dahulu.

Malahan ada maklumat pernah satu ketika, penuntut Sabah pernah mencapai 30-40 orang pada satu-satu masa.

Namun kini hanya tinggal beberapa orang yang masih bertahan termasuk seorang anak Ahli Parlimen dari Sabah.

Ketika kami hadir di sana, kebanyakan pelajar sedang bercuti antara 15 Sya’ban hingga 15 Syawal iaitu selama 2 bulan.

Tidak lupa, kami juga mengunjungi seketika pondok waqaf  Sabah yang ketika ini dihuni oleh Husni Bikat, seorang muallaf dari sebelah Tuaran.