Archive for 25 September 2008


Petang isnin, 22hb sebagaimana dijadualkan kami berkunjung pula ke Sekolah Rendah Pendidikan Khas, Jalan Tuaran.

Ia hasil idea Che’gu Jamil agar pihak pendakwah tidak melupakan kanak-kanak istimewa ini.

Ia juga bertujuan membuka  satu  pengetahuan baru dalam berdakwah, bagaimana para guru terutama guru agama berinteraksi dan mengajar mereka perkara berkaitan agama.

Programnya dinamakan Ihya Ramadhan bersama Sekolah Rendah Pendidikan Khas – kanak-kanak cacat pendengaran.

Lazimnya, apabila seseorang cacat pendengaran, secara pakejnya dia juga seorang yang bisu.

Majlis ini sekali lagi anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dengan penaja Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan BTC Katering.

Sebelum ini pada minggu lepas, hampir 40 pelajar muslim lelaki dan perempuan dibawa ke kedai BTC di bandaraya KK untuk mencuba dan memilih sepasang baju melayu dan baju kurung.

Nampaknya anak-anak ini gembira sakan mendapat pakaian mengikut warna kesukaan mereka sendiri.

Program ihya Ramadhan petang itu dihadiri oleh YB Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Belia & Sukan Negeri yang juga ADUN Tamparuli. 

Turut hadir Imam Besar Masjid Negeri, Tuan Hj Nahar Matamin, serta aktivis masyarakat, Datuk Hj Safari Abd Manan.

Menurut maklumat yang diberikan, sekolah ini dahulu terletak di Punturuh Penampang sejak tahun 80an lagi.

Ia kemudiannya dipindahkan ke sini pada bulan Ogos 1998.

Sekolah ini mempunyai 80 orang pelajar yang datang dari seluruh pelusuk negeri seperti Kudat, Lahad Datu, Pensiangan dan sebagainya.

Guru Besar sekolah ini sekarang ialah Cikgu Md Azman Ubin.

Pelajar yang tinggal di asrama seramai 44 orang, manakala selebihnya datang ke sekolah berulang alik yang tinggal berdekatan di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Putatan.

Yang seronoknya melihat acara inilah terdapat beberapa kelainan berbanding majlis lain.

Antaranya melihat pelajar yang senyap sunyi, tidak terdapat bunyi bising kecuali sedikit-sedikit.

Kenapa? Sebabnya mereka bisu.

Kemudian, semua ucapan pengerusi majlis dan guru besar diiringi dengan terjemahan ke bahasa isyarat.

Seronok juga melihat keterroran cikgu penterjemah tu melakukan bahasa isyarat dengan pantas sekali.

Sementara pelajar Islam menerima sepasang baju hari raya, yang bukan Islam turut menerima buah tangan dari PUM & JAKIM.

Satu perkara yang menimbulkan persoalan di kepala saya.

Ketika kami mendirikan solat maghrib di surau sekolah, pelajar-pelajar lelaki yang cacat pendengaran ini juga turut serta.

Saya boleh fahamlah kalau mereka bergerak berdiri ke rukuk, atau rukuk ke sujud yang nampak di mata mereka.

Tapi macamana la agaknya mereka bangun dari sujud?

Mereka bukan dengar suara imam, kerana mereka pekak.

Dan mereka juga tidak melihat imam kerana berada dalam keadaan sujud.

Mungkin ada yang kuis mereka isyarat suruh bangun…

 

 

 

Masjid Nurul Iman, Kg Pasir Putih Putatan

Masjid yang dibina pada 1985 ini adalah masjid terbesar dalam daerah Putatan. Ia mampu menampung tidak kurang seribu jamaah pada satu-satu masa.

Masjid ini berada di tengah-tengah kampung, dan berdekatan dengan kawasan perumahan seperti Taman Pasir Putih, Taman Teluk Villa dan Taman Bersatu, menyebabkan pengimarahan terutama solat 5 waktu sangat subur di masjid ini.

Solat isyak dan tarawih malam itu yang dipimpin oleh Ust Md Jumat Abd Razak al-Hafiz membuktikan kehadiran tidak kurang 600 jamaah membanjiri masjid hingga melimpah ke ruang sayap masjid.

Bagi saya sendiri, masjid ini mempunyai kenangan sentimental buat pelajar Maahad Tahfiz.

Ketika kami menuntut dahulu, terdapat satu subjek ad-dakwah wal khitobah iaitu dakwah dan khutbah.

Setiap pelajar tahun akhir mesti menyediakan satu teks dan kemudian praktikal khutbah yang diambil markah oleh guru kami, Ust Hj Ghazali Sulaiman.

Praktikal khutbah pula dibuat secara real, di masjid pada hari jumaat. Kesemua kami berenam ketika itu menjalani praktikal khutbah di masjid inilah.

Selain itu, masjid ini juga menjadi medan kami mengasah bakat kepimpinan dengan dilatih menjadi imam solat tarawih pada tahun 1996-1998.

Jadi, masjid ini memang tidak asing buat kami sehinggakan saya sendiri begitu rapat dengan beberapa jamaah regular hingga kini, kerana hubungan yang dijalin sejak lebih 10 tahun lalu.

Tetapi saya sedikit ralat dengan keadaan masjid ini yang tidak mempunyai kuliah harian, walaupun yang hadir solat maghrib dan isyak setiap malam tidak kurang 50-70 orang.

Saya pernah ‘terpaksa’ menawarkan diri untuk membantu berkuliah di sini tetapi tiada jawapan diterima.

Satu lagi hal yang menghairankan saya malam itu, apabila sebelum pulang, saya tercari-cari tabung masjid.

Yalah, menjelang Ramadhan yang sudah makin ke hujung ini, usaha sedekah wajarlah ditingkatkan.

Malangnya saya tidak terjumpa tabung berkenaan sehingga saya terpaksa bertanya kepada salah seorang jamaah.

Katanya tabung berada di bilik yang berkunci yang terletak di kanan hadapan dalam bangunan masjid.

Saya katakan bahawa ini adalah satu kesilapan apabila masjid memutuskan untuk menyimpan tabung di dalam bilik setiap malam Ramadhan.

Mustahil dalam 5 ke 6 ratus jamaah yang hadir, tiada seorang pun yang tidak terfikir untuk berderma.

Paling koman pun, insya Allah masjid boleh dapat seratus ringgit setiap malam.

Sekarang ini kesedaran umat Islam untuk bersedekah semakin baik bahkan meningkat, apatah lagi jika JK masjid bijak memainkan emosi jamaah dengan kepentingan berbelanja ke jalan Allah SWT terutama dalam Ramadhan ini.

Jika mereka risaukan tabung dicuri atau dirosakkan anak-anak nakal, inisiatif lain boleh diusahakan. Yang penting, janganlah disimpan di dalam bilik.

Sebelum itu, ketika selesai bertarawih, saya dihampiri oleh dua beradik berumur 8 dan 11 tahun. Entah apa halnya, mungkin tertarik melihat saya membawa kamera, menggambar suasana masjid.

Berlaku interaksi antara saya, bertanya soal keluarganya. Cerita dua beradik itu, mereka tinggal di kawasan ini dan ke masjid setiap malam, dihantar oleh bapa mereka.

Apabila saya tanya bapa mana, dia kata bapa di rumah. Selepas menghantar mereka ke masjid, bapanya pun pulang dan menjemput kembali sekitar 9.30 malam.

Apabila saya tanya kenapa bapa tidak ikut sembahyang, si abang menjawab, bapa cina. Rupanya muallaf.

Tapi muka dua beradik ini memang ikut muka emak, tiada langsung tanda-tanda sepet pun.

Katanya, bapa kerja mekanik dan emak kerja jawab telefon di airways lounge dekat Giant Putatan. Kata si abang, tempat tu ada jackpot. Wallahu a’lam.

Bermacam-macam saya tanya, dan kedua beradik itu seronok bercerita.

Kata mereka, mereka berpuasa penuh tapi emak dan bapa langsung tidak sembahyang, bahkan tidak puasa pun. Bapa penat katanya.

Mujur tinggal bersama nenek dan atuk mereka bersama. Neneklah yang mengajar mengaji dan sembahyang di rumah.

Manakala atuknya sudah uzur, tidak mampu solat berjamaah kerana menghadapi kanser.

“Nenek, atuk sembahyang?” Tanya saya. “Sembahyang”.

Harap rakan-rakan di sana terutama pihak JK Masjid yang diketuai oleh Tuan Hj Matin dan Yayasan Amal pimpinan Hj Khairan dan Ust Ridhuan yang berkubu di Taman Pasir Putih boleh ambil perhatian dan berziarah ke rumah mereka.

Saya ada maklumatnya.

Selepas kelas mengaji di Bukit Padang selesai, kira-kira jam 5 petang ahad saya meluangkan masa setengah jam berziarah ke wad 525, Sabah Medical Centre (SMC).

Hampir sebulan tidak bertemu Nor Muhammad @ Ajay Kumar Patel.

Nampaknya dia semakin sihat, sudah boleh duduk dan bergerak sendiri di kerusi roda. Bahkan dia sendiri dengan kerusi rodanya itu, keluar masuk antara bilik wad dan kaunter di luar.

Walaubagaimanapun, anggota tubuhnya sebelah kiri masih belum berfungsi lagi.

Kali in dia sudah sendirian, abangnya yang selama ini menjaganya sudah balik ke Labuan. Kata Muhammad, abangnya itu kaki botol dan sering memujuknya kembali kepada agama lama.

Ceritanya, dia kuat hati hendak berpuasa tetapi dilarang oleh doktor kerana badannya memerlukan tenaga.

Saya terpaksa menolak ajakannya berbuka di sana kerana sudah berjanji balik ke rumah.

Lagipun di rumah semua ahli keluarga isteri saya akan berbuka bersama.

Saya turut menghubungi Puan Masnah yang menjadi keluarga angkat Muhammad di Bintulu dan memberi peluang mereka berbual seketika.

Nampaknya Muhammad begitu gembira sekali dan bercakap dengan Puan Masnah dan suaminya.

Saya keluar dengan janji akan datang lagi. Insya Allah.

%d bloggers like this: