Archive for 16 September 2008


MEMBERI MAKAN ORANG YANG BERBUKA PUASA

Banyak masjid dan surau sudah mula galak mengadakan majlis iftar jama’ie atau berbuka puasa beramai-ramai.

Walaubagaimanapun satu hakikat yang tidak boleh tolak ialah, ada jenis manusia yang malu-malu atau segan atau keras hatinya untuk ke masjid dan surau.

Yang malu dan segan itu kerana beranggap dia tidak layak atau bukan orang susah sehingga merasa tidak wajar memakan sedekah di masjid atau surau.

Sementara yang keras hati itu, hatinya masih belum terbuka untuk ke masjid atau surau.

Tidak kurang juga yang lebih selesa berbuka di rumah dengan keluarga kerana lebih bebas dan santai.

Sebagai orang masjid dan surau, hendak kita biarkankah mereka ini tanpa sentuhan dakwah kita?

Bukankah Nabi SAW ada berpesan, memberi hadiah, sedekah atau pemberian itu boleh mengukuhkan kasih sayang?

Saya teringat, masa duduk di kampung dahulu, budaya bertukar-tukar makanan sungkai ini sangat subur dalam kehidupan berjiran.

Saya merasa ini budaya yang baik dan wajar diterapkan apabila hidup di bandar atau di taman-taman.

Apalah salahnya kalau kita menyedia sedikit peruntukan untuk bersedekah kepada jiran kita, misallah dalam 10 rumah di kanan, kiri, depan, belakang, atas atau bawah (jika duduk rumah pangsa atau apartment) sekali dalam Ramadhan ini untuk jiran kita itu berbuka puasa, terutama mereka yang liat ke surau dan ke masjid itu.

Kita hantar bungkusan makanan ini menurut kadar kemampuan kita, ke rumah mereka dengan sentuhan  kasih sayang sesama Islam.

Ketika berbuka sebentar tadi, saya teringat peristiwa dan budaya di kampung itu.

Saya sudah sebutkan kepada isteri saya untuk melakukan ini sekurang-kurang sekali sebelum balik kampung berhari raya nanti.

Dengan mempelbagaikan lagi kaedah praktik sedekah dan memberi makan orang yang berbuka puasa ini berdasarkan hadith yang kita ketahui berkenaan kelebihannya, maka dengan ini saya mencadangkan.

Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang semisal orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (HR. At Tirmizi)

RUMAH TUAN HJ ABU ASLAM, KINGFISHER UJANA LIKAS

Sebelum tiba Ramadhan, team usrah bersetuju untuk terus mengadakan usrah dalam bulan Ramadhan dengan konsep yang sedikit berbeza.

Jika tidak Ramadhan, usrah diadakan pada Isnin malam Selasa selepas solat Isyak; kali ini pada Ramadhan pula diadakan pada Ahad petang, sebelum berbuka puasa.

Berbuka di rumah ahli yang bersedia menjadi tuan rumah dan terus sehingga Isyak dan tarawih.

Tidak lupa masing-masing membawa ahli keluarga untuk saling mengeratkan ukhuwwah sesama ahli keluarga terutama para isteri dan anak-anak yang jarang bertemu.

Untuk kali pertama bulan ini, majlis usrah -berbuka hingga bertarawih – diadakan di rumah Tuan Hj Abu Aslam di Taman Kingfisher Ujana, Likas.

Tidak ada usrah hujung minggu lepas kerana ramai mempunyai komitmen lain.

Sejarahnya, idea pengwujudan team usrah ini disuarakan oleh SU Perhubungan ketika itu, Sdr Ladim Abd Rahman pada tahun 2005 dan Ust Abdullah Din dipohon untuk memimpin usrah ini selaku naqib.

Antara pengisian awal ketika itu selain taaruf ialah membaca tafsir surah tertentu dan buku hadith penawar hati.

Antara surah yang sudah ‘diselesaikan’ ialah surah az-Zariyat, an-Nur, Yasin, asy-Syu’ara’ dan al-Hujurat.

Antara nama-nama yang pernah menjadi ahli usrah pada awal kewujudannya dan kini tidak bersama lagi ialah Saudara Kudus, Iskandar, Azman Jupri dan Ladim sendiri.

Ust Abdullah Din pula telah kembali ke Kedah 3 bulan lalu.

Walaupun tidak bersama lagi kerana komitmen lain, harapnya mereka yang disebutkan tadi tetap menyertai usrah walaupun dengan team yang lain pula.

Majlis kami malam itu berakhir pada jam 9 malam dengan suasana hujan lebat di luar sana.

Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menganjurkan Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri pada ketetapan berikut :

Tarikh : 16 September 2008 (Selasa)

Tempat : Masjid Negeri Sabah

Masa : 5.30 petang hingga 10 malam

Tentatif

5.30 petang  -kehadiran orang ramai

6.16 petang  -azan maghrib, solat maghrib dan makan malam

7.25 malam  -azan isyak, solat isyak & tarawih

9.00 malam  -ceramah khas Nuzul al-Quran oleh Prof. Madya Dr Hj Suwaid Hj Tapa (UiTM Sepanggar, Kota Kinabalu)

9.45 malam  -jamuan moreh dan bersurai

UMAT ISLAM DIJEMPUT HADIR