Archive for 30 September 2008


DENGAN INGATAN TULUS IKHLAS

Masjid Jamek Layang-Layangan, WP Labuan.

Masjid ini letaknya betul-betul strategik.

Ia berada di simpang empat, tidak jauh dari tepi pantai. Berdekatan dengan deretan kedai-kedai, taman perumahan dan rumah-rumah kampung.

Sebenarnya, setiap kali hari raya semenjak 2-3 tahun kebelakangan ini, saya seringkali menunaikan solat zuhur atau asar di sini, bertepatan apabila sedang berhari raya dan masuk waktu sembahyang pula. 

Reka bentuk masjid ini serupa reka bentuknya dengan 2 lagi masjid yang saya pernah ziarahi. Kata orang sebiji.

Pertamanya masjid ini, kedua Masjid Telekom Malaysia di Menggatal, KK dan Masjid Sahabat yang terletak di sempadan Sabah & Sarawak.

Masjid Sahabat ini pula benar-benar terbahagi dua. Separuh Sabah dan separuh lagi Sarawak.

Di Masjid Jamek Layang-Layangan yang menjadi destinasi tarawih terakhir bagi 1429 ini, saya diminta menyampaikan tazkirah sebelum tarawih bermula, sementara menanti keputusan rasmi cerapan anak bulan Syawal.

Sebagaimana di Masjid al-Muzakkirullah, saya juga menumpukan tentang sambutan Eidul Fitri.

Masjid Jamek Layang-Layangan ini sememangnya aktif dengan pelbagai program dakwah. Masjid ini terkenal dengan ceramah dan tazkirah harian, mingguan atau yang tidak berkala.

Pada setiap tengahari Jumaat, sebelum azan Jumaat jam 12.10 tengahari diadakan tazkirah. Begitu juga pada malam sabtu tazkirah selepas solat Isyak.

Mereka juga mengadakan kuliah-kuliah selepas maghrib.

Saya menangguhkan tazkirah ringkas kerana signal sudah masuk, menandakan tarawih disambung semalam lagi.

Menjelang subuh tadi, saya diminta kembali untuk menyambung tazkirah yang belum selesai.

Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh JK Masjid, imam dan jamaah yang mengimarahkan masjid ini, khususnya buat Hj Basran, Hj Hamir selaku Timbalan Pengerusi dan S/U Masjid dan lain-lainnya.

 Terima kasih atas undangan.

Masjid al-Muzakkirullah, Kg Lubok Temiang WP Labuan

Ini adalah masjid di kampung saya.

Ia siap sekitar tahun 1990 kalau tidak salah dan dirasmikan oleh YB Dato’ Dr Yusuf Noor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketika itu saya dalam darjah 5 tau 6.

Masjid ini boleh memuatkan 500 jamaah.

Pada awal pembinaannya, bangunan 2 tingkat ini memuatkan masjid di aras atas dan sekolah agama di aras bawah.

Oleh kerana sekolah agama sudah berpindah ke bangunan baru yang lebih besar dan luas, ruang di kawasan bawah masih lagi kosong dan belum dimanfaatkan secara maksima.

Saya ada mencadangkan agar salah satu bilik kelasnya dijadikan kedai gunting rambut.

Masjid boleh mendapat duit sewa daripadanya.

Saya dahulunya bersekolah agama di sini dan pertama kali berkhutbah di masjid ini pada 1995 ketika dalam tingkatan empat.

Malam itu diadakan majlis khatam al-Quran selepas solat tarawih.

Ia dipimpin oleh imam qaryah,  Tuan Imam Awang bin Kamis.

Majlis Khatam al-Quran ini melibatkan lebih 50 peserta terdiri daripada remaja dan belia, beliawanis kampung ini.

Yang menariknya, program tadarrus ini dipantau dan diambil kehadiran oleh JK Masjid.

Peserta yang menghadiri tadarrus kurang 7 hari dikira gagal dan tidak mendapat penghargaan pihak JK Masjid.

Selepas tadarrus, saya mengambil giliran menyampaikan ceramah.

Ceramah saya malam itu berkaitan tadarrus dan khatam al-Quran, kemudian huraian kepada sambutan eidul fitri berdasarkan ‘risalah eidul fitri’ yang saya ada kirimkan dalam blog ini.

Sebelum jamuan makan malam, para peserta tadarrus mendapat cenderamata daripada pihak JK Masjid.

Tidak ketinggalan semua ahli jawatankuasa masjid serta para petugas masjid yang berkhidmat sepanjang Ramadhan.

Semua cenderamata dan saguhati disampaikan oleh Ketua Kampung – Hj Alias Hussin dan Pengerusi JK Masjid – Hj Othman Mahali.

Bagi membantu keselesaan saudara-saudari yang hendak ke Labuan dari tanah besar Sabah atau sebaliknya, saya catatkan jadual perjalanan tambahan sempena hari raya ini.

Secara asasnya, perjalanan Labuan ke Menumbok ialah pada jam 7.30 pagi dan 1.30 petang setiap hari, manakala dari Menumbok ke Labuan ialah pada jam 10.30 pagi dan 4.30 petang.

Jadual tambahan adalah seperti berikut selepas hari raya :

Labuan ke Menumbok jam 7 malam setiap hari 3hb – 8hb Oktober.  Manakala Menumbok ke Labuan jam 9.00 malam setiap hari yang sama 3hb-8hb Oktober.

Walaubagaimanapun, perjalanan 3hb dan 8hb pada 9 malam tidak membawa penumpang kerana khas untuk membawa gas-gas sahaja.

Untuk maklumat lanjut, saudara boleh membaca artikel berkaitan melalui pautan di bawah :

Artikel berkaitan – https://abunuha.wordpress.com/2008/08/19/laluan-darat-ke-labuan/

Sepanjang Ramadhan kali ini, saya ‘berjaya’ tidak ke mana-mana bazar Ramadhan, kecuali ini.

Khabarnya, 28hb itu adalah hari terakhir bazar dibuka di Jalan Dewan, berdekatan dengan bangunan Perbadanan Labuan dan Perpustakaan Labuan.

Saya menyedari kalau pergi ke bazar, sekurang-kurang RM10 sudah terbang.

Kalau setiap hari, habis RM300 selama sebulan.

Itupun kalau sekali bazar, sepuluh ringgit. Biasanya lebih.

Sebenarnya, kalau ikut hati memang banyak hendak dibeli.

Tekak merasa itu sedap, ini sedap. Semua sedap.

Tapi apabila berbuka, seteguk dua gelas air sudah mengenyangkan perut.

Saya sekadar hendak menggembirakan orang tua yang ada di kampung. 

Juga buat anak sulung kami yang berumur 5 tahun kerana dapat menghabiskan 16 hari buat pertama kali berpuasa tahun ini.

Juadah istimewa yang kami beli ialah ayam golek dijual RM18 seekor dan kebab berharga RM3.00 satu.

Tahun ini giliran kampung saya.

Di terminal Menumbok, feri baru tiba jam 9.40 pagi.

Penumpang begitu ramai masuk ke tanah besar Sabah. Masing-masing kembali ke kampung halaman untuk bercuti dan berhari raya.

Kami sekeluarga bersama pembantu rumah selamat tiba di rumah sekitar jam 12.30 tengahari, setelah feri Wawasan Perdana mendarat di Pelabuhan Labuan pada jam 12.10 tengahari seperti yang dijadualkan.

Ketika kereta beratur menuruni feri, saya ternampak kelibat seorang personaliti terkenal negara sedang memandu kereta di sebelah.

Rupanya lagenda bola sepak negara, Hassan Sani turut sekapal.

Perjalanan 140km sehingga ke rumah hanya kami habiskan di dalam kereta, tidak keluar naik ke dalam feri kerana rasa mengantuk yang amat sangat. Sejam setengah di dalam feri tidak terasa.

Insya Allah, saya akan mencuba update blog ini walaupun mungkin tidak sekerap biasa. Maklumlah aktiviti berziarah terutama kepada sanak keluarga perlu lebih diutamakan berbanding hanya terpacak di hadapan komputer.

Dalam kita bergembira, marilah kita mengingatkan sesama diri kita agar bersederhana dalam berhari raya ini. Amalkanlah akhlak yang mulia dalam semua keadaan.

Jangan biarkan anak-anak kita hanya terperap di dalam bilik atau sekadar di hadapan tv daripada melayan tetamu yang berkunjung tiba. Selamat berhari raya.