Archive for 6 September 2008


TARAWIH DI KOTA BHARU

Sebentar lagi, saya akan berangkat ke KL untuk bercuti selama 2 hari.

Bersama dua orang sahabat, kami bercadang untuk ke Kota Bharu, bertarawih dan merasai puasa di negeri Serambi Mekah itu.

Saya kurang pasti sama ada dapat update blog ini atau tidak sepanjang masa di sana. Jika tidak, insya Allah saya akan kembali mengemaskini selewat-lewatnya hari selasa.

Tidak ada rancangan khusus, cuma sekadar bercuti, lantaran harga tiket Air Asia yang murah pada awal mei lalu. Jadi kami memilih Kota Bharu sepanjang 2 hari ini. Jumpa lagi.

Teruskan beribadah…!

Sesi pagi yang menarik perhatian ialah pembentangan kertas kerja oleh Tuan Hj Sahlan Saruddin, Setiausaha Kehormat Dewan Pemuda Masjid Malaysia.

Kertas kerja beliau bertajuk MEMBANGUN GENERASI MUDA MASJID.

Rata-rata peserta mengulas penyampaian beliau yang bertenaga dan menarik.

Beliau berjaya mengajak audien masuk ke dalam dunia remaja dengan menyertakan contoh-contoh kes isu semasa.

Berdasarkan ceramah tersebut, nyata bahawa beliau orang yang berdakwah dan turun ke lapangan, bukan hanya sekadar teori.

Kes-kes yang dinyatakan, menyebabkan beliau berjaya menarik rasa ingin bersama membina dan membantu remaja.

Kertas kerja kedua disampaikan oleh Saudara Shauki Md Radi, pensyarah Sekolah Sains Sosial UMS.

Beliau membentangkan satu analisis kajian berkenaan realiti remaja. Kajian kes yang dirujuk di kalangan belia di WP Labuan.

Walaupun beliau cuba mendedahkan budaya penyelidikan saintifik bagi memahami permasalahan remaja, penyampaian beliau agak formal dan terlalu akademik.

Pembentangan beliau hanya menambah bukti bahawa fenomena yang melanda remaja sememangnya benar dan sudah dijangka.

Selain itu, tidak ada jalan penyelesaian dicadangkan oleh penceramah.

Walaubagaimanapun, pendedahan beliau boleh diambil manfaat oleh peserta apabila kembali ke tempat masing-masing mulai esok.

Sebelah petang, terdapat dua sesi bengkel.

Peserta seramai 170 orang itu dibahagi kepada 10 kumpulan.

Mereka diberikan tugasan berkenaan pembentukan remaja dari sudut diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Kumpulan-kumpulan juga dikehendaki menyediakan cadangan program berkesan untuk menangani masalah remaja.

Malam ini ada bicara remaja melibatkan Ust Bungsu Aziz, Ust Kamaruddin Kassim, Ust Hanafi dan Ust Zainuddin Mahmud.

Esok adalah hari terakhir, di mana terdapat satu lagi bengkel, sidang pleno dan akhirnya majlis penutupan.

Kira-kira jam 2 tadi, saya singgah sekejap ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, melihat-lihat dan meninjau suasana terminal baru sekaligus turut meraikan keberangkatan pergi 34 orang pelajar Sabah yang bertolak ke Mesir petang ini.

Mereka berangkat ke KLIA pada jam 3.35 petang dan kemudian bertolak ke Kaherah 11.45 malam ini juga. Insya Allah dijangka tiba pada jam 5 pagi waktu Mesir.

Mereka ialah 25 orang dari SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, dan bakinya dari SMAI Pantai Manis Papar.

Seperti kebiasaan tahun-tahun lalu, inilah suasana yang dilihat.

Walaupun di terminal baru, memang terasa ramai dan padat di kawasan pendaftaran masuk, dengan ibu bapa, saudara mara, teman sekolah,  orang kampung dan tidak lupa para guru yang turut menghantar ucapan wida’ dan selamat jalan kepada mereka ini.

Kepada semua adik-adik pelajar yang meneruskan pengajian ini, selamat berjuang di bumi para nabi.

Sesungguhnya, kita semua adalah harapan keluarga, guru-guru dan masyarakat Islam seluruhnya untuk memperjuangkan Islam apabila adik-adik kembali semula ke tanahair kelak.

Kalau di Mesir itu, kita mula berfikir untuk melakukan perkara yang tidak sewajarnya, ingat-ingatlah orang tua di kampung.

Ingatlah guru-guru di sekolah. Ingatlah semua umat Islam di seluruh dunia yang mengharapkan kejayaan kita.

Cuba bayangkan, dalam keadaan perasaan kita bercampur baur berangkat ke Mesir, gembira, sedih, takut, gemuruh dan sebagainya; sedarkah kita bahawa ibu bapa kita, sebahagiannya berfikir dan memerah otak untuk mencari belanja tambahan untuk kita.

Kemudian, di Mesir adik-adik akan tahu kelak, semuanya serba bebas. Kita mahu tidur sepuasnya, mahu enjoy semahunya, mahu rajin atau mahu malas, mahu ke kuliah atau relaks di rumah, BEBAS!

Tiada siapa akan peduli dan memaksa kita. Sahabat dan persatuan hanya membimbing, menasihat, mencadang, meransang.

Selebihnya terpulanglah kepada diri kita sendiri.

Cuma ingat-ingatlah wajah ibu yang sudah tua, wajah bapa yang mulai uzur.

Buktikan kemampuan adik-adik untuk mendapat kejayaan dalam pengajian, persatuan dan segala aktiviti yang dianjur.

Kepada adik-adik siswa, nasihat saya, tolong jangan abaikan surau dan masjid. Tolonglah.

Jika adik-adik tinggal di rumah Sabah yang ada surau, tetapi tidak turun  ke surau, jangan haraplah adik-adik akan membantu surau dan masjid apabila kembali ke Malaysia satu hari.

Di sanalah segalanya yang mendidik, melatih dan mentarbiah kita.

Jagalah hubungan kalian dengan semua rakyat Malaysia, terutama dengan Kedutaan Malaysia.

Ingat, apabila kita kembali berkhidmat di tanahair, kita semua akan bertemu dengan mereka semua. Bidang kita cuma satu, iaitu mempertahankan Islam.

Terakhirnya, selalulah kunjungi blog Abu Nuha Corner ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Semalam, Konvensyen Pendakwah Kali Ke-3 Negeri Sabah selamat dilancarkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan.

Majlis semalam yang bermula sekitar jam 9 itu turut dihadiri oleh Ust Hj Abd Aziz Che Yakob, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah dan Ust Sidik Ag Adi, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JHEAINS, serta beberapa pegawai tinggi kerajaan negeri dan persekutuan.

Jumlah peserta ialah 170 orang dari seluruh Sabah, meliputi pelbagai agensi dan NGO. Antaranya ialah peserta  dari JAKIM, JHEAINS, ABIM, Jabatan Pelajaran, JIM, Yayasan Amal, Persatuan Ulama Malaysia, Teratak Fitrah, dan sebagainya.

Sementara itu, Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan dalam ucapan perasmiannya berkata, Pejabat Mufti menyokong penuh program yang dianjurkan dan berharap para peserta dapat menambah ilmu untuk bekalan dakwah.

Katanya, pendakwah yang sebenar bukan semata-mata ceramahnya yang sedap didengar sehingga menimbulkan gelak ketawa audien, tetapi kosong dari ilmu dan hidayah.

Pendakwah yang baik ialah mereka yang boleh menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, jujur serta bergerak aktif dalam masyarakat di mana dia berada.

Selepas rehat semalam, Ust Kamaruddin Kassim dari Pejabat Agama Sungai Petani Kedah membentangkan tayangan gambar gejala sosial di Negeri Kedah khususnya di Sungai Petani serta akiviti praktikal – dakwah lapangan para pelatih sebagai satu lontaran awal kepada para peserta konvensyen kali ini.

Katanya peserta tidak cukup berseminar, berkonvensyen atau hanya di masjid/surau, tetapi mesti turun ke dalam masyarakat terutama berhadapan dengan remaja yang rosak akhlak ini.

Sementara di Dewan Kinabalu berlangsung acara, pihak urusetia sibuk menaip serta membahagi-bahagikan senarai peserta ke dalam kumpulan-kumpulan bengkel untuk slot  petang.

Pagi ini sedang berlangsung ceramah Hj Sahlan Saruddin dari Dewan Pemuda Masjid Malaysia.

Masjid Kg Sembulan.

Terletak di tengah-tengah Kg Sembulan Lama, masjid ini sememangnya makmur sepanjang waktu. Setiap waktu solat ada yang mengimarahkannya.

Solat maghrib isyak pada luar Ramadhan pun mencerah 60-70 orang, manakala malam jumaat mencecah 100 orang.

Pada musim tarawih sebegini, jumlah jamaah sekitar 200-250 orang termasuk jamaah muslimat.

Selepas solat tarawih malam tadi yang diimamkan oleh Tuan Hj Rauzan Hj Hamdan, orang lama dari Johor yang sudah 26 tahun tinggal di sebelah masjid, saya bertemu dan bersembang dengannya.

Beliau adalah pengusaha mee Hilal yang terkenal itu.

Komitmennya dengan masjid ini memang tidak pernah pudar sejak beliau berhijrah ke sini pada 1982 lagi.

Dalam usia 81 tahun sekarang, dia masih gagah membantu mengimamkan solat waktu dan solat tarawih.

Masjid Kg Sembulan ini dibina pada tahun 1952 dan diangkat menjadi masjid negeri.

Pada 1975, apabila Masjid Negeri yang ada sekarang siap dibina, status masjid negeri dipindahkan dari masjid kg Sembulan ini.

Imam masjid ini Datuk Imam Hj Pandin juga secara automatik juga berpindah tugas ke masjid negeri yang baru.

Sejak itulah solat Jumaat di sini ditiadakan, tetapi status masjid diteruskan.

Kata Hj Rauzan pula, Tun Ahmad Rafaee pula adalah TYT pertama yang menunaikan solat Jumaat di masjid ini.

Manakala TYT sekarang, Tun Ahmadshah saban tahun ke mari bersolat tarawih bersama penduduk kampung.

Bercerita tentang tarawih malam ini, memang laju. Jam 8.45 sudah selesai semuanya. Tetapi bagi saya sempurna fatihah dan thoma’ninah sudah kira bagus.

Cuma bacaan solawat ma’mum agak tunggang langgang. Perlu diperbetulkan lagi.

Ketika bertahlil pula, ada lagunya tersendiri. Kata Hj Rauzan, lenggok tahlilnya tak ubah seperti lagu ‘tunang pak dukun’, sebuah lagu tahun 60an ketika Neng Yatimah berlakon dengan Umi Kalsum.

Bagus juga saya perhatikan majlis solat tarawihnya apabila ruang belakang masjid dijaga oleh anggota RELA bagi memastikan anak-anak turut bersolat dan tidak membuat bising.

Dia turut membantu menyusun saff anak-anak dan menyebabkan anak-anak senyap tidak mengganggu ketenteraman beribadah.

Balik kerja petang semalam, saya singgah di Giant Putatan. Sudah berminggu saya tidak ke mari.

Terkejut melihat Giant lengang.

Saya bertanya juga kepada beberapa pekerja di sana. Kata mereka seminggu ini, beginilah yang terjadi sejak Hypermarket Servay dibuka 31 Ogos lepas.

Sama ada ini fenomena sementara atau berterusan, kita lihat sajalah.

Saya ada menjangka pelanggan sedikit berkurangan, supaya lebih cepat berurusan di dalamnya.

Tetapi tidak menjangka lengang begitu, dan begitu cepat urusan. Pekerjanya nampak relaks saja.

Begitulah persaingan dalam berniaga dan merebut urusan dunia.