Archive for 14 September 2008


Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral, Kepayan Ridge

Ini kali kedua saya ke sini untuk bertarawih. Menurut jadual, saya diamanahkan JK untuk menjadi imam malam ini.

Tetapi kali ini saya datang menyertai majlis iftar jama’ie – berbuka puasa beramai-ramai – walaupun sedikit terlambat.

Sebenarnya anak sulung saya yang beriya-iya hendak sungkai di surau ini.

Setiap petang hari persekolahan, dia ke sini ikut umminya mengajar di SAR an-Nur. Petang-petang itulah dia menolong menyusun pinggan, menyapu dan sebagainya untuk persediaan berbuka.

Apabila petang-petang itu saya datang untuk membawa mereka pulang ke rumah, dia mengamuk untuk berbuka di surau ini.

Sudah tolong orang di surau, tapi tak dapat pula makan di sana.

Saya berjanji untuk membawa ke sini pada hari lain.

Rancangan saya hari inilah. Tetapi kebetulan dia tak puasa kerana kurang sihat, jadi saya hanya datang seorang.

Petang itu ada lebih 120 jamaah yang menyertai iftar. Nampak sungguh meriah.

Selepas solat maghrib, saya mohon untuk jamaah bersama menunaikan solat hajat untuk kesejahteraan Md Firdaus yang saya ceritakan koma itu.

Selepas solat tarawih berlangsung 2 salam, saya diminta menyampaikan tazkirah ‘kultum’. Tak boleh tazkirah lepas 8 rakaat, nanti ramai lari. 

Oleh kerana permintaan itu hanya diberitahu sebelum tarawih, saya hanya memetik ringkas apa yang pernah saya sebut dalam blog ini berkenaan mengambil berat urusan ibadah walaupun perkara itu kecil.

Sebelum tarawih malam itu bermula, saya perasan kehadiran seorang SB yang dikenali ramai.  Saya mengingatkan diri agar menyentuh sedikit bab niat dalam tazkirah nanti.

Kononnya sebagai peringatan bahawa kita beribadah ini biarlah bersih kerana Allah. Bukannya datang ke masjid, surau kerana yang lain. Bukan datang solat kerana hendak memantau orang!

Malangnya, tiba waktu tazkirah itu, saya terlupa juga untuk menyebutnya. Nasiblah!

Saya lihat tahan juga beliau tu bertarawih hingga ke akhir rakaat yang 23.

Tapi sesudah itu, apabila diajak minum, dia nampak mengelak.

Selepas moreh, majlis diteruskan lagi dengan sesi tadarrus al-Quran. Nampaknya 3 halaqah ini masih bertahan. Tahniah!

Surau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Tingkat 3, Blok B, Wisma MUIS.

Petang Jumaat saya tidak pulang lagi ke rumah.

Menjelang maghrib, saya ke Pejabat Suruhanjaya Perkhdimatan Awam Negeri Sabah (SPANS) untuk majlis berbuka puasa sehinggalah solat tarawih, yang sudah mereka rancang sejak awal tahun.

Majlis ini dihadiri hampir semua wargakerja SPANS yang beragama Islam diketuai oleh Ybhg Datuk Hj Ismail Ag Besar – Pengerusi SPANS dan Tuan Yunos Asmat – Setiausaha SPANS.

Pejabat ini sejak dipengerusikan oleh Datuk Ismail sangat galak membuat aktiviti keagamaan melalui Badan Kebajikan Islam (BKI) SPANS yang diketuai oleh Tuan Hj Said Osman.

Saya diamanahkan memimpin solat maghrib, isyak dan tarawih dan dibantu oleh Tuan Hj Matni Untong selaku bilalnya.

Saya menegur dengan baik selepas tarawih itu, bahawa salawat dan tasbih pimpinannya terlalu laju sehingga tidak dapat diikuti oleh jamaah.

Belum pun imam selesai memberi salam kedua, pak bilal sudah menjerit : “..subhanal malikil ma’buuuudd!!.. “

Kita menjerit-jerit itu bukan kerana lain, tetapi bersolawat keatas Nabi, bertahmid dan bertasbih kepada Allah SWT.

Bukankah kita dilarang mengangkat suara mengatasi suara Nabi dan mengeraskan suara secara melampau atau bermain-main?

Bimbang bukan pahala yang dapat tetapi dosa yang datang.

Alangkah baik jika bersolawat bersungguh dan bertertib sama ada di dalam atau di luar solat.

Saya melihat kemeriahan majlis malam itu, apabila semua staf rancak bersembang.

Inilah salah satu hikmah berbuka dan bertarawih bersama. Mengeratkan silaturrahim.

Oleh kerana ia termasuk majlis ibadah, alangkah baiknya kalau semua kaum muslimat yang hadir itu semuanya berpakaian menutup aurat… tetapi malangnya..

Mengikuti perkembangan pergolakan saudara seaqidah kita Selatan Mindanao yang berhadapan dengan tentera Kerajaan Filipina amat mendebarkan.

Sebulan lepas, sepatutnya kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur.

Walaubagaimanapun, Mahkamah Agung Filipina telah menangguhkan proses pemeteraian tandatangan dan mengeluarkan perintah larangan sementara bagi menghalang perjanjian itu dibuat.

Ia berikutan bantahan ahli politik beragama Kristian di Wilayah Selatan Cotabato Utara kerana bagi mereka kerajaan Filipina tidak mengumumkan butir-butir perjanjian tersebut.

Peristiwa terbaru itu menunjukkan kerajaan Filipina memang tidak pernah bersungguh untuk membantu umat Islam di Selatan Mindanao ini. Presiden Arroyo pula bertegas tidak akan melakukan rundingan dalam masa terdekat.

Kerajaan Filipina secara rasmi telah pun menamatkan rundingan damai dengan MILF dan memilih untuk menyerang pejuang Islam di Selatan Mindanao. Dalam tempoh 11 tahun rundingan berlangsung, tidak ada sebarang persetujuan dicapai.

Sementara itu, perkembangan konflik ini telah membuka jalan untuk pertempuran terus berlaku.

Selepas majlis tandatangan perdamaian itu ditangguhkan, pertempuran semakin hebat sejak 10 Ogos lepas.

Berdasarkan maklumat rasmi setakat ini hanya Palang Merah Antarabangsa yang bergerak membantu mangsa-mangsa perang seramai 500 ribu orang – majoritinya Islam – yang terpaksa meninggalkan penempatan mereka.

Perkembangan ini membuatkan Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Negeri Sabah membuat satu inisiatif untuk mengadakan kutipan dana dari umat Islam yang prihatin bagi membantu umat Islam di Selatan Mindanao.

Kutipan dana ini dibuka untuk memberi bantuan terutamanya ubat-ubatan dan makanan kepada para mangsa. Misi kedua pula nanti, AMAL dijangka akan berunding dengan AMAL Pusat untuk menghantar rombongan perubatan ke sana.

Ada dua kaedah sumbangan boleh dibuat.

Jika saudara berada di sekitar Kota Kinabalu dan ingin membuat penyerahan tunai, bolehlah terus bertemu dengan Tuan Hj Abu Aslam Abdullah di Farmasi Aslam Inanam, berhadapan dengan Stesen Bas Inanam dan berhubung melalui 016-8337809.

Jika saudara berada jauh di merata tempat, di Semenanjung, Sarawak atau di Tawau, Sandakan dan sebagainya, sumbangan boleh dimasukkan ke dalam akaun bank.

Sila bank-in ke akaun Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah (AMAL) : Bank Islam 100 160 100 543 13 atau berhubung terus kepada Pengerusi AMAL Sabah, Tuan Hj Khairan Untoh 012-8272417 atau setiausaha, Ust Ridhuan Othman : 019-8502525.

Untuk rekod, AMAL Sabah banyak bergerak daripada sudut kebajikan membantu umat Islam di negeri ini yang hidup dalam kesusahan.

Antaranya di Tuaran, Sepanggar, Kota Belud, Ranau, Pitas dan sebagainya.

Sepanjang Ramadhan ini, banyak program diatur untuk bertemu dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Sementara AMAL Pusat pula telah sememangnya dikenali di seluruh dunia terutama dunia Islam tentang aktiviti kebajikan yang mereka lakukan.

Mereka merintis ke Acheh ketika Tsunami, gempa bumi di Iran, Pakistan, Jogjakarta; perang di Lubnan dan kini insya Allah akan ke Selatan Mindanao pula.

Berilah sokongan dan dukungan saudara dengan menghulur sedikit sumbangan. Mereka yang berada di Selatan Mindanao itu juga saudara kita. Tuhan kita satu, kiblat kita satu, aqidah kita satu, Nabi kita satu.

Kita tidak mampu untuk turut berperang, tetapi jika ada sedikit kelebihan harta, hulurlah; mudah-mudahan Allah memasukkan kita dalam senarai orang yang membantu para pejuang dan orang yang menderita di sana.

Selama ini kita tidak putus membantu saudara seiman kita di Palestin, Afghanistan, Iran, Thailand, Indonesia dan sebagainya, kini giliran mereka di Selatan Mindanao pula memerlukannya.

Sabda Rasulullah SAW : “Setiap hamba Allah yang menempuh pagi harinya, ada dua malaikat yang turun berdoa.

Malaikat pertama berdoa : “Ya Allah, berilah ganti, balasan berlipat kali ganda kepada orang yang suka menderma dan bersedekah”.

Malaikat kedua pula berdoa : “Ya Allah, hancur dan musnahkanlah orang yang tamak dan kikir”

Masjid al-Hilal Tg Dumpil, Putatan

Semasa saya bertugas di Istana Negeri dahulu, TYT Tun Ahmadshah pernah bercerita kepada kami tentang satu kisah.

Kisah ini berlaku ketika beliau bertugas di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) selaku Setiausaha MUIS antara 1988-1994.

Beliau bersama rombongan berada di Pantai Geronggon, Kg Tg Dumpil ini untuk melakukan cerapan anak bulan Ramadhan.

Sejurus cerapan hilal selesai, mereka mendirikan solat fardhu maghrib. Ketika itu mereka hanya solat di celahan rumput. Ketika sujud itulah dahi beliau terkena batu tajam.

Kisah itu menjadi ‘asbabun nuzul’ dan sejak itulah beliau berazam untuk mendirikan masjid di kawasan ini untuk masyarakat kampung sekaligus memudahkan urusan cerapan hilal setiap hujung bulan terutama Ramadhan dan Syawal.

Akhirnya, masjid itu didirikan dan ia menjadi satu jasa beliau ketika berada di MUIS. Ia dinamakan dengan Masjid al-Hilal iaitu masjid anak bulan.

Kini pula, bersebelahan dengan Masjid al-Hilal ini terdapat bangunan cerapan yang lebih selesa dan luas.

Ia dinamakan Balai Cerap al-Biruni, mengambil nama seorang tokoh sarjana Islam yang pakar dalam soal ilmu falak, matematik, juga ahli farmasi, faslafah, pengkaji ubatan dan tumbuhan.

Tun Ahmadshah selepas merasmikan Balai Cerap ini pada 29 Oktober 2007, menunjukkan rasa terharunya dan sentimental mengenang sejarah cerapan ketika beliau bertugas dahulu.

Manakala kini beliau sendiri pula merasmikan Balai Cerap yang berharga RM1.5 juta selaku Yang Dipertua Negeri Sabah.

Malam itu saya bertarawih di masjid ini. Setakat ini, berdasarkan rekod selama 12 malam meronda, setakat ini, inilah tarawih terlaju.

Saya tengok selepas solat itu, kopiah imam pun sudah senget. Sangkin lajunya, sehingga tidak sempat membetulkan kopiah di kepala sendiri.

Mana tidak laju, jam 8.15 malam sudah witir dan menjelang 8.30 malam, saya sudah berada kereta untuk pulang. Bukan 8 rakaat tapi 23.

Benar kata Allah : “Manusia ini suka laju dan kelam kabut”

%d bloggers like this: