Selepas solat asar di Masjid al-Falah Kg Tebobon, kami bertiga – Che’gu Jamil dan Ust Khidir -meneruskan misi musafir Ramadhan kali ini.

Misi kali ini ialah menyampaikan buku-buku dan sejumlah pakaian sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Seterusnya majlis berbuka puasa bersama masyarakat Islam di dua kampung – Kg Geruda Baru dan Kg Longob, Tandek Kota Marudu.

Perjalanan ke Tandek yang mengambil masa sekitar 2 jam itu diiringi dengan cuaca yang cukup mengizinkan.

Dalam perjalanan itu saya sempat menghubungi Penolong Pegawai Tadbir Agama (PPTA) JHEAINS Kota Marudu, Ustazah Norizawati Mahmud agar turut hadir sama dan bertemu di sana.

Sebelum ini saya sudah memaklumkan program dan kunjungan kami ke sana.

Norizawati sudah menjadi PPTA JHEAINS KM sejak 2006 lagi.

Sementara itu, dalam perjalanan kami Che’gu Jamil banyak mengimbas sejarah-sejarah mereka yang melakukan aktiviti dakwah mereka ke sebelah sini terutama bersama Ust Hj Abdullah Din.

Maklumlah, Che’gu Jamil kan guru sejarah. Heheh.

Kami benar-benar merasai tempang atau patah sayap sebelah apabila kehilangan Ust Abdullah Din.

Saya sempat meng’SMS’ Ust Abdullah berkenaan program kami kali ini.

Saya beritahu kami dalam perjalanan ke majlis berbuka puasa bersama kampung muallaf di Tandek.

Tidak lama dia pun balas : “Tahniah, doa ana. Doa musafir maqbul”.

Ya baru teringat, doa musafir maqbul. Saya sudah terbayang apa nak didoakan dalam musafir itu.

Rupanya Che’gu Jamil dan Ust Khidir terfikir benda yang sama.

Saya balas SMS Ust Abdullah : “Kami doa Ust balik ke Sabah. Ada satu tempat duduk kosong dalam kereta ni. Kami bertiga saja”.

Ust Abdullah senyap tidak membalas. Kan… baru tau.

Kami tiba di Kg Geruda Baru hampir jam 6 petang.

Ketika itu ceramah sedang berlangsung di dalam surau yang disampaikan oleh Ust Baharuddin, seorang pendakwah yang tidak asing di Kota Marudu.

Ketibaan kami disambut oleh seorang pendakwah muda – Cikgu Zakaria Ali Hanafiah – orang Kelantan yang bertugas di SMK Bingkungan, Kota Marudu.

Sejak bertugas di sini, beliau memang bergerak aktif dan banyak berkorban untuk membantu gerakan dakwah terutama terhadap para muallaf yang sememangnya memerlukan bimbingan dan sokongan.

Surau an-Munawwarah, Kg Geruda Baru hanya berada di tepi jalan, 10 minit dari Pekan Kota Marudu.

Ia dibina pada zaman Berjaya, 1979 – tahun saya lahir.

Menurut Ust Ajrin Karim – seorang lagi pendakwah muda tetapi anak tempatan kampung ini – sepanjang sejarahnya, inilah kali pertama program majlis berbuka puasa diadakan di kampung ini sejak sekian lama.

Ia merupakan perkampungan muallaf.

Menurut data yang diberikan Ust Ajrin, kampung ini dihuni kira-kira seramai 450 orang dan yang beragama Islam seramai 430 orang, bakinya pula belum memeluk Islam.

Sementara dari 430 penduduk muslim itu, 350 orang adalah muallaf.

Surau kecil ini penuh dengan masyarakat kampung yang datang berduyun-duyun sejak awal petang lagi.

Ia dianggap program bersejarah mereka.

Mereka dikunjungi oleh orang JAKIM, itulah yang diwar-warkan kepada mereka.

Sedangkan hakikatnya tiada seorang pun antara kami bekerja dengan JAKIM, hanya sebagai sahabat JAKIM – NGO yang bekerjasama dengan JAKIM Sabah.

Besar benar harapan mereka saya saksikan, agar program dakwah terus diperkasakan di kampung mereka.

Memang jelas mereka dahagakan ilmu dan bimbingan para pendakwah.

Selepas ceramah Ramadhan dan sebelum berbuka, saya diminta untuk menyampaikan sumbangan berbentuk buku-buku kepada masyarakat di sini, yang diterima oleh Encik Faizal Azmi Hj Madina, selaku Pengerusi Surau.

Sementara sesudah berbuka dan solat maghrib, saya diminta pula untuk menyampaikan tazkirah.

Saya tidak lama bercakap di hadapan kira-kira 60-70 penduduk kampung, hanya mengingatkan mereka agar berpegang dengan Islam dalam kehidupan mereka.

Modal ceramah 15 minit itu ialah berdasarkan Surah Ali Imran ayat 16-17.

Firman Allah : “Orang-orang beriman berdoa : Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami beriman kepadaMu, ampunkan dosa kami, dan hindarkan kami dari azab neraka”.

Orang beriman itu ialah mereka yang bersabar, orang yang benar, orang yang patuh, orang yang bersedekah, dan orang yang beristighfar pada waktu sahur”. 

Tidak lama itu, kami mohon izin beredar untuk ke kampung seterusnya.