Pagi ini saya memohon kebenaran ketua saya untuk keluar menziarahi keluarga Pakcik Md Rosdi bin Kapang di Kg Gadong, Kimanis dimana anak ketiganya bakal melanjutkan pelajaran ke Mesir esok.

Saya bersama Ust Zulhazmi dan Cikgu Abd Hamid bergerak kira-kira jam 9 pagi dan singgah di petronas Papar untuk membeli sedikit buah tangan.

Pakcik Md Rosdi baru sebulan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Likas. Sebelum ini beliau terlantar sakit menderita penyakit ganji yang tidak boleh dikesan oleh doktor selama 4 tahun dan terpaksa berubat di Indonesia.

Isterinya Puan Siti Sarah Darus bekerja di sebuah kilang papan di Kimanis dan mereka mempunyai 4 orang anak. Amiruddin, 24; Maslinah, 22; Masri, 20 dan Zuraidah, 16.

Amiruddin sedang melanjutkan pelajaran dalam tahun 3 Universiti al-Azhar, Kaherah dalam bidang Syariah. 

Maslinah baru setahun tamat diploma tahfiz al-Quran JAKIM dengan keputusan jayyid jiddan dan sekarang bertugas di Pusat Pendidikan Islam an-Nur, Taman Sempelang.

Masri yang bakal berangkat ke Mesir esok pula berhasrat menyambung dalam bidang yang sama dengan abangnya.

Zuraidah ketika ini menuntut di SMAI Pantai Manis, sekolah dibawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam tingkatan empat.

Keempat adik beradik ini menurut pemerhatian saya adalah anak-anak yang cerdik. Selain Zuraidah yang masih di sekolah menengah, ketiga-tiga abang dan kakaknya terdahulu juga menuntut di sekolah yang sama.

Perjalanan kami yang turut disertai oleh Maslinah itu diiringi dengan hujan lebat di sepanjang jalan.

Masuk ke lorong menuju rumahnya, yang mereka huni sejak 1990, kereta ust Zul berhadapan dengan lumpur kira-kira 10 minit dan kemudian terpaksa berjalan kaki pula kira-kira 5-10 minit lagi.

Rumah Pakcik Md Rosdi letaknya terpencil dan bersendirian. Rumah yang berhadapan dengan sungai Kimanis itu, berdiri usang tanpa elektrik bahkan tandas dan bilik air pun tiada.

Sekiranya mereka hendak mandi, kalau ada air hujan mereka mandi di rumah. Jika tidak ada terpaksalah mereka mandi dan mengqadha hajat di sungai. Memang tidak ada orang di kawasan ini kecuali sebuah rumah lain yang juga letaknya berjauhan.

Kata Maslinah, dahulu mereka ada generator tetapi sudah rosak beberapa tahun lalu. Kini semua aktiviti malam, belajar, makan, membaca buku dan sebagainya disinari dengan pelita sahaja.

Ingatan saya, ini kali ketiga saya datang ke mari.

Pertama kali hadir bersama anak isteri berhari raya 2-3 tahun lalu, air mata saya mengalir melihat penderitaan, kesusahan mereka.

Untuk keluar ke jalan besar, mereka perlu berjalan kaki kira-kira hampir sejam.

Tambahan lagi, kesusahan mereka ketika itu hanya makcik Siti Sarah yang bekerja sedang pakcik Rosdi jauh di Indonesia terlantar dan pergi berubat.

Saya tidak pasti penyakitnya ketika itu, tetapi menurut pakcik kepada Maslinah, ia tidak sedarkan diri dalam tempoh yang lama.

Ketika bertugas di Maahad Tahfiz dahulu, Maslinah adalah pelajar saya. Semua kami senang dengannya. Orangnya cerdik, rajin belajar, baik hati tapi pendiam.

Bukan sekali kami hendak berkunjung ke rumahnya, sekurang-kurang untuk berhari raya, tetapi dia berkeras dan berat hati menerima kami.

Apabila berkunjung ke rumahnya 2-3 tahun lalu, barulah saya tahu kesengsaraan hidup mereka.

Kata Maslinah, hanya tinggal rumah mereka lagi belum mempunyai bekalan api.

Alasan yang mereka terima, rumah mereka jauh dari rumah orang lain dan hanya sebuah, perlu empat tiang elektrik untuk sampai ke rumah.

Bayangkanlah, di rumah ini hidup konon pada zaman sains dan teknologi tanpa elektrik, tanpa peti sejuk, tanpa tandas, tanpa kipas dan segalanya tiada.

Tidak terfikir di benak, kehidupan anak murid saya begini rupanya.

Saya katakan kepada Maslinah, apabila mereka semua sudah berjaya kelak, merekalah yang bakal merubah keadaan keluarga mereka nanti.

Orang-orang politik yang tidak berperikemanusiaan, sangat suka apabila melihat rakyat dalam keadaan jahil, bodoh dan miskin supaya boleh diperalatkan apabila diperlukan satu masa nanti.

Kesabaran mereka menghadapi kesusahan, kesengsaraan dan penderitaan mudah-mudahan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Dari kiri : Rosdi, Maslinah, Masri & pakcik mereka

Artikel ini saya catatkan untuk memohon jasa saudara pembaca teramat sangat untuk menghulur bantuan baik kepada Masri dan Amiruddin yang melanjutkan pelajaran di Mesir, yang saya tahu kesusahan mereka, atau juga kepada keluarga Pakcik Rosdi.

Allah SWT jua yang membalas kebaikan yang saudara hulurkan.

Ingatlah, putaran roda hidup ini sentiasa berpusing.

NAMA : MASRI MOHD ROSDI (881109-12-5249) NO AKAUN HSBC : 092-138320-025

NAMA : MOHD ROSDI BIN KAPANG. NO AKAUN PUBLIC BANK 4-8694872-25

Sumbangan saudara pada bulan Ramadhan ini sesungguhnya menggembirakan mereka. Ingatlah orang Islam ini seperti satu tubuh.