PENTING & SEGERA!!

Tengahari tadi saya didatangi oleh dua orang sahabat saya – Ustaz Safri dan Ust Abd Wahab, kedua-duanya pendidik di Sekolah Menengah Agama Islam Toh Puan Hajjah Rahmah, Kota Kinabalu.

Kedua-dua mereka memohon pertolongan jika saya mempunyai sebarang hubungan dengan pihak-pihak tertentu bagi pihak pelajar sekolah mereka, Awang Sariff Baharuddin, 19 tahun yang akan berangkat menyambung pelajaran ke Mesir sabtu ini.

Untuk maklumat, sekolah ini sejak kewujudannya pertengahan 70an, dimana saya menuntut selama 5 tahun pada 1992-1996 dahulu, tidak pernah putus menghantar pelajar-pelajarnya menyambung pengajian ke Mesir.

Barangkali sudah ratusan graduan yang telah menamatkan pengajiannya dan kini berkhidmat di pelbagai bidang dan jabatan di seluruh negara.

Di kalangan senarai sekolah-sekolah agama aliran Arab di seluruh negara, sekolah ini mempunyai kedudukannya yang tersendiri.

Tidak keterlaluan, namanya harum dan sebaris dengan sekolah-sekolah sealiran dengannya seperti Maktab Mahmud di Kedah dan Maahad Muhammadi di Kelantan.

Ia sentiasa menjadi sebutan, mendapat perhatian dan rebutan para ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka ke sini.

Untuk tahun ini, SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah di bawah pimpinan Ust Hj Pg Omar Pg Gana selaku pengetua bersama guru-gurunya akan menghantar seramai 25 orang pelajar ke Universiti al-Azhar, Mesir dan menyambung pengajian dipelbagai bidang seperti usuluddin, syariah dan bahasa Arab.

Manakala dari SMAI Pantai Manis Papar di bawah pimpinan Ust Hamdani Omar selaku pengetua sekolah akan menghantar seramai 10 orang pelajar.

Awang Sariff, anak muda berbangsa bajau yang berasal dari Kg Landung Ayang Laut, Kudat Sabah ini adalah salah seorang pelajar bertuah itu.

Setelah mendapat 9 unit dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas, dia bakal menyambung pelajaran dalam bidang pengajian Bahasa Arab di Kaherah.

Walaubagaimanapun, dengan latar belakang keluarga yang susah, bapa hanya seorang nelayan dan ibu sebagai suri rumah, Awang Sariff, anak ke-2 dari 9 bersaudara ini menurut pemerhatian guru mereka memerlukan bantuan kewangan bagi menyara kos sara hidup serta pengajian di sana nanti.

Dalam semakan mereka, Awang Sariff adalah pelajar yang paling susah berbanding sahabat-sahabatnya yang lain.

Artikel ini saya tulis bagi pihak guru-guru sekolah dan tuan punya tubuh, memohon ihsan dan jasa baik saudara dan sahabat-sahabat di mana saja berada di seluruh Malaysia untuk membantu meringankan beban Awang Sariff.

Untuk maklumat lanjut, boleh merujuk kepada guru mereka Ust Hj Safri Bakar 016-5824304 atau terus menyampaikan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Sariff : 100 160 202 593 49

Mudah-mudahan sedekah yang dihulur sempena Ramadhan ini akan diberikan ganjaran sebesar-besarnya oleh Allah SWT, menjadi pahala yang berpanjangan sehingga hari kiamat.

Kepada Awang Sariff kita doakan agar diberikan kejayaan di dalam pengajiannya nanti. Amin.