Apabila sahabat saya, Ust Yusrizal Ramli salah seorang tenaga pengajar di sekolah ini mempelawa saya sebagai pembimbing majlis khatam al-Quran peringkat sekolah pada khamis, saya segera mengiyakannya.

Majlis khatam al-Quran adalah majlis yang mulia dan berkat.

Ia adalah tuntutan agama dan dilakukan oleh Rasulullah SAW, dan juga amalan para sahabat, salafus soleh dan para ulama’.

Para malaikat turun menaungi dan membawa rahmat majlis khatam al-Quran yang dilangsungkan.

Di dalam buku at-Tibyan susunan Imam an-Nawawi, diceritakan, ada di kalangan ulama dan salafus soleh yang menamatkan al-Quran sehingga 8 kali sehari.

Empat kali malam dan empat kali pada waktu siang.

Bagaimana mereka menamatkan bacaan, wallahu a’lam.

Allah SWT memberikan mereka ruang masa yang cukup untuk membaca al-Quran. 

Tapi yang lebih penting daripada itu, ialah mengambil manfaat daripada apa yang dibaca, dan meneruskan tilawah setelah khatam.

Sebab itu dalam majlis khatam, kita dituntut menyambung bacaan ke surah al-Fatihah dan 5 ayat surah al-Baqarah. 

Maksudnya bahawa pembacaan al-Quran akan diteruskan lagi, bukannya terus ditutup.

Majlis khatam petang itu didahului dengan ucapan Tuan Pengetua, Ust Haidon Hadi Sapiri.

Ia disusuli perasmian oleh Ust Abdullah Md Din, Timbalan Pengarah Operasi Dakwah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Banyak nasihat boleh diambil dalam ucapan perasmian berkenaan yang merangkumi pelbagai perkara. 

Antaranya, Ust Abdullah menyarankan agar pelajar jangan takut berhijrah untuk mendapat ilmu yang lebih luas, kerana dengan berhijrah ke merata tempat, pelbagai ilmu dan pengalaman boleh dikutip untuk bekalan selepas kembali nanti. 

Selepas ucapan ust Abdullah, majlis diteruskan dengan majlis khatam oleh semua pelajar sekolah ini.

Saya menjadi pembimbing dan pembuka majlis sedangkan tekongnya ialah adik Md Zamir Md Zamri, pelajar tingkatan 5 dan ia berlangsung selama lebih kurang 25 minit.

Selepas iftar jamaie dan solat maghrib, majlis bersambung dengan makan malam, solat isyak, tarawih dan solat hajat untuk pelajar yang bakal menduduki PMR & SPM.

Ia diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Kutipan berkenaan diperolehi dan disumbangkan sendiri  daripada kalangan pelajar dan para guru sekolah berkenaan.

Satu usaha yang sangat baik dan murni serta memupuk budaya memberi di kalangan warga sekolah itu sendiri.

Doa saya, mudah-mudahan berkat Ramadhan ini, adik-adik di sana akan mendapat kejayaan yang cemerlang.

Itu doa saya. Amin.