Hari khamis yang lalu, hari saya ke KL untuk mesyuarat KDN, hari itu juga sebenarnya hari terakhir pembantu rumah kami bekerja dengan kami.

Dia akan kembali ke kampung halamannya untuk mendirikan rumahtangga pada awal tahun hadapan. Jodoh sudah sampai.

Noraini Ansar, 29 kami anggap sebagai ahli keluarga kami sejak dua tahun lalu. Berasal dari Polmas, Kalimantan Selatan, Noraini bekerja melebihi tugas yang kami berikan.

Asalnya, tugasnya hanya mengurus hal berkaitan anak-anak seperti mandi, makan, cuci pakaian dan sebagainya. Tetapi semakin lama, semua kerja di rumah itu diurusnya.

Kadang-kadang rimas juga saya dibuatnya apabila  bekerja terlalu rajin pada pandangan saya.

Kerja-kerja lain dibuat tanpa disuruh, bahkan dia tidak meminta upah lebih daripada apa yang disepakati.

Kadang-kadang, jika ada duit lebih, saya berikan juga kepadanya sebagai satu penghargaan kami. Itu pun ia berasa hairan dan tertanya-tanya.

Saya berikan kebenaran kepadanya menelefon keluarganya di kampung menggunakan telefon rumah, sebagai satu hadiah kepadanya, sekurang-kurang sebulan sekali.

Ketika kami bercuti balik ke Labuan, ia tidak pernah merungut apabila kami membawanya sekali.

Sepanjang dua tahun itu, tidak salah saya hanya dua kali saya marah kepadanya. Itupun saya tidak tujukan di hadapannya. Marah saya bersebab, saya sampaikan kepada isteri berkenaan teguran saya kepadanya.

Selain itu, semuanya beres di mata kami sekeluarga.

Kebaikan dan kerajinannya itu, menyebabkan kami benar-benar kehilangan sejak ia menaiki bas menuju ke Tawau pada malam sabtu sebelum menaiki feri keesokan harinya.

Saya tidak hadir ketika seluruh ahli keluarga menghantarnya ke Terminal Bas Utara di Inanam, tetapi isteri saya mengirimkan SMS, kesedihan dan kesunyian mula terasa.

Saya membalas agar bersabar, begitulah hakikatnya perpisahan di hujung pertemuan.