Semalam, seseorang perempuan tua yang kami anggap sebagai ahli keluarga kami dari Labuan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Ounah Daud, 75 tahun kami semua memanggilnya dengan nama Uwa. Sebenarnya dia bukanlah ada pertalian darah yang hampir dengan kami.

Daripada versi yang saya ketahui, dahulunya ibu kami diasuh oleh seseorang yang bernama Saliha binti Bakar (Allahyarham) yang kami panggil Nenek Pulin.

Nenek Pulin sudah lama kembali kerahmatullah, sebulan selepas saya mendaftar masuk di SMAI Toh Puan Hjh Rahmah Kota Kinabalu pada Januari 1992.

Nenek Pulin adalah ibu angkat, ibu susu dan orang yang mengasuh ibu kami. Bersama-sama ibu kami, yang turut diasuhnya terlebih dahulu ialah  Uwa ini. Nenek Pulin punya pertalian darah yang tidak terlalu jauh dengan bapa kepada bapa kami.

Nenek Pulin adalah seorang bidan kampung. Di rumah kami di Labuan itu, seingat saya ramai ibu-ibu yang bersalin ‘di tangannya’. Begitu juga bayi yang berkhatan, ibu mengandung atau lepas mengandung yang perlu diurut dan sebagainya.

Pendek kata, kemahiran Nenek Pulin telah menjadikan rumah kami meriah dengan kunjungan ramai orang yang memerlukan bantuannya.

Jasa Nenek Pulin bukan sahaja berkaitan masalah sakit puan. Dia telah menjaga ibu kami dan Uwa sekali sehingga mereka dewasa dan masing-masing berkeluarga. Apabila Nenek Pulin kembali kerahmatullah di rumah kami yang didiaminya sejak awal 80an, Uwa masih tinggal bersama kami sehingga kini.

Menerusi cerita Uwa, Nenek Pulin mengambilnya dari ‘kangkangan’, iaitu sejak lahir lagi ketika itu di Kg Labu Brunei. Uwa ada 4 beradik, kakak tuanya bernama Saidah sudah uzur dan punya cicit di Brunei.

Dua lagi abangnya meninggal dunia. Seorang bernama Hj Yusuf kembali kerahmatullah beberapa tahun lalu di Labuan dan seorang lagi meninggal semasa kecil akibat jatuh telaga.

Uwa seorang ibu tunggal. Suaminya telah meninggal dunia berbelas tahun lalu. Perkahwinan lambat mungkin menjadi asbab mereka tidak dikurniakan anak. Yang ada seorang anak angkat sahaja. Itu pun kini berada di Sandakan.

Apabila semalam kami ditanya doktor tentang hubungan kami, along menjawab, itu adalah kisah yang panjang yang payah hendak diceritakan.

Tetapi kami semua mengakui persaudaraan itu, kerana ibu kami diasuh bersama-sama sejak kecil.

Di QEH, along memujuk Uwa bahawa dia tidak lama di sini. Mungkin seminggu saja.

Saya perhatikan, wad itu mengandungi 14 katil. Hanya 11 terisi. Empat daripadanya beragama Islam berdasarkan nama yang terpapar. Selebihnya tiong hua dan kadazan dusun menurut pemerhatian saya.

Tadi pagi, doktor sudah melakukan anggaran kos pembedahan akibat tulang pinggul yang patah sekitar RM3,500 sahaja. Menurut perakuan awal, BaitulMal Labuan bersedia untuk meluluskan bantuan dibawah RM5 ribu.

Uwa sudah memberitahu dia mahu balik. Sejarah hidupnya di rumah dan di kampung memperlihatkan dia seorang yang aktif dan tidak betah di rumah berdiam diri.

Jika ditakdirkan sihat, mungkin dia akan bertongkat selepas ini dan menemani ibu kami yang juga belum sihat sepenuhnya daripada penyakit angin ahmarnya.