Mulai hari ini sehingga khamis (2-4 Jun) diadakan saringan akhir untuk qari-qariah dari daerah-daerah dan wakil kementerian.

Format baru bagi MTQ kali ini memutuskan bahawa MTQ di peringkat bahagian ditiadakan dan digantikan dengan saringan akhir. Ertinya MTQ di peringkat daerah diadakan seperti biasa dengan sedikit perubahan, iaitu hanya johan qari dan qariah yang mendapat markah 70% ke atas layak ke peringkat saringan akhir.

Peraturan baru ini juga mendapati terdapat daerah-daerah yang gagal menghantar wakil ke peringkat saringan akhir berikutan kegagalan qari dan qariah melepasi markah 70%.

Begitu juga MTQ di peringkat kementerian-kementerian, daripada 11 kementerian dalam kerajaan negeri Sabah, hanya 4 qari yang melepasi markah 70% dan layak ke saringan akhir.

Hari ini, jadual saringan bagi wakil-wakil dari Pantai Barat Selatan dan Pantai Barat Utara. Esok, wakil Pedalaman Bawah dan Pedalaman Atas, sementara pada hari khamis pula wakil dari Bahagian Sandakan, Tawau dan Perkhidmatan Awam akan disaring. Saya sendiri belum berpeluang turun melihat saringan akhir ini walaupun ia diadakan di Wisma MUIS.

Dalam format baru ini, hanya 8 peserta terbaik iaitu 4 qari dan 4 qariah yang melepasi 70% markah akan layak ke MTQ peringkat negeri yang akan diadakan di Tawau pada 27 Jun nanti.

Secara peribadi, saya mengalu-alukan dan menyokong format baru ini, dengan perasaan optimis qari qariah akan meningkatkan mutu bacaan pada masa-masa akan datang. Dalam masa yang sama, kualiti hakim MTQ di peringkat daerah hendaklah ditingkatkan.

Kedengaran cerita, ada daerah tertentu yang memberi markah kepada qari dan qariah sehingga lebih 80% sekaligus melayakkannya beraksi di saringan akhir. Ini sudah markah MTQ Kebangsaan.