Tag Archive: Labuan


Sumber : http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2014/01/10/keindahan-tersembunyi-alam-marin-labuan/

LABUAN: Langit cerah dan membiru indah dek sinaran matahari melengkapkan panorama yang terhidang di Pulau Labuan. Bagi mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke pulau yang terkenal sebagai hab minyak dan gas itu, pastinya akan turut teruja melihat keindahan pulau yang turut menawarkan khazanah alam yang menarik.

Antara tarikan di Labuan adalah pulau-pulau sekitarnya – Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar – yang masih bebas daripada pencemaran dan pembangunan namun agak tersembunyi sebagai destinasi pelancongan.

Tiga pulau diwartakan taman laut Labuan. Ketiga-tiga pulau itu yang diwartakan sebagai Taman Laut Labuan pada 1994 dilihat berpotensi menggamit pelancong.

Pulau Kuraman terletak lebih kurang 14 kilometer atau setengah jam pelayaran dengan bot dari Pelabuhan Victoria di Labuan. Berhampiran Pulau Kuraman terletak Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar yang membentuk gugusan pulau berkeluasan kira-kira 10 kilometer persegi di taman laut itu.

Pulau Kuraman adalah pulau utama dalam gugusan Taman Laut Labuan yang terkenal dengan beting pasirnya yang panjang dan cantik serta airnya yang bersih. Lebih menarik, pulau yang berkeluasan 5.2 kilometer persegi itu dikelilingi batu karang keras jenis Acropora Tubinaria yang boleh ditemui pada kedalaman laut 8 hingga 13 meter.

Pulau Kuraman jadi pilihan pencinta kegiatan fotografi. Selain menjadi syurga bagi pencinta kegiatan fotografi, Pulau Kuraman yang kaya dengan fauna dan floranya termasuk pelbagai sepesis rama-rama dan burung juga menjadi pilihan bagi penggemar kegiatan merentas hutan.

Pengunjung juga boleh melawat Rumah Api bersejarah yang dibina pihak British pada 1902 di pulau itu yang bertujuan memudahkan kapal-kapal dagang mengesan kedudukan pelabuhan Labuan terutama di waktu malam.

Kedudukan gugusan Taman Laut Labuan yang berhampiran dengan empat lokasi menyelam di kawasan kapal karam mampu menjadi daya tarikan pelancong yang gemarkan aktiviti menyelam. Selain itu, sejak kebelakangan ini, taman laut itu semakin dikenali sebagai pusat penetasan dan pembiakan anak-anak penyu.

Pusat penetasan penyu.

Pengarah Taman Laut Labuan Mohd Fazli Long berkata, Pusat Penetasan Penyu yang dibina di Pulau Rusukan Besar sejak tiga tahun lalu dengan kerjasama Petronas Carigali merupakan salah satu produk pelancongan baharu di sini.

Sebuah pondok yang dijadikan pejabat dan seorang renjer marin ditempatkan di pulau itu bagi menjaga dan memantau kawasan gugusan pulau taman laut itu terutama hidupan marin di situ.

Pusat itu turut menyediakan kawasan-kawasan untuk penyu bertelur yang menjadi sebahagian daripada usaha memastikan ketiga-tiga pulau di taman laut itu terus menjadi tapak persinggahan penyu.

Antara spesis penyu yang mendarat di pulau-pulau itu adalah penyu agar dan penyu karah. Sepanjang tahun 2012, pusat itu telah melepaskan sebanyak 2,068 ekor anak penyu ke laut selepas menetaskan sebanyak 2,225 telur dan angka itu lebih besar berbanding tahun sebelumnya yang hanya menetaskan sebanyak 1,163 telur penyu dengan 796 anak penyu yang hidup dilepaskan ke laut.

Pendaratan penyu di Labuan berlaku dalam dua musim dengan penyu karah kebiasaannya naik ke darat untuk bertelur bermula pada Julai dan penetasan berakhir pada bulan November manakala penyu agar pula naik ke darat pada akhir Disember dan akan habis menetas pada bulan Mei. Kebiasaannya penyu karah mengeluarkan telur antara 180 hingga 200 biji manakala penyu agar sebanyak 100 hingga 160 biji.

“Selepas bertelur, penyu betina akan berehat selama setahun dengan merantau jauh sehingga ke Jepun dan Vietnam manakala penyu jantan hanya merantau di kawasan yang lebih dekat,” kata Mohd Fazli. Ancaman manusia terhadap penyu adalalah cabaran paling besar bagi pusat itu memastikan penyu-penyu itu kembali semula ke kawasan taman laut itu untuk bertelur.

Yu berbintik hitam turut huni taman laut Labuan. Pulau Rusukan Besar juga menjadi pilihan kepada mereka yang meminati aktiviti snorkeling terutama di bahagian selatan dan timur pulau itu.

Air yang jernih dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik termasuk terumbu karang seperti karang tanduk rusa dan karang meja yang banyak terdapat perairan pulau itu menawarkan panorama semulajadi dasar laut yang indah. Menurut Mohd Fazli, jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat kehadiran ikan yu berbintik hitam yang jarang ditemui di tempat lain.

“Selain itu, di sini juga adalah tempat pembiakan spesis udang kara yang bernilai tinggi. Tugas kami di sini adalah untuk memastikan hidupan marin tidak diganggu atau diancam,” katanya. Berpeluang mengelilingi pulau yang berkeluasan 14 hektar itu cukup mengujakan dengan dihidangkan satu pemandangan yang cukup indah bak sekeping lukisan hidup.

Selain laut yang jernih, terdapat sebahagian kecil pantainya yang dipenuhi hamparan batu seperti permaidani hitam. Walaupun masih belum dibangunkan sebagai sebuah pusat pelancongan yang lengkap, Pulau Rusukan Besar telah mula menerima ramai pelancong terutama penduduk tempatan.

“Kebanyakan mereka tidak bermalam kerana di sini tiada hotel mahupun chalet yang dibangunkan. Ada juga yang melakukan aktiviti perkhemahan di sini,” katanya. Perancangan membangunkan pulau itu agak sukar kerana tanah di pulau itu adalah milik persendirian. – BERNAMA

WeLL merujuk kepada satu kumpulan terbuka facebook ‘We Love Labuan’ yang diasaskan oleh abang sulung saya lebih setahun lalu. Bermula dengan ahli keluarga kami dan teman-teman rapatnya, ia kemudiannya berkembang dan sehingga hari ini ahli kumpulan WeLL ini sudah mencapai 6 ribu orang.

Kata-kata muqaddimah bagi kumpulan ini ialah :

“Kalau anda orang Labuan atau pernah tinggal di Labuan, dan sayangkan Labuan, Group ini adalah untuk anda. Mari kita bincang isu-isu menarik dan penting untuk dikupas agar Labuan lebih maju, makmur dan cemerlang untuk SEMUA. Beri pendapat yang bernas, untuk membina bukan membinasa atau mencerca. Kami akan cuba bentangkan idea-idea anda kepada pihak yang berkenaan. Anda juga dijemput untuk menghantar cerita-cerita atau gambar-gambar menarik tentang Labuan untuk dikongsi bersama. Jangan lupa jemput kawan-kawan lain untuk join. Terima kasih di atas sokongan anda!”

Saya bukanlah penulis aktif di kumpulan ini. Hanya sesekali saya menyampuk jika berkaitan atau menarik perhatian saya. Tetapi sebarang usaha untuk membincangkan isu-isu semasa di Labuan adalah sesuatu yang amat baik demi kemaslahatan penduduk pulau ini. Sepanjang pemerhatian saya, antara isu yang panas dan menggegar di dalam kumpulan ini ialah isu perkhidmatan feri penumpang Labuan-Menumbok yang sering menjadi keluhan pengguna.

Berkait rapat isu feri ialah permintaan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan-Menumbok bagi kemudahan dan kebaikan semua pihak. Saya kira ia banyak diluahkan oleh ahli kumpulan ini kerana meyakini keuntungan dan masa depan yang lebih baik bagi kebajikan rakyat, kesan ekonomi jangka pendek dan panjang untuk Labuan sendiri, perhubungan dua hala pulau dan tanah besar dan sebagainya. Permintaan bagi pembinaan jambatan ini sudah menjadi satu kesepakatan umum bagi penduduk Labuan.

Saya kira mana-mana pihak – dalam konteks ini BN atau Pakatan Rakyat yang boleh meyakinkan pengundi di pulau ini khususnya dalam menjanjikan pembinaan jambatan menghubungkan dua wilayah ini boleh mempengaruhi undi kemenangan kepada calon parti berkenaan. Isu jambatan adalah isu besar di Labuan dan sangat segar perbincangannya di dalam kumpulan FB WeLL ini.  Begitu juga isu-isu lain yang memeriahkan status kumpulan ini ialah foto-foto keindahan panorama Labuan, pencarian rumah sewa, kerja kosong, pelbagai iklan, isu-isu keagamaan, kemalangan jalanraya dan jenayah yang sesekali mengejutkan kedamaian pulau ini dan sebagainya.

Kepada sebahagian kecil penghuni kumpulan ini yang sanggup datang ke rumah kami pada 3 Syawal 1433 tempohari, atas wasilah berkenalan di alam realiti bukan di alam siber, terima kasih atas kesudian kalian dan saya juga kongsikan sebahagian kecil foto-foto pertemuan berkenaan. Saya turut bertemu dengan rakan sekolah tadika pada tahun 1984 dan seorang rakan sekolah lain sejak 1984-1988. Sebahagian sanak saudara kami juga hadir bertemu mengeratkan silaturrahim, dengan majlis doa selamat diadakan secara ringkas bagi meraikan keberangkatan rombongan keluarga kami ke Pekan Pahang.

Bagi mereka yang berkenaan, dijemput ke kumpulan FB berkenaan : http://www.facebook.com/groups/welovelabuan/

Ada beberapa perbezaan apabila saya tiba bersama anak-anak ke kawasan permainan di Pantai Pancur Hitam dekat Kg Pohon Batu Labuan tempohari berbanding beberapa ketika lalu. Dalam blog ini juga saya pernah mencatatkan satu artikel kunjungan kami ke sini. Lokasi ini hampir menjadi kunjungan wajib kami sekeluarga terutama menjadi tuntutan anak-anak untuk mereka bermain apabila bercuti ke Labuan.

Papan tanda mencatatkan kawasan ini sedang diselenggarakan oleh satu syarikat kontraktor bermula tarikh 1 Februari 2010 hingga 31 Januari 2012. Saya kurang maklum apakah kriteria penyelenggaraan yang dimaksudkan, hanyakah sekadar kerja-kerja pembersihan – sedangkan kawasan berkenaan tidak juga terlalu terjaga kebersihannya, atau termasuk memperbaiki prasarana yang disediakan kerana saya melihat beberapa kemudahan sudah tidak ada dan rosak.

Jika mereka yang bertanggungjawab, tarikh yang ada berbaki sekitar sebulan setengah lebih kurang, sedangkan contohnya ‘sudut cabaran’ yang dimaksudkan hanya tinggal nama dan batuan saja. Kemudahan yang disediakan seperti tidak dibersihkan, kelihatan comot walaupun kebanyakannya yang lain masih elok dan boleh digunakan. Ketika kami berkunjung pada awal pagi isnin lalu, kelihatan ramai juga pengguna terutama penduduk berhampiran. Anjung Selera Pohon Batu juga siap beroperasi pada  pagi itu menanti pelanggan mereka.

Sebahagian besar foto ini membuktikan kawasan ini seperti kurang diselenggara sebagaimana dimaksudkan.

SENJA DI LANGIT LABUAN

Kami berangkat dari jeti terminal Menumbok menaiki Feri Wawasan Perdana sekitar 4.30 petang dan tiba di terminal Labuan selepas maghrib. Ruang sutuh feri menjadi kegemaran kami sekeluarga dan ramai penumpang jika cuaca tidak hujan, kalau pun tidak hanya makan-makan dan tidur di dalam kereta.

Angin yang bertiup, pemandangan yang indah – langit di Menumbok dan Labuan, pulau-pulau di sepanjang perjalanan, suasana matahari terbenam, air laut yang berombak sederhana, ditambah lagi dengan pemandangan kapal-kapal yang berlabuh, bot-bot laju yang berulang alik antara dua wilayah. Anak-anak suka sekali berfoto di sini.

Kali ini lima keping foto di bawah saya rakam dengan kamera telefon bimbit, dan foto di atas dengan kamera canon.

ADAKAH MEREKA MERASA AMAN

Sumber foto : Facebook Anak Bulan Moden

Foto ini dirakamkan dalam kejadian ribut berdekatan Pantai Pancur Hitam, hanya beberapa kilometer dari rumah kami di kampung, sekitar 14km dari pusat bandar Labuan sekitar jam 3.45 petang pada 8 November 2011, selasa lepas. Mohon dijauhkan bala bencana ke atas pulau ini dan penduduknya. Mohon Allah SWT memberikan hidayah kepada penduduk di sini agar membenci maksiat yang semakin berleluasa, kelab malam, premis urut, arak dan hiburan yang bermacam-macam.

Ia sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, hanya entah manusia mahu sedar atau tidak. Dalam satu ayat Allah SWT menyatakan zahirnya kerosakan di daratan dan lautan gara-gara tangan manusia.. Ternyata Allah SWT masih mengasihi penduduk pulau ini. Justeru dekatkan diri ke rumah Allah, program-program yang mendatangkan kasih sayang Allah SWT. Untuk peristiwa ini, saya rakamkan turutan ayat al-Quran dari surah al-A’raf :

96. Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi; tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

97. Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?

98. Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

99. Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

100. Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?

ABANG AWANG PANDAI BERCERITA

Mohammad Azdhann Shah (tengah), Aina Balqis Abdullah (kanan) dan Siti Yusrin Adnan bersama trofi kemenangan di Labuan, kelmarin.

Azdhann Shah juara bercerita sekolah rendah

LABUAN 4 Okt. – Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Satu, Mohammad Azdhann Shah muncul juara pertandingan bercerita sekolah rendah Tahap Dua Terbuka sempena Tamu Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL), semalam.

Mohammad Azdhann yang menyampaikan cerita bertajuk Talut dan Jalut membawa pulang hadiah wang tunai RM100, trofi dan sijil penghargaan.  Naib johan dengan tajuk cerita Sang Kerbau dan Sang Buaya dimenangi murid Tahun Lima SK Bukit Kalam, Aina Balqis Abdullah yang menerima RM80, trofi dan sijil penghargaan.

Murid Tahun Lima, SK Pekan Satu, Siti Yusrin Adnan pula menduduki tempat ketiga dengan cerita bertajuk Qabil dan Habil meraih RM50, trofi dan sijil penghargaan. Tiga lagi peserta ialah Yazid Zahiruddin Faiz Muizzudin dari SK Pantai, Alice Lee Chai Pez dari SJCK Chung Hwa dan Khairunisa Jaffri dari SK Rancha-Rancha menerima RM20 dan sijil penghargaan.

Hadiah kepada pemenang pertandingan itu disampaikan oleh Ketua Hakim, Malai Zaidi Bakar.

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (7)

HATIKU TERUSIK.

1984-1985

Saya mula mengenal erti sekolah, cikgu, beg sekolah dan seumpamanya pada tahun 1984. Saya memasuki pra sekolah bernama Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) anjuran KEMAS di kampung sendiri.

Dari rumah ke kelas, hanya sekitar 200 meter.

Meski jaraknya dekat, saya bukanlah murid yang rajin ke sekolah. Pemalasnya, Allah saja yang tahu. Sudahlah pemalas, penakut pula. Teringat zaman itu, boleh membuatkan senyum sendiri.

Di sekolah TADIKA pula saya kerap bersembunyi di bawah meja. Lebih hebat, di bawah kerusi. Hari-hari ditemani mama, menanti penuh sabar seorang anaknya yang be’ulah ini sehingga 10.30 pagi.

Situasinya hanya dua. Kalau datang, saya lebih banyak bersembunyi kerana takutkan Cikgu Salina. Kalau tidak, saya hanya di rumah, tidak mahu ke sekolah.

Tapi di rumah, saya suka ‘menengok’ akhbar Sabah Times yang menjadi bacaan bapa dan keluarga. Saya tidak tahu membaca, hanya melihat gambar dan cuba mengeja rancangan TV. Kalau-kalau petang itu ada cerita kartun.

Selain itu, di rumah saya suka membuat latihan berbanding di sekolah. Kebetulan bapa seorang guru (pengetua), dia selalu menyediakan kerja rumah untuk saya siapkan.

Hujung 1985, ada majlis penyampaian hadiah (konvo dalam bahasa hari ini) untuk murid tadika. Majlis diadakan di dewan sekolah rendah yang terletak bersebelahan.

Di hujung majlis, saya dinobatkan sebagai murid tadika terbaik. Saya diapit oleh rakan-rakan, yang sebahagiannya kami masih bersahabat sehingga kini. Mohd Farizey John, Jamaluddin Ahmad, Awangku Hasbollah Pg Hassan dan Md Irwan Adnan.

2007-2009

Hati saya terusik apabila melihat anak sulung, Nuha naik pentas di Pusat Perdagangan Sabah (STC) Likas sabtu lalu. Terusik mengenang diri naik pentas kampung 25 tahun lalu menerima hadiah ketika umur sama seperti Nuha.

Masa pantas berlalu. Tanpa dirasa PASTI Nur Fathonah Taman Union Putatan menggenapkan umur operasinya selama 3 tahun. Nuha satu-satunya murid yang bermula dari awal pada 2007 dan bertahan selama 3 tahun sehingga minggu ini.

Kawan-kawannya ketika PASTI bermula sudah mengundur diri dan berpindah ke tadika lain. Saya sendiri pernah terfikir untuk memindahkan Nuha ke tempat lain, kerana hampir berputus asa dengan keadaan dan cabaran ketika itu.

Saat Nuha mula ke PASTI pada 2007, rasa gembira itu saya kongsikan dengan bapa. Saya hubungi sendiri, bercerita bahawa cucu ke sembilannya itu berani ke sekolah.

“Baguslah.. bukan macam kau dulu, penakut!” Bapa mengimbau sikap dan gelagat saya 25 tahun lalu. Hahaha.. malunya.

Dua minggu lalu, ketika saya ada tugas rasmi di Melaka, isteri ada menyampaikan SMS bahawa Nuha dan Hana mendapat tempat pertama dalam tahap masing-masing. Ertinya mereka akan naik pentas menerima hadiah.

Nuha anak yang berani, kalau dibanding dengan saya dahulu. Dia tidak menangis ditinggal di PASTI sendirian seperti saya, Nuha berani menyertai sukaneka mewakili PASTInya dan menjadi qariah ketika majlis bermula dalam konvo sabtu lalu.

Nuha akan meninggalkan PASTI hujung minggu ini dan memasuki medan baru di sekolah rendah awal tahun hadapan. Dia meninggalkan guru di PASTI yang sering bertukar guru, dan meninggalkan adiknya Hana yang akan naik ke kelas umur 5 tahun.

Sebagai ganti, hero kami Abdul Hadi akan masuk ke PASTI untuk umur 4 tahun. Cuma saya kurang maklum, adakah PASTI Nur Fathonah masih wujud pada tahun hadapan atau tidak? Pengurusan PASTI mungkin boleh menjawabnya.

Walaupun Hadi mengganti Nuha, pengalaman menghantar dan meninggalkan anak di sekolah saat mereka masih kecil sudah tentu tidak sama. Anak pertama sudah tentu meninggalkan kenangan tersendiri yang sukar dilupakan.

Sebab itu hati saya sekali lagi terusik apabila petugas majlis menegur ibu bapa yang menggambar anak di atas pentas ketika sesi penyampaian sijil berjalan, kerana dikatakan lambat.

Saya ada perasaan. Naluri saya sebagai bapa kepada anak yang diraikan mengatakan, ini hari mereka. Tanpa anak-anak yang diraikan, majlis ini tiada ertinya.

Perasaan saya terusik lagi ada anak yang tidak digambar oleh ibu bapanya. Menerima skrol sijil tanpa dihiasi kerdipan cahaya kamera. Ada di kalangan anak ini yang ternanti dan terhenti di atas pentas menunggu saat digambar. Suram rasanya.

Secara ringkasnya, saya titipkan berbanyak terima kasih kepada gurunya, Cikgu Aminah, Cikgu Eja, Cikgu Sarini, Cikgu Yusni, Cikgu Anne dan beberapa nama lagi yang tidak diingati kerana selalu bertukar guru. Allah saja yang mampu membalas.

‘Ala kulli hal, perasaan bersyukur kepada Allah SWT tetap mengatasi segalanya. Nuha menamatkan pelajarannya di PASTI dalam keadaan boleh membaca rumi, jawi dan al-Quran. Alhamdulillah.

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (8)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (9)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (10)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (11)

TETAMU DARI BRUNEI DARUSSALAM

P6210874

Hari ini saya menerima emel berupa gambar-gambar dari keluarga di Labuan.  Keluarga kami menerima tetamu istimewa dari Negara Brunei Darussalam.

Tetamu itu ialah sepupu kami sendiri yang sudah menetap dan berkeluarga di sana.

Hakikatnya jarak Labuan dan Brunei bukanlah jauh sehingga menghalang kami bertemu. Tetapi kehidupan masing-masing yang sudah mempunyai keluarga dan kerjaya sendiri, menyebabkan pertemuan itu terasa sangat manis dan berharga sekali.

Abang Hamzah bin Mohammad merupakan sepupu tertua kami. Allahyarham bapa mereka yang sudah lama kembali kerahmatullah, adalah abang sulung dalam adik  beradik bapa.

Abang Hamzah tiada dalam gambar pertama di atas, kerana menjadi jurugambar. Yang ada di dalam gambar itu ialah keluarga kami bersama isteri dan anak-anaknya.

Isterinya ialah yang duduk 3 dari kanan, sementara 4 orang anaknya yang berdiri 3 lelaki dan seorang perempuan, bermula nombor 2 dari kanan. Besar-besar dan bujang-bujang sudah anak-anak buah ni.

Minat Abang Hamzah kepada seni foto sudah terserlah sejak lama dahulu. Lihatlah aksinya bersama kameranya ini. Saya pernah melihat gambar-gambarnya yang pernah diambilnya dahulu memang cantik.

P6210863

Saya sendiri lebih lama tidak  bertemu mereka. Mungkin pertemuan terakhir lebih 10 tahun lalu. Saya terkenang saat-saat bertemu mereka di Brunei satu masa dulu. Mereka orang baik-baik. Bilalah agaknya mahu ke Brunei lagi…

Semalam, seseorang perempuan tua yang kami anggap sebagai ahli keluarga kami dari Labuan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Ounah Daud, 75 tahun kami semua memanggilnya dengan nama Uwa. Sebenarnya dia bukanlah ada pertalian darah yang hampir dengan kami.

Daripada versi yang saya ketahui, dahulunya ibu kami diasuh oleh seseorang yang bernama Saliha binti Bakar (Allahyarham) yang kami panggil Nenek Pulin.

Nenek Pulin sudah lama kembali kerahmatullah, sebulan selepas saya mendaftar masuk di SMAI Toh Puan Hjh Rahmah Kota Kinabalu pada Januari 1992.

Nenek Pulin adalah ibu angkat, ibu susu dan orang yang mengasuh ibu kami. Bersama-sama ibu kami, yang turut diasuhnya terlebih dahulu ialah  Uwa ini. Nenek Pulin punya pertalian darah yang tidak terlalu jauh dengan bapa kepada bapa kami.

Nenek Pulin adalah seorang bidan kampung. Di rumah kami di Labuan itu, seingat saya ramai ibu-ibu yang bersalin ‘di tangannya’. Begitu juga bayi yang berkhatan, ibu mengandung atau lepas mengandung yang perlu diurut dan sebagainya.

Pendek kata, kemahiran Nenek Pulin telah menjadikan rumah kami meriah dengan kunjungan ramai orang yang memerlukan bantuannya.

Jasa Nenek Pulin bukan sahaja berkaitan masalah sakit puan. Dia telah menjaga ibu kami dan Uwa sekali sehingga mereka dewasa dan masing-masing berkeluarga. Apabila Nenek Pulin kembali kerahmatullah di rumah kami yang didiaminya sejak awal 80an, Uwa masih tinggal bersama kami sehingga kini.

Menerusi cerita Uwa, Nenek Pulin mengambilnya dari ‘kangkangan’, iaitu sejak lahir lagi ketika itu di Kg Labu Brunei. Uwa ada 4 beradik, kakak tuanya bernama Saidah sudah uzur dan punya cicit di Brunei.

Dua lagi abangnya meninggal dunia. Seorang bernama Hj Yusuf kembali kerahmatullah beberapa tahun lalu di Labuan dan seorang lagi meninggal semasa kecil akibat jatuh telaga.

Uwa seorang ibu tunggal. Suaminya telah meninggal dunia berbelas tahun lalu. Perkahwinan lambat mungkin menjadi asbab mereka tidak dikurniakan anak. Yang ada seorang anak angkat sahaja. Itu pun kini berada di Sandakan.

Apabila semalam kami ditanya doktor tentang hubungan kami, along menjawab, itu adalah kisah yang panjang yang payah hendak diceritakan.

Tetapi kami semua mengakui persaudaraan itu, kerana ibu kami diasuh bersama-sama sejak kecil.

Di QEH, along memujuk Uwa bahawa dia tidak lama di sini. Mungkin seminggu saja.

Saya perhatikan, wad itu mengandungi 14 katil. Hanya 11 terisi. Empat daripadanya beragama Islam berdasarkan nama yang terpapar. Selebihnya tiong hua dan kadazan dusun menurut pemerhatian saya.

Tadi pagi, doktor sudah melakukan anggaran kos pembedahan akibat tulang pinggul yang patah sekitar RM3,500 sahaja. Menurut perakuan awal, BaitulMal Labuan bersedia untuk meluluskan bantuan dibawah RM5 ribu.

Uwa sudah memberitahu dia mahu balik. Sejarah hidupnya di rumah dan di kampung memperlihatkan dia seorang yang aktif dan tidak betah di rumah berdiam diri.

Jika ditakdirkan sihat, mungkin dia akan bertongkat selepas ini dan menemani ibu kami yang juga belum sihat sepenuhnya daripada penyakit angin ahmarnya.

IMG_3402Minggu pertama cuti persekolahan ini, kami tidak balik bercuti ke kampung. Kali terakhir balik pada awal tahun ini.

Kerinduan dengan keluarga di kampung sebenarnya terubat juga apabila kami diziarahi oleh keluarga yang bercuti ke tanah besar Sabah.

Pada 3hb, saya menyambut kakak bersama suami dan anak-anaknya yang bercuti 3-4 hari di Kota Kinabalu. Saya hanya mampu berbakti dengan meminjamkan salah satu kereta yang ada.

Pada 6hb pula, ketika saya berada di ibu negara, seorang lagi abang saya datang untuk meminjam kereta lagi satu. Saya tidak sempat bertemu dan semalam kereta dipulangkan.

IMG_3915Pada petang ahad 7hb, abang nombor 2 sekeluarga pula datang ke rumah. Mereka baru balik bercuti dari Semporna di rumah mertuanya. Saya kebetulan baru balik dari KL. Sempatlah bertemu sekejap.

Sebenarnya jarang sekali rumah kami dikunjungi keluarga sebelah saya. Kecuali bapa yang pernah bermalam sekali tahun lalu, kali ini Nuha yang sudah memahami keluarga besarnya merasa hairan, kenapa kali ini 2-3 kali rumah dikunjungi keluarga dari Labuan..

Alhamdulillah, kami dapat berbakti sekadarnya untuk keluarga sendiri. Menyambut atau menghantar ke terminal lapangan terbang. Kalau perlu, kereta dipinjamkan atau ditemankan berjalan.

Berbaktilah walau sekelumit, sementara kita masih punya keluarga. Sementara, esok bapa pula datang; jumaat ini jika dizinkan Allah, ada seseorang dalam keluarga besar sebelah bapa akan melangsungkan pernikahan.

Saya belum mengesahkan kehadiran, walaupun tuan punya tubuh beriya-iya membawa saya sebagai teman dan saksi.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 75 other followers

%d bloggers like this: