Archive for 4 Jun 2009


SELAMAT PENGANTIN BARU

Ust Md Sidik Hj Ag Adi (Timbalan Pengarah JHEAINS)

&

Ustazah Yuliyana Md Yunus (Penolong Pegawai Tadbir Agama Beluran)

6 Jun 2009 (Papar) & 7 Jun 2009 (Sipitang).

Daripada Abu Nuha Corner Sekeluarga.

Semalam, saya mendengar satu segmen di Sinar FM.

Seorang ibu membuat panggilan ke konti studio, menceritakan penantian yang agak sederhana tempohnya – hanya enam tahun selepas perkahwinan, barulah ia mendapat anak. Allah menguji kesabaran mereka suami isteri dan akhirnya diberi zuriat keturunan awal Mei lalu dengan mendapat anak kembar tiga.

Si ibu bercerita dengan penuh gembira sekali. Saya membayangkan senyuman girangnya – walaupun tidak mengenalinya – menceritakan kepada pendengar kebahagiaan yang dialaminya ketika itu.

Saya terkenang seorang sahabat serumah di Mesir satu ketika dahulu, yang isterinya juga adalah sahabat lama saya. Saya mendengar kisah isterinya beberapa kali keguguran. 2 tahun lepas kami bertemu dan berziarah di rumahnya, alhamdulillah mereka dikurniakan kembar dua.

Saya terkenang pula dengan sahabat akrab saya sehingga kini. Saya mayakini bahawa mereka tertekan; kalau tidak banyak, sedikit sudah tentu. Mereka berkahwin pada 2003, setahun setelah saya mendirikan rumahtangga. Enam tahun berlalu, mereka belum punya zuriat.

Ketika rakan-rakan yang berkahwin selepas mereka kini sudah mula menghitung anak, mereka masih berdua lagi.

Seorang lagi kenalan jamaah di Tawau yang sudah berumahtangga lebih 17 tahun lalu, juga belum dikurniakan anak. Mulanya saya langsung tidak mengetahui hal ini. Apabila berkunjung ke Tawau dan beliau mempelawa bermalam di rumahnya, barulah saya mengetahui mereka belum dikurniakan anak.

Ada pula sahabat yang berkahwin, terus menjadi bapa kepada dua anak. Jangan prasangka. Isterinya adalah seorang janda beranak dua. Bapa ekspress kata orang.

Barang dijauhkan Allah SWT, ada sahabat saya yang bercerai sesudah berkahwin beberapa tahun dan belum punya anak. Apakah puncanya kerana ketiadaan anak atau salah seorang berlaku curang, Allah lebih mengetahui.

Orang kata, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Sudah tentu adalah di sana kebijaksanaan Allah SWT menentukan qadha dan qadarnya. Bila, bagaimana, kenapa, terpulanglah kepadaNya.

Nabi Allah Zakaria dan Nabi Allah Ibrahim AS juga lambat menimang cahaya mata. Tetapi Allah mentakdirkan anak-anak mereka menjadi manusia yang hebat, menjadi contoh sepanjang zaman.

Kepada mereka yang masih berusaha dan menanti, renungilah ayat di dalam surah al-Anbiya’ yang menjadi doa kepada Nabi Zakaria :

“Wahai Tuhan, jangan Engkau biarkan aku hidup sendirian (tanpa zuriat keturunan), Engkaulah sebaik-baik yang pemberi waris”.

 

%d bloggers like this: