Archive for 15 Jun 2009


[Sesekali membuat ulasan bola sepak].

IMG_4066Zaman sekolah menengah dan di Maahad dahulu, ketika pasukan bola sepak Sabah mencapai kemuncaknya, khususnya ketika zaman angkatan Matlan Marjan, ketika itu memang saya mengikuti perkembangan bola sepak secara hampir.

Malahan, acapkali turun ke Stadium Likas atau Penampang bersama kawan-kawan menyaksikan pasukan Sabah beraksi. Itu dahulu.

Kini saya bukan lagi peminat tegar bola sepak. Hanya sesekali menonton dan membaca khabar berita, sekadar untuk ambil maklum dan meraikan kawan-kawan. Keadaan tidak begitu mengizinkan untuk saya mengambil berat soal bola seperti dahulu.

Setelah majlis perasmian seminar malam ini tamat awal, kami santai-santai menonton bola sepak Konfederasi 2009 antara Brazil dan Mesir. Ketika itu kedudukan baru 2-1, Brazil mendahului.

Tiba-tiba saja saya meminati Mesir, mungkin sentimen pernah berada di sana beberapa tahun. Bukan saya membenci Brazil, kerana pasukan itu sebenarnya saya sukai dek pemain-pemain hebat mereka yang saling bersilih ganti.

Mungkin juga kerana apabila Brazil bertemu pasukan yang dianggap lemah, maka semua menyokong Brazil. Biarlah saya menyokong Mesir seketika.

Di Mesir dahulu, saya juga bukan peminat bola sepak Mesir. Sesekali menonton juga bersama rakan-rakan serumah perlawanan pasukan kebangsaan Mesir beraksi atau kelab-kelab mereka seperti al-Ahli dan lain-lainnya melalui kaca tv.

Bagi mereka yang pernah duduk di Mesir, betapa mereka mengetahui rakyat Mesir yang sememangnya secara umum ‘taik’ bola. Apabila pasukan pujaan menang, penyokong mereka pula beraksi di tengah jalanraya meraikan kemenangan. Suasana jalanraya begitu bising dengan bunyi hon yang sambung menyambung.

Kebetulan Wisma Yayasan Sabah Kaherak (WYSK) yang terletak di Jalan Abbas el-Aqqad itu tidak begitu jauh dari stadium. Agak saya kalau jalan ke sana lengang, tidak sampai 10 minit pun akan tiba.

Jadi suasana hingar bingar setelah perlawanan bola selesai akan sampai juga ke persekitaran Abbas el-Aqqad dan Hatiem at-Taie yang menjadi lorong bangunan rumah Sabah.

Saya sudah membayangkan kalau-kalau Mesir berjaya mengikat Brazil dengan jaringan 3-3.

Kalaupun tidak menang, sekadar seri dan berjaya menjaringkan bola tiga kali ke gawang Brazil sudah membuatkan Mesir seolah-olah memenangi Piala Dunia. Saya sudah membayangkan jalan-jalan di Kota Kaherah khususnya akan dipenuhi kenderaan berjam-jam malam ini.

Saya tambah teruja apabila pada minit 55, Mesir mengikat kedudukan 3-3 melalui  Zidan setelah seminit sebelum itu mereka menjaringkan gol kedua melalui Shawqi. Brazil bermain seperti ada yang tidak kena. Mesir menguasai padang permainan sehingga minit ke-90!

Tetapi akhirnya Brazil mendapat saguhati dengan tendangan penalti dijaringkan oleh Kaka pada minit 90, dan menang dengan jaringan 4-3.

Cis, gol akhir itu betul-betul mengacau mood malam ini!

Penjaring : Brazil – Kaka (minit 5 & 90), Luan Fabiano (m 12) dan Juan (m 37). Mesir – Zidan (m 9 & 55), Shawqi (m 54)

IMG_39912 jam lalu, berdua bersama ketua, kami tiba untuk menyertai program berkenaan di Hotel De Palma Ampang. Program ini dianjur oleh JAKIM. Insya Allah kami akan berada di sini sehingga tengahari rabu nanti.

Dalam seminar ini, 7 kertas kerja akan dibentangkan oleh beberapa tokoh. Ia akan didahului dengan majlis perasmian oleh Menteri di JPM, Dato’ Jamil Khir Baharom pada malam ini.

Sejak berada di unit penyelidikan JHEAINS mulai mac 2008, inilah kali pertama saya terlibat dalam kursus atau seminar yang benar-benar dalam bidang yang saya berada.

Apabila dipelawa menyertai seminar ini, saya sangat gembira, mudah-mudahan ada ilmu yang boleh dibawa balik. Insya Allah, ada kesempatan, saya akan mengulas kertas-kertas kerja dan seminar ini nanti.

Sementara itu, saya memerhatikan ada keistimewaan dalam pengurusan hotel ini yang akan saya sentuh dalam artikel berikut nanti.

Dahulu apabila ada dua kes selsema babi dalam negara dan reda sekejap, diumumkanlah negara ini bebas penyakit itu. Sehingga hari ini, kesemuanya ada 17 kes dengan hari ini 5 kes terbaru.

Walaupun dinyatakan bahawa kes itu hasil jangkitan luar negara, nampaknya dalam soal ini kita tidak mengambil pedoman agama dalam menangani penyakit berjangkit.

Saya meyakini, ramai mengetahui formula ini dan saya sekadar mengingatkan.

Tetapi oleh kerana kedegilan dan bodoh sombong dalam menginsafi bahawa penyakit ini adalah ujian dan bala daripada Allah, maka negara-negara yang dilanda musibah ini seolah melupakan pendekatan agama.

Bukankah dalam menghadapi penyakit berjangkit, kita diajar formula berikut :

“Yang di dalam jangan keluar; yang di luar jangan masuk”.

Penyakit ini bermula di Mexico, mereka keluar dan menyebarkan penyakit ini ke negara-negara lain. Ditambah pula orang dari luar, datang pula ke negara-negara yang ‘berpenyakit’ itu dan akhirnya mendapat wabak yang sama.

Kini barulah hendak diwar-warkan gesaan agar rakyat tidak pergi ke negara-negara yang bermasalah buat sementara waktu. Sepatutnya tindakan ini dibuat lebih awal.

Begitu juga negara awal bermulanya penyakit ini sepatutnya menegah penghuninya keluar negara dan melarang orang luar masuk ke sana. Sekian satu pandangan.

Lima lagi kes selesema A (H1N1) disahkan melanda negara hari ini, menjadikan kes semuanya 17 sejak 15 Mei lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Semua kes terbaru itu dilaporkan akibat jangkitan di luar negara.

Mangsa ke-17 seorang wanita Malaysia berusia 26 tahun yang pulang daripada melancong di Melbourne dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Kes ke-16 pula seorang penduduk Amerika Syarikat, pelajar 14 tahun yang pulang untuk melawat keluarganya di Sabah.

Pelajar perempuan itu kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Mangsa ke-15 seorang penduduk tetap Malaysia yang berusia 16 tahun dan kini belajar di Melbourne yang pulang untuk bercuti.

Keluarga pelajar kini sedang dikuarantin, sementara remaja lelaki itu dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Dua lagi membabitkan seorang pelajar lelaki 12 tahun yang pulang bercuti di Manila, dan seorang pelancong Britain, 25, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan selepas mengalami tanda-tanda diserang selesema itu di Pulau Tioman.

Ibu pelajar itu dan teman wanita warga asing itu kini sedang dikuarantin.

Petikan dari http://www.malaysiakini.com/bm

%d bloggers like this: