Archive for 6 Jun 2009


BAR MONYET

IMG_3501Pagi jumaat lalu, ketika berjalan-jalan di sekitar ibu kota, kami melintasi sebuah premis bar. Entah apa tujuan pemiliknya menamakan dengan nama the monkey bar atau BAR MONYET.

Dalam al-Quran – surah al-Baqarah ayat 65 -, jika kita telusuri ada suatu kisah berkenaan hukuman yang Allah SWT timpakan keatas Bani Israil. Ia bermula apabila Allah SWT menguji mereka dengan larangan menangkap ikan pada hari sabtu.

Hari sabtu adalah hari Bani Israil dikhususkan untuk beribadah kepada Allah. Tidak boleh melakukan perkara lain termasuk menangkap ikan. Allah SWT menguji mereka dengan menjadikan pula hari sabtu itu, ikan menjadi banyak dan berkeliaran bebas. 

Ringkas cerita, mereka dihukum oleh Allah SWT dengan menjadi monyet yang hina kerana meninggalkan ibadah yang diperintahkan pada hari sabtu, sebaliknya menangkap ikan.

Dalam kisah ini, para mufassirin berbeza pendapat.

Sebahagiannya mengatakan Bani Israil yang dilaknat Allah SWT itu benar-benar menjadi monyet. Sebahagian lagi berpendapat, mereka berperangai seperti monyet, bukan menjadi monyet secara hakikat.

Apakah perangai monyet?

Dalam pepatah melayu ada mengatakan : Seperti monyet mendapat bunga. Ertinya jenis tidak tahu bersyukur. Demikian juga Bani Israil itu, setelah diberikan bermacam nikmat, hanya dipinta beribadah pada hari sabtu tetapi mereka tetap ingkar kepada Allah SWT.

Tetapi ayat al-Quran yang diturunkan itu, bukanlah semata-mata ditujukan kepada Bani Israil @ Yahudi sahaja. Kita wajib mengambil pengajaran terhadap sesuatu kisah yang dipaparkan di dalam al-Quran, walaupun kisah itu asalnya bukan berkaitan dengan kita.

Apabila kita mendapat nikmat, lantas digunakan bukan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT, nyata itu bukan syukur. Jadi apa bezanya kita dengan Bani Israil itu?

Lihatlah orang yang masuk disko, orang yang hadir dalam konsert mungkar. Perbuatan mereka terlompat-lompat dan terkinja-kinja seperti monyet. Ingatkan bar yang dimaksudkan menempatkan haiwan monyet untuk mereka santai-santai sambil menari dan bergembira.

Rupanya ia tempat manusia yang berperangai seperti monyet. Itukah yang dimaksudkan oleh pemilik bar ini?

Artikel yang bagi pendapat saya agak santai tapi penuh makna, sinis dan sindiran. Saya petik dari blog sahabat yang juga wartawan Utusan Borneo Abd Naddin : http://abdnaddin.blogspot.com/.

Bagi yang bijak membaca dan menilai tulisan beliau, ada sesuatu yang ingin disampaikannya.

PB060578

“Minta kayu balak bos!” kata Mr Robert selepas kami menikmati sup tulang gerai jawa di Kun Hin.

Pelayan restoran itu datang membawa kayu pencungkil gigi. Saya terfikir mengapa agaknya kayu pencungkil gigi itu dipanggil kayu balak?

Saya tersenyum sendiri membayangkan bagaimana agaknya kalau benar-benar batang kayu balak yang diangkat oleh pelayan itu. Berapa orang, berapa lama masa yang diambil untuk mengangkatnya?

Mungkinkah kayu pencungkil gigi itu diperbuat daripada kayu balak? Atau oleh kerana kayu balak di hutan Sabah sudah habis, maka yang tinggal hanya kayu balak sebesar pencungkil gigi.

Kayu balak adalah satu kosakata yang banyak mempengaruhi cara hidup orang Sabah. Dengan wang hasil kayu balak, orang Sabah membina negerinya, memberikan pendidikan kepada rakyatnya, memberi kemudahan kesihatan, meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi mereka.

Kayu balak yang menjana ekonomi Sabah satu ketika dulu memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah, tidak kurang juga orang yang memanfaatkan kayu balak itu untuk kekayaan diri dan kemewahan diri mereka sendiri.

Dulu pernah ada orang terbang ke Singapura semata-mata untuk bergunting rambut. Entah kerana terlalu banyak kayu balaknyakah ataukah kerana ketika itu tidak ada tukang gunting di negeri ini?

Perbuatan-perbuatan mubazir itu akhirnya membawa padah kepada kita sehingga menjadikan kita lalai dan leka, terbuai dengan kemewahan sehinggakan Sabah yang dulu merupakan negeri terkaya di Malaysia kini menjadi negeri termiskin di Malaysia.

Kalau dulu kata Datuk Samad Maharudin, bekas Exco Selangor yang pernah lapan bulan bekerja dengan arwah Tun, orang Sabahlah yang menghantar duit ke Semenanjung untuk belanja pilihanraya. Tetapi kini sebaliknya, orang Sabahlah yang banyak meminta.

Di kampung-kampung, kayu balak juga menyebabkan orang muda jadi tua.

Usianya bertambah atau ditambah dua atau tiga tahun dari usia asalnya semata-mata bagi melayakkan mereka menerima wang Amanah Tun Mustapha yang kemudian ditukar namanya kepada Amanah Rakyat Sabah. Setiap rakyat yang mencapai usia 21 tahun layak menerima wang amanah rakyat itu.

Saya pernah juga `ampit’ sekali. Di sebalik pro dan kontranya, sekurang-kurangnya rakyat Sabah pernah menikmati wang hasil kayu balak itu. Tetapi kini kayu balak tidak banyak lagi di hutan kita.

Jadi mengapa kayu pencungkil gigi itu diberi nama kayu balak?

Saya pernah bertanya kawan-kawan di Facebook. Alvin Ting menyatakan ini kerana kayu pencungkil gigi dibuat dari kayu balak. Saiee Driss, penyair dari Sarawak mengatakan bahawa kerana kini sedikit saja, yang diagihkan maka yang sedikit itu dilihat sebesar balak.

Mungkin juga yang tersisa di hutan kita hanya kayu sebesar pencungkil gigi kerana telah ditebang dan dimusnahkan.

“Tapi jangan salah anggap. Di Sabah dulu hanya ada satu jenama kayu pencungkil gigi yang jual dan lambang di kotaknya lambang kayu balak. Itu sebabnya kayu pencungkil gigi lebih senang dipanggil kayu balak,” kata Patrick Mosinoh.

%d bloggers like this: