Archive for 27 Jun 2009


NIKMAT DARI TANDAS

IMG_4436Selepas jumaat, saya menyambung kuliah di GiatMARA Inanam, huraian kepada buku ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ susunan almarhum Dr Fathi Yakan, dalam bab 2, : Saya Mesti Muslim Dari Sudut Ibadah.

Minggu ini perbincangan berlegar berkenaan saranan membaca al-Quran dan beberapa doa harian yang patut diamalkan bersama.

Antara yang disentuh ialah doa keluar tandas. Ramai yang kurang perasan bahawa boleh kencing dan berak dengan selesa itu adalah satu nikmat daripada Allah SWT. Berapa ramai orang masuk hospital kerana penyakit tidak boleh kencing dan berak.

Setidak-tidaknya, ada juga penyakit orang yang susah menahan kencing dan berak sehingga menyebabkan keadaan yang tidak selesa dan kelam kabut.

Oleh itu, kita yang diberi nikmat boleh kencing dan berak itu jangan lupa berdoa selepas keluar dari tandas, kerana Allah SWT memberinya nikmat dan kelegaan setelah menyelesaikan urusannya.

Dalam kuliah yang sama, saya difahamkan ada beberapa pelajar GiatMARA, yang mengambil bidang motor akan menamatkan pembelajaran mereka selama 6 bulan ini, mulai minggu depan.

Antaranya ialah Rizal (Tawau), Shahrul (Lahad Datu) dan Amin (Kunak) bersama beberapa rakan mereka yang lain yang tidak hadir. 

Pesan saya agar mereka konsisten dengan Islam di mana sahaja berada. Mulailah beramal dengan ajaran Islam walaupun sedikit demi sedikit. Semoga kita bertemu lagi.

P6060270Secara jujurnya, semalam saya terlambat sedikit hadir solat Jumaat. Saya hanya mendapat ‘hadiah’ telur ayam kerana masuk masjid ketika khutbah baru bermula.

Kegemaran saya sejak setahun ini ialah berjalan merata masjid secara bergilir-gilir. Semalam, saya berjumaat di Masjid Bandaraya, Likas. Khatibnya ialah Imam Daerah, Hj Aslie Abdul Karim. Seperti biasa, suaranya jelas dan lantang.

Saya tidak berhajat mengulas khutbah  beliau. Tetapi saya begitu tidak selesa melihat gelagat beberapa orang yang saya kenali sebagai AJK dan orang kuat masjid yang asyik bersembang di beranda masjid ketika khatib sedang berkhutbah.

Saya tidak pasti adakah mereka mengetahui larangan bercakap-cakap ketika imam sedang berkhutbah. Yang saya perhatikan, macam mereka selesa dan seronok pula berbual-bual tanpa rasa bersalah, sedang orang ramai lalu lalang masuk ke dalam masjid.

Rupa-rupanya mereka berdiri di luar menanti kehadiran pemimpin yang khabarnya sering lambat hadir ke masjid. Biasanya hamba Allah itu hadir sekitar 12.45-12.50 dan kemudian melucur laju ke saf pertama.

Dalam masa menunggu-nunggu itulah beberapa AJK ini bersembang-sembang.

%d bloggers like this: