Cuti-cuti sempena Hari Malaysia tempohari diteruskan dengan kami sekeluarga tidur bermalam di Inap Desa Aslam di Kg Shabandar Tuaran. ‘Inap Desa’ adalah nama lain bagi ‘homestay’ di dalam bahasa Melayu. Ia milik dan usaha sama sahabat kami Tuan Haji Abu Aslam dan beberapa sahabat lain yang berkongsi saham. Tanah seluas 3-4 ekar ini sebelum beliau beli adalah milik Allahyarham Ustaz Haji Nahar yang dahulunya dijadikan lokasi kandang dan pusat penyembelihan lembu.

Inap Desa Aslam ini mempunyai empat buah rumah penginapan – dengan kelengkapan satu bilik tidur berhawa dingin, ruang tamu, dapur dan bilik air. Selain itu ada dua bangunan berasingan yang boleh dijadikan bilik mini seminar atau mesyuarat, sebuah pondok terbuka di atas sebuah kolam yang berisi ratusan ikan keli yang boleh dipancing sekiranya berminat. Kawasan ini dikelilingi dengan lebih 100 pokok mangga, sebahagian besarnya baru membesar dengan ketinggian  sekitar 1-2 meter dan ada pula yang baru mula berbuah.

Hajat awal Tuan Haji Abu Aslam ialah untuk pemegang saham dan kawan-kawan masing-masing menginap atau berehat di sini pada hujung-hujung minggu dengan menikmati suasana kampung. Walaubagaimanapun jika ada permintaan  pelanggan luar untuk bermalam di Inap Desa Aslam ini akan dipertimbangkan dengan kadar bajet yang bersesuaian. Selain itu, tidak jauh di belakang kawasan ini ialah Pantai Dalit, Tuaran dan di sebelah kirinya kawasan kandang kuda yang pengunjung boleh datang pada waktu-waktu tertentu.

Berdasarkan pengalaman kami sekeluarga, lokasi ini sangat mendamaikan khususnya bagi orang bandar yang ingin mencari suasana kampung  dan keluar dari hiruk pikuk kota. Anak-anak pula sangat teruja dan asyik untuk cuba memancing walaupun ketika itu kolam kekurangan air. Beberapa ekor ikan keli kecil terperangkap dengan umpanan mereka, dan itu menjadi kenangan percutian singkat kami sekeluarga di Inap Desa Aslam.

Hubungi Tuan Haji Abu Aslam untuk keterangan lanjut : 013-8863803.