Archive for 4 September 2012


ZIARAH AS-SAKINAH

Catatan lewat (aktiviti akhir Ramadhan)

Sebenarnya ketika rumah ini masih dihuni oleh Cikgu Abdul Hamid Abu Bakar, saya seringkali juga berziarah ke sini. Tapi sejak beliau berpindah ke Semenanjung lebih setahun lepas, ini kali pertama saya datang semula dengan rumah yang sudah berubah wajah dengan menempatkan beberapa anak yatim hasil usaha AJK Rumah Anak Yatim as-Sakinah di Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut.

Ketika saya dan anak – Abdul Hadi datang ke sini 2-3 hari sebelum hari raya, anak-anak yatim yang masih tinggal membuat persiapan akhir untuk kembali ke kampung halaman masing-masing, dengan diambil oleh waris mereka masing-masing. Saya dimaklumkan oleh Tuan Haji Fairuz Abdullah selaku timbalan pengerusi JK rumah ini menjelaskan sepanjang Ramadhan ini anak-anak yatim sibuk memenuhi undangan dan menerima tetamu pelbagai pihak khususnya berbuka puasa, menerima sumbangan dan sebagainya.

Begitu juga katanya anak-anak yatim sudah mula menerima undangan berhari raya. Namun seperti saya juga, Tuan Haji Fairuz berharap agar kepedulian umat terhadap anak-anak yatim ini tidak terhenti setakat Ramadhan dan Syawal sahaja. Mudah-mudahan semua AJK yang terlibat bersabar dalam mengurus anak-anak yatim. Insya Allah ganjaran besar menanti jika benar dan ikhlas.

Asma’ Raihana binti Azman dilahirkan pada 30 Ogos 2012.

Alhamdulillah, pada 2 dan 3 September lepas, sempat berziarah hari raya sekaligus mengucap tahniah kepada sahabat-sahabat yang menimang cahaya mata baru. Ada yang dapat hampir Ramadhan, dalam Ramadhan dan awal hari raya dan kesemuanya belum sempat diziarahi sehinggalah sehari dua  kebelakangan ini. Menariknya bayi-bayi ini sempat ditahnik oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kunjungannya ke Kota Kinabalu beberapa hari lepas.

Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah kefahaman sahabat-sahabat kami untuk memberikan nama yang baik dan indah untuk anak-anak. Perhatikan sahaja nama-nama Asma’, Fatimah, Humaira dan Nusaibah merujuk kepada tokoh-tokoh muslimat yang berlegar dalam kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat. Asma’ merujuk kepada salah seorang anak Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq juga adik kepada Sayyidatina Aisyah salah seorang isteri Baginda. Fatimah pula adalah anak kesayangan baginda yang luhur budi pekertinya, sementara Humaira ialah gelaran manja Rasulullah SAW kepada isterinya Aisyah RA. Nusaibah ialah seorang srikandi pada zaman Rasulullah SAW yang terlibat dalam perang uhud dan peperangan lain.

Anak-anak adalah permata hati, penyejuk mata dan penyeri kehidupan kita semua, mudah-mudahan anak-anak akan membesar sebagai muslimin dan muslimat yang berbakti kepada orang tua dan agamanya, mencontohi kehebatan tokoh yang mereka ambil namanya, insya Allah. Saya cadangkan sehingga anak-anak mengerti tentang kehidupan nanti, ceritakan kepada mereka watak-watak hebat dalam perjuangan Asma’, Fatimah dan Humaira’ (Aisyah) dan Nusaibah ini menyebarkan Islam pada zaman tersebut. Tahniah kepada semua sahabat kami suami isteri dan sekeluarga masing-masing.

Fatimah az-Zahra’ binti Muharram dilahirkan pada 19 Ogos 2012 bersamaan 1 Syawal 1433.

Humaira’ binti Hambali dilahirkan pada 14 Ogos 2012 bersamaan 26 Ramadhan 1433.

Aufa Nusaibah binti Saharuddin dilahirkan pada 29 Syaaban 1433  bersamaan 19 Julai 2012.

%d bloggers like this: