Archive for 13 September 2012


Mesyuarat kali ke-4 Lajnah Tashih al-Quran di Hang Tuah World Heritage Hotel Melaka diadakan pada 13-15 September 2012. Ada beberapa perkara yang menghiasi mesyuarat kami kali ini. Antaranya Setiausaha Bahagian (SUB)  Penerbitan dan Kawalan Teks al-Quran sudahpun bertukar kepada orang baru. Dahulu Encik Abdul Aziz Md Nor yang sangat memahami dan mengambil berat akan perkembangan lajnah kami, sementara sejak beberapa minggu kebelakangan SUB Bahagian ini diamanahkan kepada Puan Hashimah Nik Jaafar. Mudah-mudahan beliau dapat menjalankan tugas dengan cemerlang.

Kedua, sudah mula kedengaran tentang cerita perlantikan anggota ahli lajnah sesi akan datang 2013-2014. Perlantikan kami untuk dua tahun 2011-2012 akan berakhir pada sesi terakhir – dijangka sekali lagi akan bermesyuarat pada bulan november. Ada ahli lajnah yang akan dikekalkan dan ada yang digugurkan untuk memberi peluang wakil-wakil yang lain pula. Walaubagaimanapun, keanggotaan ahli lajnah akan diputuskan sepenuhnya melalui mesyuarat Lembaga Kawalan Teks al-Quran yang dipengerusikan oleh SS Tan Sri Harussani Mufti Perak, walaupun jabatan agama negeri-negeri ada mencadangkan wakil-wakil negeri mereka.

Ketiga, kami dimaklumkan antara tujuan mesyuarat dibawa ke Melaka ialah untuk menziarahi Ybhg. Datuk Haji Idris Talib, salah seorang ahli lajnah kami yang keuzuran. Beliau orang lama, seorang penghafaz al-Quran yang terkenal di negeri ini telah menjalani pembedahan di bahagian kaki beberapa minggu sudah akibat penyakit kencing manis. Mudah-mudahan beliau bersabar dengan ketentuan ini. 

Mesyuarat kali ini tidaklah terlalu stres dan ketat kerana jumlah bahan al-Quran yang disemak agak berpatutan. Hanya 42 juzu’ seorang untuk diselesaikan bermula rabu malam khamis sehingga pagi sabtu sama ada mashaf  al-Quran atau pun al-Quran digital. Semoga usaha kecil ini memberi kebaikan untuk semua demi menjaga kesucian al-Quran.

Penulis : Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed

Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Harga: RM 26.00

Buku “Himpunan Kisah Benar tapi Pelik” ini disusun berdasarkan kitab-kitab sejarah yang muktabar, yang merekodkan peristiwa-peristiwa luar biasa yang sangat memberikan rasa kekaguman dan keinsafan kepada diri yang membaca. Perkara-perkara ‘benar tapi pelik’ yang didatangkan oleh para nabi dengan izin Allah SWT menjadi al-bayyinat dan al-ayat, iaitu tanda-tanda kebenaran dakwah yang diperjuangkan oleh mereka serta menjadi bukti-bukti kebesaran Allah.

Antara keistimewaan dan kelebihan buku ini ialah ia mengajak masyarakat menggunakan akal secara optimum dalam mengkaji dan merenung kebesaran Allah SWT. Ia juga memasakkan keteguhan iman dan takwa kepada Allah SWT melalui kisah-kisah yang menakjubkan. Selain itu, ia memotivasikan orang ramai agar beriman dan beramal soleh supaya mendapat nusrah (pertolongan) dan karamah (kemulian) di sisi Allah SWT, juga turut menunjukkan tauladan, panduan dan pedoman berguna selaku hamba Allah SWT sehingga benar-benar menjadi insan yang berakhlak dan beriman.

Ia juga sebagai satu usaha menghidupkan kembali khazanah ilmu tulisan ulama silam yang semakin pupus ditelan zaman dan sesuai dijadikan sebagai santapan rohani, renungan sebelum tidur atau sebagai koleksi peribadi mahupun cenderahati agar kita sama-sama dapat mengkoreksi diri.

%d bloggers like this: