Archive for 19 September 2012


Alhamdulillah, Kelas Pengubatan Islam Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah (KPISD) kumpulan kedua menamatkan kelasnya pada 16 September lepas setelah menjalani kuliah sejak akhir mei 2012 setiap ahad. Kuliah ini dibimbing sepenuhnya oleh Yang Mulia Ustaz Haji Nik Anwar Zakaria al-Basuti. Disamping kuliah, sesi rawatan juga dibuka selepas kuliah untuk memberi pengalaman awal kepada bakal perawat.

Sementara menanti sesi konvokesyen pada awal Disember nanti, masih terdapat sebahagian sebahagian peserta yang belum menduduki peperiksaan hafazan ruqyah dan praktikal merawat. Terdapat belasan rangkuman ayat al-Quran dan doa daripada hadith mesti dihafaz oleh setiap peserta dan melakukan rawatan sambil dinilai oleh perawat-perawat senior. Sebagaimana sering disebutkan Ustaz Nik Anwar, beliau mengharapkan semuanya dapat lulus dalam kuliah ini demi kelangsungan dakwah Islam dari segi pengubatan Islam terutama yang berkaitan dengan makhlus halus dan sihir.

Saya juga sempat bertemu seketika dengan junior zaman sekolah dulu, Yappardin Haimin (foto terakhir) yang juga teman sebilik di asrama putera SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu. Yappardin selepas itu menyambung pengajian ke Universiti Malaya kini bertugas sebagai guru agama di SMK Tambulion Kota Belud. Bertahun juga tidak bertemu sejak habis zaman sekolah, dan apabila keluas pengubatan ini dibuka akhir Mei lepas, beliau antara pesertanya yang aktif dan datang dari Kota Belud setiap minggu. Untuk semuanya, semoga berjaya!

Saya meluangkan sedikit masa untuk menghadiri ‘Peluncuran Buku : Yusuf al-Qaradhawi & Kebangkitan Rakyat’ di Hotel Yaho Sembulan yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi 16 September lepas. Buku yang diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ini adalah terjemahan daripada buku asal berbahasa Arab : ’25 Yanair Sanah 2011, Thaurah Sha’ab’.

Buku ini menghimpunkan pemikiran, pendirian, kenyataan, khutbah dan fatwa D Yusuf al-Qaradhawi  berkenaan revolusi Mesir yang berlaku pada 11 Januari 2011 yang akhirnya mendapat kejayaan pada 11 Februari 2011. Buku ini mengisahkan perjalanan seluruh proses kebangkitan rakyat di Mesir yang menjadi contoh terbaik, di mana kumpulan yang bertahan ini penuh dengan kesabaran Рtiada gangguan sesama mereka, tiada pemuda yang menyakat pemudi, tidak pergaduhan sesama sendiri bahkan seseorang sanggup berlapar untuk mengenyangkan saudaranya.

Tahniah kepada ABIM dan kumpulan penterjemah yang telah mengambil suatu usaha murni agar perjalanan kebangkitan rakyat di Mesir boleh dibaca oleh masyarakat Malaysia pada hari ini terutamanya golongan anak muda. Saya juga bersetuju dengan saranan DSAI agar pelbagai pihak memperbanyakkan program bersifat ilmiah seperti diskusi atau sesi bedah buku seumpama yang diadakan pada 16 September lalu.

Harga buku ini ialah RM22.00/RM25.00 dengan ketebalan 270 muka surat, ia mengandungi 2 bahagian. Bahagian pertama himpunan keterangan, khutbah, fatwa dan seminar berkaitan kebangkitan rakyat Mesir. Sementara bahagian kedua memuatkan laporan berita, tulisan-tulisan tokoh, pendakwah, wartawan dan lain-lain.

%d bloggers like this: