Archive for 6 September 2012


Tuan Haji Abdul Hamid Mat Zin, pengerusi Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah yang saya hormati seorang yang ceria apabila dapat berbual panjang khususnya tentang pengimarahan masjid dan isu semasa yang berlegar dalam masyarakat. Sesekali beliau kelihatan tegas apabila terdapat isu yang perlu diselesaikan, apatah lagi berhadapan dengan orang ramai yang tidak peduli dengan majlis ilmu.

Beliau seorang polis pencen yang sarat dengan pengalaman bertugas di pelbagai lokasi termasuk ke Sarawak satu ketika dahulu. Pernah beliau bercerita sebelum ini bahawa sepanjang perkhidmatan sebagai anggota keselamatan, tidak pernah mengundi atau melihat kertas undi berkenaan pun. Tetapi apabila ditanya tentang haknya sebagai pengundi, dikatakan kertas beliau sudah dipangkahkan orang lain bagi pihaknya.

Beberapa bulan lepas, kecoh juga orang kampung apabila beliau dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung. Namun beberapa ketika beliau pulih dan kembali memakmurkan masjid. Malam itu isterinya meluahkan perasaan agar suaminya diberi peluang berehat dan tidak lagi diberi mandat sebagai pengerusi cukup sekadar jamaah biasa kerana sebagai isteri dia melihat suaminya dalam usia lanjut sudah kelihatan letih dan perlu diberi peluang orang muda memimpin pentadbiran masjid. Terpulanglah kepada jawatankuasa yang ada untuk memikirkan.

Atas peluang berziarah ke rumah beliau, saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan dapat berbual dengan orang yang baik dan berpengalaman.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/12932-perihal-abby-abadi-dan-ulama-muda

Written by Subky Latif

Rabu, 05 Sep 2012 04:22

Adapun Abby Abadi, seorang pendatang baru dalam PAS dan ketua Ulama Muda di pejabat Umno yang bernama Fathul Bari tidak ada kena mengena dan tidak ada sebarang hubungan. Mungkin keduanya tidak kenal mengenal dan mungkin juga tidak pernah bersua jumpa. Yang menariknya ialah Cik Puan Abby Abadi ini adalah seorang seniwati yang ada kedudukan dan ada pasaran dalam industeri perfileman.

Kita tidak tahu di mana dia mengaji  dan mendapat didikan agama? Tetapi di tengah memanjat puncak kerjayanya di dunia hiburan, dia terjun ke dalam arena perjuangan PAS dan berazam memupuk dan menegakkan akidahnya dan akidah umat. Dia menerima Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul  Hadi Awang sebagai pemimpinnya.

Manakala Syeikh Fathul Bari, seorang yang berstatus ulama muda, sudah tentu berpendidikan agama yang tinggi, jika tidak masakan dia dikenali sebagai ulama, anak bekas Mufti Perlis. Di mana dia mengaji tidak penting lagi tetapi dia adalah seorang ulama dan seorang pendakwah. Tetapi dia terjun dalam perjuangan Umno dan menerima Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin  Yasin sebagai pemimpinnya.

Tentulah pelik.

Seorang penghibur yang statusnya dalam agamanya adalah seorang awam saja memilih parti yang memperjuangkan Islam dan dipimpin oleh para ulama. Dunia yang digelumanginya selama ini adalah amat berbeza dengan cara hidup pemimpin dan penyokong PAS. Mungkin 10 tahun dulu tidak tahu apa-apa tentang luar dan dalaman PAS selain daripada yang didengarnya PAS adalah sebuah parti pembangkang yang memperjuangkan Islam. Yang dikatakan perjuangan Islam itu mungkin dia tidak tahu.  Tetapi sekonyong-konyong dia masuk PAS dan duduk sepentas dengan pemimpin-pmimpin yang antaranya tok-tok guru yang berserban dan berjanggut. Dia berazam untuk menghabiskan dunianya di situ.

Manakala ulama muda Fathul Bari pula sebagai anak mufti tentulah terdidik dari kecil dalam suasana Islami, dan sebagai ulama muda tentulah pergaulan dan hidupnya sentiasa dalam kawalan yang baik. Imej dan gambaran luarannya pun dilihat sebagai orang beragama. Mengikut bahasa orang  dulu gayanya itu adalah lebai. Peliknya dia tidak memilih parti yang memperjuangkan Islam seperti yang disertai Abby tetapi dia menyertai Umno yang perjuangannya sejak mula adalah sekular nasionalis.

Baik di bawah Dato’ Onn Jaafar, di bawah Tunku Abdul Rahman Putra dan lain-lain tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Semua tokoh Umno itu tidak menolak Islam sebagai agama mereka tetapi mereka tidak menerima Islam sebagai garis perjuangan politik. Kesemuanya berkata bahawa Islam tidak sesuai bagi dijadikan dasar politik dengan dalih Malaysia tidak didiami oleh orang Islam saja.

Abby Abadi yang terhad pengetahuan dan fahamannya tentang Islam tidak memilih parti seperti Umno itu tetapi ulama muda yang terididik dalam  suasana  Islami memilih Umno dan menolak PAS yang disertai oleh majoriti ulama. Ajaib. Itulah kehendak Allah. Abby tidak memiliki kitab dan tidak pandai baca kitab menyertai perjuangan politik Islam, Fathul  Bari memiliki banyak kitab dan pandai baca kitab tidak menyertai parti Islam tetapi menyertai  parti nasionalis.

Saya tidak hendak menyamakan kejadian Abby dan Fathul ini dengan zaman kelahiran Rasulullah SAW di Mekah dulu. Orang Jahililyah Quraisy tidak pernah baca kitab. Yang baca kitab ialah Yahudi Bani Israil. Orang Quraisy dengar  orang Yahudi menunggu kelahiran Nabi Akhir Zaman. Apabila Nabi lahir, yang menunggunya tidak menyambutnya, tetapi Arab yang tidak tahu tentang isi kitab menerima kenabian itu.

Itulah kebesaran Allah.

%d bloggers like this: