Archive for 5 September 2012


Setinggi tahniah kepada dua pasang pengantin Dr Mohd Afifi dan Puan Zarina, serta Afifah dan Majdi yang mengadakan kenduri kahwin mereka di Kampung Ulu Putatan ahad lepas. Alhamdulillah saya berkesempatan hadir bersama keluarga pada saat akhir majlis dan bertemu dengan kedua pasangan pengantin berkenaan.

Sempat juga bertemu dengan ramai warga JHEAINS antaranya Ustaz Haji Awwaluddin Nasution dan Ustazah Hjh Maria Hasibuan, Ustaz Sakaria Samela, Ustaz Jadmin Soon, Cikgu Dayang Jaudah Amit, Ustaz Sahudin Ajamain dan ramai lagi. Begitu juga dengan tetamu lain seperti Ustaz Mohammad Ibrahim, Ustaz Saiful Khair sekeluarga, Cikgu Sapiuddin Kadundung sekeluarga dan lain-lain. Saya difahamkan rakan-rakan Dr Afifi dan Puan Zarina dari Tawau ada datang beberapa rombongan sebelum itu.

Semoga Allah SWT memberkati kedua pasangan ini serta mengumpulkan mereka dalam kebaikan. Tahniah juga buat Ustaz Haji Saifuddin Haji Daud dan isteri kerana menerima menantu serta keluarga yang semakin membesar.

Dari catatan seorang bloger kecil.

Program Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Sabah pada 1 September 2012 di Beaufort bermula dengan solat fardhu maghrib, solat hajat dan solat isyak berjamaah di Masjid Jamik Kg Kebatu Kebidang, kira-kira 100 meter dari rumah YB Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin. Peserta himpunan mula memenuhi masjid sekitar jam 5 petang dan masjid dipenuhi oleh sekitar 500 jamaah yang hadir menjelang maghrib. Ketika itu saya meyakini masih ramai pesertanya berada di perjalanan dan khabarnya sebahagian kecilnya sesat walaupun petunjuk-petunjuk sudah agak memadai.

Saya tiba sekeluarga dengan kenderaan sendiri untuk menyaksikan himpunan bersejarah ini juga terus ke masjid berkenaan. Menghampiri jam 6.30 petang, YB Datuk Lajim sampai dan bersedia menyambut ketibaan Presiden PAS. Pemandunya meletakkan kereta dekat dengan tangga masjid pada saat ruang parkir hampir penuh, tetapi Datuk Lajim menegur pemandunya : “Kasi kosong tempat ni, kereta parking jauh sikit, sini bagi untuk kereta Presiden PAS”. Saya turut tersenyum melihat Datuk Lajim mengenakan mafla PAS di lehernya sambil menanti rombongan Presiden PAS.

Kami dimaklumkan sebelum itu ada pertemuan tertutup pimpinan tertinggi PAS dengan Datuk Lajim di sebuah hotel di Beaufort ini. Antara yang turut serta ialah YB Khalid Samad, Pesuruhjaya PAS Sabah Aminuddin Aling dan Setiausaha PAS Sabah Ustaz Awang Laiman Haji Ikin. Pertemuan tertutup itu membincangkan tentang perkembangan semasa politik Sabah dan kerjasama yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.

Solat Fardhu Maghrib dan Solat Sunat Hajat di Masjid Jamik kampung ini diimamkan oleh Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dengan antara peserta dan jamaahnya datang berkonvoi dari Tawau, Sandakan, Kudat, Keningau, Sipitang, Kota Belud, Kota Kinabalu dan Beaufort sendiri untuk menyertai Himpunan Hijau ini. Saya melihat keterujaan ramai pihak terutama masyarakat tempatan apabila melihat pertama kali Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang sangat sederhana dan mudah didekati oleh mereka.

Selesai solat hajat, tazkirah khas maghrib disampaikan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menyentuh antara lain tentang Ramadhan, Syawal, kesyukuran yang wajib dilimpahkan kepada Allah SWT dengan membesarkanNya sesuai dengan ayat al-Quran “.. dan hendaklah kamu membesarkan Allah di atas hidayah yang diberikannya kepada kamu supaya kamu bersyukur” (al-Baqarah : 185). Seusai tazkirahnya, ramai melihat Ustaz Nik Abduh dan Ustaz Nasrudin Tantawi menjadi tumpuan anak muda, berfotografi dan merakam kenangan bersama tokoh pemuda yang sedang meningkat naik ini.

Selesai solat isyak berjamaah, semua peserta bergerak ke perkarangan rumah YB Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, Ahli Parlimen Beaufort yang menjadi lokasi Himpunan Hijau. Ketika itu, kami melihat limpahan manusia mula membanjiri perkarangan rumah beliau. Kenderaan sebahagiannya diletak di perkarangan rumah, dan sebahagian besar di pesisir jalan utama. Menarik juga kata rakan-rakan, ini penampilan pertama YB Datuk Lajim berceramah bersama pimpinan tertinggi PAS, apatah lagi himpunan ini diadakan di daerah Beaufort dan di perkarangan rumahnya, bukan kebiasaan PAS Sabah mengadakan program bertaraf negeri di sebelah sini, kerana lokasi rutin program PAS Sabah ialah di Tawau, Sandakan, Kota Belud atau Kota Kinabalu.

 

Tapak Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Negeri Sabah

Facebook PAS Sabah mencatatkan sekitar 5 ribu kehadiran dalam majlis Himpunan Hijau di Beaufort pada 1 September lepas bersamaan 15 Syawal, ketika bulan purnama. Ia bukan satu angka besar sebenarnya jika dibandingkan dengan program yang sama di negeri lain. Tetapi ia satu lonjakan bagi PAS Negeri Sabah yang melakukan satu aktiviti bersifat negeri dan keluar dari kepompong lokasi biasanya.

Kehadiran itu sebenarnya satu mementum baru bagi PAS Negeri Sabah meluaskan sokongannya khususnya kalangan orang Islam sendiri apatah lagi bagi daerah ini PAS Beaufort baru bertatih dan belajar berorganisasi sejak setahun kebelakangan. Kehadiran boleh saya bahagikan kepada tiga kelompok utama – ahli dan penyokong PAS, penduduk Beaufort dan penyokong Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang dipimpin oleh Datuk Lajim dan satu kelompok pemerhati atau atas pagar yang melihat suasana semasa program berkenaan.

Program di perkarangan rumah Datuk Lajim dimulakan dengan tilawah al-Quran yang disampaikan oleh Tuan Haji Maarif Ansat, seorang tokoh agama di Beaufort dan Negeri Sabah. Seorang qari veteran yang pernah mewakili Sabah suatu ketika dahulu, dan pernah menjadi imam di Masjid Negeri Sabah pada peringkat awal. Bakat tilawah dan tarannumnya turun kepada anaknya, Ali Khairuddin yang lebih dikenali sebagai Imam Muda Ali menerusi program Imam Muda anjuran Astro Oasis dan JAWI. Tilawah Haji Maarif membawakan ayat tentang pemerintahan yang mengingatkan kita bahawa kuasa mutlak kerajaan itu ialah milik Allah SWT.

Saya tidak berhasrat mengulas satu demi satu ceramah yang disampaikan oleh lapan orang penceramah (tonton dan nilai sendiri ceramah menerusi youtube di bawah). Hanya meski lapan penceramah, kesemuanya memberikan dimensi yang berbeza dalam penyampaian mereka. Penceramah mengambil masa ringkas menjelaskan isu masing-masing dan Ustaz Awang Laiman menjalankan tugas sebagai pengacara dengan baik sekali.

Ringkasnya, penampilan pimpinan PAS Pusat kepada rakyat Sabah dalam program ini telah menjelaskan sedikit sebanyak dasar dan sikap PAS terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Misalnya masa yang terbatas itu, Presiden PAS menjelaskan isu hukum hudud, ekonomi Islam dan politik Islam yang menjadi pegangan PAS. Ustaz Nik Amar walaupun bersahaja, membuat perbandingan tentang kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang diperintah.

Barangkali yang agak baru dalam pengalaman orang awam yang pertama kali berada di majlis PAS ini ialah laungan takbir yang bergema memecah kesunyian langit Beaufort, kutipan sumbangan derma – walaupun kelihatannya orang tempatan juga berpusu-pusu mengeluarkan wang masing-masing. Sesuatu yang disukai sebaik majlis berakhir ialah apabila petugas dan ahli-ahli PAS yang hadir beramai-ramai membersihkan laman rumah Datuk Lajim, mengemaskini kerusi dan tikar yang berserakan dan sebagainya.

Selepas beberapa hari majlis berkenaan, saya masih mendengar orang awam @ atas pagar bercerita tentang majlis itu dan menzahirkan keterujaan mereka terhadap ahli PAS yang berdisiplin, bermula dengan petugas unit amal sehinggalah kepada penceramah menjadi bualan mereka yang menghadirinya.

Rakaman video

%d bloggers like this: