Archive for 16 September 2012


MASJID ALAI, MELAKA

Sumber foto di atas : di sini

Alhamdulillah, dalam kunjungan ke Negeri Melaka, saya berkesempatan berziarah ke masjid bersejarah ini. Sejak zaman belajar di Maahad Tahfiz tahun 1997-1998 lagi saya sudah pernah mendengar namanya namun belum pernah sampai sehinggalah beberapa hari lepas. Bangunan asal untuk masjid ini kelihatan comel dan kecil sahaja tetapi penuh dengan ukiran tradisi yang sangat mengkagumkan. Berikut adalah sejarah masjid berkenaan yang saya baca melalui internet.

Sumber : http://www.islamgrid.gov.my/mosque/detailed.php?id=2967

Masjid asal dibina pada tahun 1890 dan terletak kira-kira 4 rantai dari kedudukan masjid sekarang. Masjid asal ini diperbuat daripada kayu dengan keluasan 30 x 40 kaki persegi. Masjid ini telah diasaskan oleh Datuk Penghulu Daud dengan bantuan Che Mat Haji Kecut. Ianya telah diwakafkan oleh Tuan Haji Yahya bin Sipang dan Akib in Taip.

Semasa pembinaannya kayu-kayu ditarik menggunakan kerbau atau kereta lembu dari hutan dan batu-bata pula diambil dari Bukit Punggor, manakala batu karang yang diukir untuk menghias kemuncak dan penjuru-penjuru atap masjid di bawa dari Pulau Besar. Tukang yang mengetuai kerja-kerja pembinaan ini adalah Tuan Haji Yaacob dan Haji Yahaya.

Menara masjid dibina pada tahun 1922, dengan ketinggian 72 kaki. Lampu akan dipasang di kemuncak menara sebagai menandakan hari kebesaran seperti Hari Raya, Maulud Nabi dan sebagainya. Mimbar masjid telah dibuat pada tahun 1303H melalui pakar tukang kayu dari Telok Mas dan Serkam. Pembesaran masjid ini telah dilakukan pada tahun 1925 melalui derma orang ramai berjumlah diantara RM30,000.00 hingga RM40,000.00.

Setelah pembesaran masjid dan menara siap, acara perasmian telah diadakan secara besar-besaran dengan upacara penyembelihan 3 ekor lembu. Pengubahsuaian juga telah dilakukan pada tahun 1979 dengan kos RM35,000.00 dan bantuan Kerajaan sebanyak RM20,000.00. Kerja-kerja pengubahsuaian terdiri dari membuat kolah dan menaiktaraf masjid. Kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja berkenaan adalah Tuan Haji Bakar bin Haji Abd Wahab dengan bantuan jurupelan Tuan Haji Lasim.

Pada tahun 1981 dibuat tambahan di bahagian kanan masjid dengan kos sebanyak RM28,000.00 dan bantuan kerajaan sebanyak RM20,000.00. Kontraktor yang terlibat adalah Tuan Haji Mohd Yassin bin Saji dengan bantuan jururpelan D. Ghose. Pada tahun 1986, masjid ini telah diubahsuai lagi dengan menambah dua buah tandas dan kolah untuk mengambil air sembahyang. Masjid ini mula dibina dalam tahun 1890 dengan derma orang ramai dan bergotong-royong. Dalam tahun 1925 masjid ini dibaharui dengan derma orang ramai juga.

Selesai solat jumaat di Masjid Qaryah Bukit Pegoh, kami bergerak ke Darul Aitam iaitu rumah anak-anak yatim yang diusahakan oleh Ybhg Datuk Idris Talib salah seorang ahli lajnah tashih al-Quran dari Melaka ini. Datuk Idris Talib termasuk dalam kumpulan ketiga pelajar yang menghafaz al-Quran pada zamannya bersama-sama Ustaz Azhari Othman, Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Haji Salleh Sani dan lain-lain.

Saya pernah bertanya kepada beberapa orang awam di Melaka ini dan mereka memanggilnya Ustaz atau Datuk Idris al-Hafiz, seorang tokoh agama yang sangat dikenali di bumi bersejarah ini. Sesuatu yang saya sukai dengan beliau ialah cara bercakapnya yang lunak dan kelihatan penyayang. Apabila beliau memimpin doa, bait-bait doanya sangat bagus sekali terutama bagi mereka yang memahaminya.

Barangkali dengan sifat penyayang yang ada pada dirinya, beliau mampu dengan dibantu oleh keluarganya mengadakan Darul Aitam ini. Ini kunjungan kali kedua kami ke Darul Aitam ini. Sehingga kini apabila saya bertanya tempohari, terdapat 50 penghuni yang berasal dari sekitar Melaka kanak-kanak dan remaja. Bagi peribadi saya, kesungguhan Datuk Idris sangat wajar dicontohi. Apabila beliau menyertai mesyuarat lajnah tashih al-Quran, akan ada sahaja anak-anak yatim yang beliau bawa sekaligus membantu beliau juga.

Di samping menjamu selera dengan jamuan nasi arab, daging kambing dan durian, pihak Lajnah Tashih al-Quran KDN juga menyampaikan sumbangan ikhlas kepada Datuk Idris di atas musibah yang menimpa beliau baru-baru ini. Sumbangan disampaikan oleh Ybhg Dato’ Syeikh Haji Mohammad Nor Mansor, pengerusi lajnah. Semoga beliau bersabar dan insya Allah, Allah SWT bersama orang-orang yang sabar.

Jika rakan pembaca blog ini ingin menghulurkan sumbangan kepada Darul Aitam boleh masukkan ke akaun Bank Bumiputera Commerce atas nama  ASRAMA ANAK-ANAK YATIM BUKIT PEGOH ATAU DARUL AITAM, Nombor Akaun : 501153028501.

%d bloggers like this: