Mempotret aksi arnab kadang-kadang agak susah juga. Apatah lagi di luar kandang yang bebas. Kalau nasib baik, arnab duduk diam tapi selalunya mahu bergerak sebebasnya sebagaimana kita mengetahui kelincahan makhluk Tuhan ini. Apatah lagi di persekitaran kandang @ rumah arnab yang kami bikinkan ini, penuh dengan reban ayam dan kucing, rumah-rumah jiran, kereta orang dan bermacam-macam yang membawa erti jika arnab terlepas, alamat payahlah hendak menangkap semula.
Kandang arnab yang saya buat daripada bata simen tempohari ‘dipertingkat’ oleh mertua saya. ‘Rumah tiga bilik’, asalnya didinding dan tidak boleh masuk ke bilik lain, sudah dipermudahkan untuk 7-8 ekor arnab yang tinggal. Tiga bilik itu dikekalkan, kesemuanya diisi dengan tanah (kerana kelihatannya keluarga arnab lebih selesa), dan beberapa lubang dengan dinding bata dipecahkan sedikit untuk arnab-arnab ini berziarah dan bergerak ke bilik-bilik lain.
Penyakit normal arnab kami ialah sering dihinggapi kutu sehingga boleh telinga panjangnya menjadi buruk dan menggerutu. Geli pula melihatnya ketika telinga dan beberapa kulit lain di tubuh mereka apabila rosak begitu. Dahulu saya sering bawa ke klinik dengan kos RM10 setiap kali suntikan kepada seekor arnab. Barangkali sudah lebih setahun saya tidak ke klinik – bukan kerana arnab tidak sakit – tetapi saya beli ubatnya di klinik haiwan dan saya suntik sendiri dengan tunjuk ajar jururawat klinik berkenaan.
Ubatnya sebotol agak mahal, lebih RM100 tetapi sehingga kini walaupun sudah banyak kali arnab ditimpa penyakit kutu berkenaan, belum sampai suku isi botol habis. Kali ini semua arnab yang kecil dan besar saya suntik. Ada yang agak teruk kesan kutunya dan ada pula yang baru mula dijangkiti kutu. Saya tuliskan catatan santai ini sekadarnya untuk bacaan peminat arnab di blog ini.
Seperti saya catatkan awal tadi, oleh kerana saya sendirian merawat arnab hari tu, agak susah juga menggambar dan mendapatkan aksi terbaik, walaupun setiap ekor arnab dibawa keluar untuk disuntik. Lain kali saya projekkan sungguh-sungguh untuk tatapan peminat arnab. Ok bos.