Archive for 12 September 2012


PERTAMA BOOK STORE

Pak Din dengan buku ‘Ensiklopedia Ramadan’ terbitan Telaga Biru.

Sila datang ke :

PERTAMA BOOK STORE, G-76 Ground Floor, Pertama Shopping Complex, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Malaysia. Tel / Fax : 03-2692 3781.

Saya suka nyatakan, kedai ini yang dikenali juga dengan Pustaka Pertama menjadi pilihan saya apabila berkunjung ke Kuala Lumpur. Premis kecil tapi banyak buku pilihan. Layanan Pak Din dan Kak Ayu sangat memuaskan. Pak Din terutamanya akan memperkenal dan mencadangkan buku-buku yang bagus kepada pengunjung yang datang. Bulan Syawal ini saya sempat menziarahi kedai beliau dan memilih beberapa lagi buku-buku yang bagus. Mudah-mudahan kedai beliau maju dan diberkati Allah SWT.

 

Takdirnya untuk semester 5 di Maahad Tahfiz Sabah ini, saya diamanahkan mengajar subjek ‘dakwah wal khitobah’, subjek yang tiada buku khusus melainkan hanya beberapa rujukan yang sebahagiannya saya ada miliki dan sebahagiannya tiada. Namun kreativiti guru dituntut untuk mencari bahan dan saya memperolehi beberapa artikel ilmiah yang bagus dan bersesuaian dari beberapa web dan blog.

Antara bab yang dikehendaki dalam subjek dakwah ini ialah praktikal khutbah. Saya kira ini suatu yang sangat baik untuk mereka mendalami pelbagai kaedah dakwah termasuk khutbah yang menjadi kewajiban kepada umat Islam yang mukallaf. Pelajar-pelajar ini sudah mempunyai asas bacaan al-Quran yang baik dan hanya ditambah lagi dengan kemahiran pengucapan awam khususnya khutbah. Jadi proses pertama ialah mempelajari kemahiran khutbah secara teori, kemudiannya praktikal dalam kelas dan akhirnya di mimbar masjid pada hari jumaat.

Saya terkenang zaman kami belajar di maahad ini dengan guru subjek ini ialah Ustaz Haji Ghazali Sulaiman. Setiap kami menyiapkan teks khutbah masing-masing, dibentang kepada guru dan akhirnya naik ke mimbar di Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan. Mengenangkan peristiwa itulah, kami atau saya sendiri sehingga hari ini akrab dengan orang-orang lama jamaah masjid berkenaan kerana pernah tampil di sana serta menjadi imam tarawih ketika zaman belajar antara tahun 1998-1999.

Saya kira pengalaman tampil sebagai khatib di masjid pada peringkat awal dan ketika zaman belajar memberi kesan yang baik kerana kami sangat-sangat memerlukan bimbingan para guru. Kebetulan ketika itu ada beberapa ustaz antaranya Ustaz Ghazali dan Ustaz Haji Muchlish yang berada dan mendengar khutbah kami setiap minggu. Bahkan sehingga hari ini, bimbingan dan nasihat mereka masih saya tuntut lagi. Sesekali saya merujuk dan meminta pandangan khususnya kesesuaian topik untuk dibawa dalam khutbah.

Saya akan teruskan dan turunkan proses ini kepada generasi maahad yang berikutnya, mudah-mudahan mereka akan menjadi pendakwah yang berkualiti kepada masyarakat masing-masing. Doakan.

%d bloggers like this: