Archive for 20 September 2012


INAP DESA ASLAM, TUARAN

Cuti-cuti sempena Hari Malaysia tempohari diteruskan dengan kami sekeluarga tidur bermalam di Inap Desa Aslam di Kg Shabandar Tuaran. ‘Inap Desa’ adalah nama lain bagi ‘homestay’ di dalam bahasa Melayu. Ia milik dan usaha sama sahabat kami Tuan Haji Abu Aslam dan beberapa sahabat lain yang berkongsi saham. Tanah seluas 3-4 ekar ini sebelum beliau beli adalah milik Allahyarham Ustaz Haji Nahar yang dahulunya dijadikan lokasi kandang dan pusat penyembelihan lembu.

Inap Desa Aslam ini mempunyai empat buah rumah penginapan – dengan kelengkapan satu bilik tidur berhawa dingin, ruang tamu, dapur dan bilik air. Selain itu ada dua bangunan berasingan yang boleh dijadikan bilik mini seminar atau mesyuarat, sebuah pondok terbuka di atas sebuah kolam yang berisi ratusan ikan keli yang boleh dipancing sekiranya berminat. Kawasan ini dikelilingi dengan lebih 100 pokok mangga, sebahagian besarnya baru membesar dengan ketinggian  sekitar 1-2 meter dan ada pula yang baru mula berbuah.

Hajat awal Tuan Haji Abu Aslam ialah untuk pemegang saham dan kawan-kawan masing-masing menginap atau berehat di sini pada hujung-hujung minggu dengan menikmati suasana kampung. Walaubagaimanapun jika ada permintaan  pelanggan luar untuk bermalam di Inap Desa Aslam ini akan dipertimbangkan dengan kadar bajet yang bersesuaian. Selain itu, tidak jauh di belakang kawasan ini ialah Pantai Dalit, Tuaran dan di sebelah kirinya kawasan kandang kuda yang pengunjung boleh datang pada waktu-waktu tertentu.

Berdasarkan pengalaman kami sekeluarga, lokasi ini sangat mendamaikan khususnya bagi orang bandar yang ingin mencari suasana kampung  dan keluar dari hiruk pikuk kota. Anak-anak pula sangat teruja dan asyik untuk cuba memancing walaupun ketika itu kolam kekurangan air. Beberapa ekor ikan keli kecil terperangkap dengan umpanan mereka, dan itu menjadi kenangan percutian singkat kami sekeluarga di Inap Desa Aslam.

Hubungi Tuan Haji Abu Aslam untuk keterangan lanjut : 013-8863803.

Hari terakhir Syawal banyak jemputan berhari raya. Hajat hendak memenuhi kesemua undangan namun nampaknya tidak kesampaian. Kali ini hanya tiga undangan dapat dipenuhi.

1) Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim.

Beliau menyampaikan undangan pada awal pagi malah mewakilkan saya pula menjemput kawan-kawan rapat daripada Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah, Darussyifa’ Sabah, Persatuan Ulama’ Malaysia Sabah dan jamaah masjid dan surau. Kami sekeluarga antara yang awal tiba sekitar jam 4 petang bersama-sama Tuan Haji Pozi Awang, kemudian beberapa tetamu dari Konsulat Indonesia, Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, Tuan Haji Abd Latif Ibrahim (bekas ADC TYT Sabah), Ustaz Nazri Yaakob dan lain-lain.

Menu pilihan : Nasi campur.

2) Tuan Haji Salman Datuk Haji Ismail.

Undangan disampaikan lebih seminggu sebelumnya. Kalau kebiasaan beliau mengundang ke rumahnya di Taman Kingfisher, kali ini lokasi diubah ke resort beliau di Permai D’ Villa Kg Ratau, belakang SMK Tebobon. Tetamu masih ramai walaupun masa sudah melebihi jam 5.30 petang. Barangkali sesuainya di sini ialah suasana yang lebih nyaman serta parkir dan kawasannya yang lebih luas. Mungkin juga serampang 2-3 mata, apabila dapat memperlihatkan tetamunya suasana resort yang mendamaikan. Di sini saya bertemu juga dengan Ustaz Rafihi Wasihim, pensyarah kanan di IPG Gaya dan guru saya Cikgu Ruslan Idris yang kini menumpukan bisnis piza. Sempat juga bertemu muka dengan Ybhg Datuk Haji Ismail Abbas, mantan mufti Negeri Sabah.

Menu pilihan : Kambing panggang.

3) Ustaz Haji Nik Anwar Zakaria al-Basuti.

Berkunjung ke rumah yang baru dibelinya di Bandar Sierra, nampaknya ramai sahabat-sahabat yang sesat. Kami pula mujur seorang sahabat sejak awal mengiringi perjalanan kerana kami sekeluarga bermaghrib di Surau Nurul Bahari di taman berkenaan. Bagi saya, beliau seorang sahabat dan guru yang selalu murah hati dengan ilmu terutama berkaitan dengan pengubatan Islam. Ilmu pengubatan Islam yang sudah lama berlegar di bumi Sabah, ia seakan menjadi suatu fenomena baru pula di kalangan penuntutnya apatah lagi beliau antara watak yang berperanan sejak awal bersama sahabat-sahabat lain membawa masuk Darussyifa’ melebarkan sayap ke Sabah.

Menu pilihan : Nasi Dagang.

%d bloggers like this: