Kisahnya bermula apabila Aufia (18 tahun) dari Kg Tambulaong Tuaran memeluk Islam pada hari raya Eidul Fitri lalu. Saya dijemput oleh Ust Rafihi di rumahnya di Tuaran untuk majlis pengislaman itu.

Pada 26 Dis. lalu, Ust Rafihi sekali lagi menjemput saya, tetapi saya berhalangan kerana bercuti di kampung. Beberapa ahli keluarga Aufia pula seramai 5 orang memeluk Islam. Antaranya ialah makciknya dan saudara maranya yang lain.

Kebetulan, sebelum itu JAKIM Sabah ada mencadangkan kepada Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah untuk menghoskan satu program ziarah sempena tahun baru 2010.

Sebagaimana 1 Januari 2009, kami berziarah ke Kiulu. Satu Januari 2010, kami memutuskan untuk ke Kg Tambulaong menziarahi saudara kita di sana, termasuk yang baru memeluk Islam seminggu sebelumnya.

Kg Tambalaong, masuknya melalui jalan Kg Kauluan, melalui kawasan Pusat Khidmat Latihan Negara (PLKN); kami dengan sejumlah 6 buah kenderaan bertemu di sana sekitar jam 10.30 pagi.

Selain JAKIM Sabah diketuai oleh Ust Shamsuri dan orang-orang kuatnya, turut serta aktivis-aktivis daripada Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) selain PUM Sabah sendiri.

Majlis diadakan di sebuah surau kecil dan terpencil, surau at-Taqwa namanya. Dr Ali mengambil tempat memimpin majlis, kemudian Ust Shamsuri menyampaikan sedikit ucapan aluan dan Ust Hj Nahar memberikan tazkirah kepada yang hadir, khususnya kira-kira 30 penduduk kampung yang hadir.

Dalam pada itu, dialog ringkas juga diadakan bersama mereka khususnya berkait tentang keperluan pengajian asas fardhu ain, masalah kemasyarakatan dan sebagainya. Insya Allah, penganjur akan mencuba menangani beberapa masalah yang diutarakan.

Sumbangan berbentuk pakaian solat, taqwim, buku panduan solat, makanan asasi seperti beras, gula dan lain-lain daripada JAKIM Sabah, JHEAINS dan beberapa individu disampaikan oleh Ust Shamsuri dan Ust Hj Nahar. Kami beredar pulang menjelang tengahari sebelum solat jumaat.