Archive for 5 Januari 2010


TAR

Saya pernah mendengar ada pihak tertentu berjanji secara hitam putih hendak menurap jalan dari awal simpang menuju ke surau dan kawasan sekolah.

Tetapi setakat ini, hanya sekerat dan sejemput itu saja yang ditar mereka. Harap janji itu dapat ditunaikan dalam masa terdekat.

HARI PERTAMA

Tahun ini, 3 anak masuk sekolah.

Nuha darjah 1 di SK Kem Lok Kawi pada sebelah petang, sementara darjah 2 di Sek Agama Kem Lok Kawi pada sebelah pagi. Hana dan Abdul Hadi pula masuk PASTI. Hana kelas 5 tahun dan Abdul Hadi 4 tahun.

Pergerakan pagi semalam, kami mulakan dengan pendaftaran Nuha di Sekolah Agama. Bersekolah agama dalam kawasan kem tentera mengingatkan persekolahan saya sendiri pada 1989-1991 di Kem Tentera Membedai WP Labuan.

Di Sek. Agama Kem Lok Kawi, kelas bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 10, isnin hingga khamis sahaja dan cuti pada hari jumaat.

Kebanyakan ibu bapa yang mendaftarkan anak, terdiri daripada warga tentera sendiri dan juga penduduk kampung di sekitar kem ini.

Hari pertama, ibu bapa dibebaskan untuk meninggalkan anak di sekolah atau sekadar meninjau kelas saja. Lagipun para guru, agak sibuk dengan sesi pendaftaran.

Dari sana, kami ke SK Kem Lok Kawi yang lebih ke dalam. Lokasi sekolah sebenarnya lebih hampir dengan Kampung Lok Kawi Baru yang terletak di belakang kem.

Yang paling seronok datang ke sini ialah isteri saya. Inilah tempat dia  menimba ilmu sejak darjah 1-6. Datang ke sini sebentar pada pagi ini hanyalah untuk memastikan nama Nuha ada dalam senarai sebelum datang sekali lagi menjelang tengahari.

Kelas di SK Kem Lok Kawi bermula pada jam 12.40 pada isnin, 12.20 pada selasa hingga khamis sementara jam 1.10 pada hari jumaat. Waktu pulang pula pada jam 5.40 petang dan 5.30 pada hari jumaat.

Kami kemudian ke PASTI mendaftarkan Hana dan Abdul Hadi. Hana masuk kelas 5 tahun sementara Abdul Hadi buat pertama kalinya masuk PASTI untuk umur 4 tahun.

Sebenarnya sejak beberapa hari, Abdul Hadilah yang begitu bersemangat sekali hendak ke sekolah. Ke hulu ke hilir sibuk dengan beg cop Upin & Ipin.

Selepas mendaftarkan mereka berdua, kami berhajat hendak meninggalkan mereka sebentar di sana sebelum mengambil pulang pada jam 11. Tapi Abdul Hadi yang bersemangat pada awalnya, tidak mahu ditinggalkan pula.

Sudahnya, pulang juga…

%d bloggers like this: