Archive for 20 Januari 2010


SEMAKIN GALAK

Alhamdulillah, Kuliah Fekah Mazhab Syafie yang diadakan di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah pada setiap selasa malam rabu, semakin ramai peminatnya.

Saya ada bertanya kepada beberapa rakan yang hadir, masing-masing mempromosi kelas ini kepada kenalan masing-masing melalui SMS dan cerita mulut ke mulut.

Saya ada mengikhtiarkan iklan A4 untuk ditampal di masjid dan surau sekitar Kota Kinabalu dan Putatan. Sebahagian kecil sudah diedar dan bakinya akan ditampal pada hujung minggu ini. Saya berusaha mencari masa lapang kerana kesibukan tugas.

Saya bersyukur ada seorang rakan peguam yang tinggal di Taman Indah Permai diberi hidayah hadir dalam kuliah ini dengan asbab membaca iklan dalam blog Abu Nuha Corner ini.

Ada lagi usaha yang boleh digerakkan sebenarnya untuk menyebarluaskan kuliah ini. Masih ramai orang di sekeliling kita lemah pengetahuan mereka dalam soal ibadah seharian.

Siapa-siapa berkesempatan, hubungi radio IKIM untuk sampaikan maklumat ini, juga kepada Sabah FM, sebaran antara Facebook ke Facebook masing-masing, iklan di pejabat-pejabat dan bangunan-bangunan tempat bertugas, emel grup, blog dan sebagainya.

Saya dan rakan-rakan punya hasrat satu masa nanti agar bilik kuliah itu dilimpahi peminat ilmu, sehingga kita boleh alihkan ke dewan solat utama satu hari nanti dengan kehadiran mencecah ribuan orang. Minat kepada ilmu mesti dipupuk dan dimulakan di masjid ini.

Ia pasti bermula dengan langkah pertama, iaitu bermula dengan diri sendiri.

“Allahumma Ya Allah, bantulah kami menegakkan ajaran agamaMu”

Kali terakhir bertemunya ketika saya balik kampung akhir tahun lalu.

Saya diminta tampil sebagai khatib jumaat pada 25 Disember. Khutbah saya berkenaan tentang taat kepada Allah dan  berbuat baik kepada orang tua; iman dan amal serta solat dan zakat.

Kesal juga tiada apa yang dibualkan dengannya. Hanya sekadar senyuman di bibir dan sentuhan berjabat tangan sesudah solat jumaat.

Setahun lalu atau tepatnya Disember 2008 masjid mengadakan kursus pemantapan imam dan pegawai masjid. Wakil-wakil masjid berdekatan turut dijemput.

Saya dan Ust Hj Nahar hadir di kampung saya untuk membimbing berkenaan pengimarahan masjid, khutbah, ilmu tajwid serta hukum hakam solat.

Imam Awang sendiri turut hadir dan mengemukakan soalan kepada saya berkenaan kaedah menghafal al-Quran. Saya ada menjawabnya juga secara sepintas lalu.

Ketika kecil-kecil dahulu, saya pernah berguru tarannum dengannya. Ada ilmu yang melekat dalam diri ini hasil sumbangannya.

Sesudah saya masuk ke Maahad Tahfiz al-Quran pada 1995, apabila saya balik kampung saya menyedari dia tidak mahu menjadi imam solat jika saya hadir bersama.

Keadaan itu menyebabkan kalau saya bersolat di masjid di kampung kami, saya akan naik ke masjid sesudah dia mengangkat takbir sebagai imam.

Seingat saya, sejak masjid ini digunakan ketika saya darjah 4 pada 1989, dia sudah menjadi imamnya.

Ketika musim-musim raya, masjid ini sesak dengan penduduk kampung hadir bersolat raya termasuk anak-anak kampung yang balik dari perantauan masing-masing seperti saya.

Ketika itulah dia bangkit memperingatkan jamaah tentang kaifiat solat raya, dan didahuluinya dengan ucapan selamat hari raya, memohon kemaafan kepada seluruh penduduk kampung sehingga kadang-kadang menitis air mata.

Kesempatan itu juga dia merayu penduduk kampung mengimarahkan masjid yang berkapasiti sekitar 400 jamaah itu.

Pagi tadi adik saya memaklumkan beliau telah kembali kerahmatullah di Hospital Labuan jam 3 pagi. Janazahnya telah selamat disemadikan di Taman Perkuburan Gajus dekat bandar Labuan.

Rayuannya, suaranya ketika mengetuai solat, khutbah dan wirid tidak akan kedengaran lagi. Kehilangannya begitu terasa dan mengejutkan. Al-Fatihah.

%d bloggers like this: