Archive for 16 Januari 2010


PROGRAM PEMANTAPAN AQIDAH 2010

Dalam tempoh terdekat, PUM Sabah akan membincangkan tentang program pemantapan aqidah bagi tahun 2010. Sepanjang tahun lalu, sebanyak 12 kali program ini diadakan di sekolah menengah seluruh Sabah.

Penyusunan program untuk 2010 adalah kelangsungan daripada projek yang telah bermula sejak tahun 2005 lagi yang dilancarkan di Masjid Negeri Sabah atas bimbingan Sdr Hj Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah.

Walaupun beberapa teraju utama telah berpindah ke Semenanjung, program seumpama ini akan diteruskan juga. Insya Allah PUM Sabah mendapat suntikan dengan kehadiran beberapa tenaga baru disamping skuad sedia ada.

Ketua bagi skuad program pemantapan aqidah (yang kami gelar sahabat bible) kali ini ialah Ust Amir Hamzah dan didukung bersama oleh rakan-rakan lain termasuk Ust Hj Bungsu Jaafar, Ust Sayuti Shukor, Cikgu Hashim Harun, Ust Arbaen Shawal, Ust Zulkifli Nawawi, saya sendiri dan beberapa nama lain.

Program pemantapan aqidah dengan pendekatan perbandingan agama Islam-Kristian menjadi fokus kami dengan natijahnya para peserta akhirnya akan meyakini kebenaran dan keindahan Islam serta mengakui kebatilan Kristian.

Peserta juga didedahkan dengan beberapa tajuk seperti Asas Islam dan al-Quran, Mukjizat al-Quran, Asas Ajaran Kristian Menurut Perspektif Islam, Sejarah agama Kristian dan Asas Penggunaan Kitab Bible.

Peserta juga dibekalkan dengan senaskhah al-Quran dan bible sebagai rujukan bagi melihat sendiri kepalsuan kitab ini.

Kursus berkenaan biasanya diadakan pada hujung minggu selama dua hari atau sehari setengah sahaja. Setakat ini beberapa sekolah telah dikenal pasti untuk kami adakan program berkenaan.

Untuk peringkat sekolah, biasanya hanya 100 peserta dari menengah atas dalam satu-satu program untuk memudahkan pemantauan.

Bahkan untuk tahun ini, ada kemungkinan program berkenaan diluaskan kepada orang awam jika ada permintaan khususnya kakitangan awam dan pengkaji/peminat perbandingan agama. (Boleh tinggalkan komen).

Jika saudara seorang guru sekolah menengah (khususnya ustaz/ustazah) dan berminat program berkenaan diadakan di sekolah saudara, sila tinggalkan catatan di ruangan komen. Kami akan menghubungi kemudian.

Sumber : Berita Harian

Undang malapetaka atau kebaikan kepada pengguna wanita?

AWAS kasanova Facebook!

Tajuk akhbar mengenai lagak seorang lelaki dari London digelar ‘The Sperminator’ yang menggunakan laman Facebook bagi memperdaya wanita sehingga hamil menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan wanita di alam siber.

Menggunakan rayuan ‘Seratus juta sperma masuk ke dalam rahim dan hanya satu yang menjadikan kamu. Maknanya, kamu adalah yang terbaik’ menjadi senjata bagi Dominic Baronet untuk terus menjerat mangsa.

Namun begitu, selepas satu demi satu rekod buruk Facebook tersebar, laman jaringan sosial itu kekal fenomena pilihan ramai orang ketika ini untuk bersosial selepas Friendster, MySpace dan blogging.

Malah, ketika artikel ini ditulis, statistik diperoleh daripada CheckFacebook.com mencatatkan laman itu mempunyai seramai 316.4 juta ahli di seluruh dunia, dengan 1.08 peratus iaitu kira-kira 3,425,300 pengguna adalah dari Malaysia.

Statistik sama juga menunjukkan peratusan pengguna wanita dari negara ini melebihi jumlah pengguna lelaki iaitu sebanyak 1,723,360 berbanding 1,678,140 pendaftar lelaki.

Kelompok pengguna berusia 18 hingga 24 tahun paling kerap melayari laman ini diikuti 33.9 peratus atau 1,148,660 pelayar berumur 24 hingga 34 tahun.

Bagi Natalie Hang ,24, gadis manis kacukan Cina Inggeris, pengalaman berkawan dengan seorang jejaka di Facebook amat menakutkan untuk diingati semula. Perkenalan berlaku secara tidak sengaja ketika menemani rakan yang menerima rawatan akibat kemalangan ketika menunggang basikal mempertemukan beliau dengan seorang jejaka Irish di sebuah hospital di London.

“Kami hanya berborak santai sambil dia sendiri menunggu untuk mendapatkan rawatan kerana berdepan masalah alkohol, tapi ketika itu, memang tiada apa yang meragukan mengenai lagaknya.

“Malah, saya akui begitu senang berbual dengannya. Ketika pertemuan singkat itu, dia sempat mengenalkan diri dan meminta mencarinya di Facebook,” kata Natalie sambil mengakui jejaka dikenalinya itu mempunyai perawakan menarik.

Tidak terlalu rapat mengenali, tetapi Natalie mengakui sering berhubung dengan lelaki itu menerusi Facebook. Bagaimanapun, suatu hari, Natalie tergerak hati untuk membuat carian nama lelaki itu di Internet dan mengejutkan apabila carian menunjukkan lelaki itu sebenarnya mempunyai rekod jenayah melampau.

“Namanya agak jarang digunakan ramai orang dan saya percaya dia adalah penjenayah itu dan berdasarkan cerita dia dengan laporan keratan akhbar berkenaan, membuat saya terus mengesyaki rakan Facebook saya itu seorang yang ‘bermasalah’,” katanya.

Keratan akhbar itu memberitahu, rakan dikenalinya itu yang tinggal merempat mempunyai rekod jenayah, menyerang dan merompak seorang pelancong gay dari Kanada serta dikatakan mempunyai sejarah penyakit mental.

Daripada artikel sama yang masih boleh dibaca di Internet, mangsanya itu diserang dengan batu dan tong pemadam api, diikat separuh bogel menggunakan pakaian dan bidai di sebuah bilik hotel yang menjadi persinggahan mereka selepas bertemu di bar gay.

“Kemudian, mangsa diikat pula dengan wayar telefon sebelum diugut supaya mendedahkan nombor pin kad bank sebelum mencederakan diri sendiri menggunakan kaca,” katanya yang terus menyekat akses akaun Facebook daripada terus dikunjungi lelaki itu kerana bimbang maklumat mengenainya ada tertera di laman berkenaan.

Bagaimanapun, di sebalik pengalaman menakutkan itu, Natalie berkata, beliau mengakui Facebook adalah medium komunikasi paling mudah untuk meluaskan pergaulan, malah turut menggunakan kaedah sama berhubung bersama rakan lama yang tinggal berjauhan.

“Peluang ditipu dan berdepan bahaya tidak hanya di Facebook kerana di luar juga penuh dengan pancaroba, namun sebagai seorang wanita, kita tidak harus lalai dalam aspek keselamatan diri.

“Di Facebook ada pengaturcara yang boleh dikawal pemilik akaun dan jika kita mengenali seseorang yang mempunyai niat tidak baik atau boleh mengundang bahaya kepada diri, semuanya boleh diatasi atas kesedaran sendiri,” katanya.

Peluang berhubung dengan rakan sekolah lama

LAIN ceritanya bagi tenaga pengajar Institut Kemahiran Mara Jasin, Zalila Atan, 35, yang mula berjinak-jinak dengan dunia Facebook kira-kira sebulan lalu kerana katanya laman jaringan sosial terbaru didaftarkan selepas MySpace menemukannya dengan ramai kawan yang sudah lama terputus hubungan.

“Saya mendaftar pun selepas tidak tahan diejek rakan yang mengatakan laman MySpace hanya untuk golongan tua, tapi selepas membuka akuan Facebook, saya benar-benar tidak sangka dapat bertemu semula kawan lama ketika sekolah.

“Tidak setakat itu, kami juga telah sepakat menganjurkan majlis perjumpaan semula rakan-rakan dari Sekolah Menengah Ayer Tawar selepas Aidiladha nanti,” kata ibu muda kepada tiga anak itu gembira.

Sehingga kini, Zalila mempunyai seramai 83 orang kawan siber terdiri daripada rakan yang dikenali di Yahoo Messenger (YM), kawan sepejabat dan kenalan lama dari zaman persekolahan.

“Seronok betul dapat jumpa kawan-kawan lama ketika sama-sama bersekolah dulu. Ada yang sudah lebih 15 tahun tidak bertemu muka dan itu yang paling ditunggu kerana tidak sabar hendak melihat perubahan diri mereka,” katanya sambil tertawa.

Bagaimanapun, tidak pernah membiarkan diri terleka dengan kecanggihan teknologi sementelah beliau sendiri mempunyai suami dan anak-anak, malah Zalila pastikan tidak sewenang-wenang mengesahkan permintaan ‘friend request’ daripada individu yang tidak dikenali.

“Saya juga tidak berani menerima pelawaan rakan yang dikenali di YM untuk bertemu, bukan kerana sombong, tapi sekadar beringat, bimbang juga terjadi apa-apa yang tidak diingini.

“Tetapi kalau berjumpa beramai-ramai diiringi keluarga masing-masing mungkin boleh dipertimbangkan, itupun mungkin selepas lama mengenali antara satu sama lain,” jelasnya.

Tidak sekadar seronok bertemu rakan lama menerusi Facebook, Zalila berkata, di situ juga beliau dapat mengimbau kembali kenangan sewaktu muda melalui foto lama yang dimuat turun oleh kawan-kawan lama.

“Ada juga yang memasukkan gambar kahwin selain gambar lama ketika tengah comot dulu. Itu yang paling kelakar, boleh dijadikan bahan cerita saat bertemu mereka nanti,” katanya sambil tertawa.

FAKTA

Pengguna Facebook seluruh dunia : 316,402,840

Top 10

1. Amerika Syarikat 94,748,820

2. United Kingdom 22,261,080

3. Turki 14,215,880

4. Perancis 13,396,760

5. Kanada 13,228,380

6. Itali 12,581,060

7. Indonesia 11,759,980

8. Sepanyol 7,313,160

9. Australia 7,176,640

10. Filipina 6,991,040

Malaysia menduduki tangga ke 8 kategori pengguna aktif (11 November 2009) mendahului Indonesia yang berada di tangga ke 9.

INFO

*Facebook diluncurkan pertama kali pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg sebagai media komunikasi antara mahasiswa Harvard.

*Pada September 2006, Facebook membuka pendaftaran untuk orang ramai yang memiliki akaun e-mel.

*Selain pernah menolak tawaran Friendster untuk membeli Facebook pada harga AS$10 juta, Zuckerberg juga menolak tawaran dari Viacom yang ingin membeli Facebook dengan nilai AS$750 juta dan tawaran dari Yahoo yang ingin membeli Facebook dengan harga AS$1 billion.

*Secara purata, pengguna Facebook menghabiskan masa sekitar 19 minit sehari untuk melakukan aktiviti di laman jaringan sosial itu.

%d bloggers like this: