Archive for 23 Januari 2010


AQIDAH DAN AKHLAK

Ada 3 perkara yang saya sebut dalam kuliah siang tadi bersama pelajar saudara kita di Kelas Bimbingan Teratak Fitrah, Sembulan dalam tempoh 40 minit :

1) Maha Mengetahuinya Allah SWT akan segala perbuatan makhluk, baik atau jahat dalam gelap dan terang, sendirian atau ramai, zahir atau batin;

2) Malaikat Raqib Atid yang berada di kanan dan kiri manusia, mencatat segala perbuatan manusia tanpa satu pun yang tinggal;

3) Hari Pembalasan, saat ketika semua amalan manusia ditayang dan dinilai; mulut dikunci, tangan bercakap, kaki serta seluruh anggota menjadi saksi; buku catatan amal sebagai bukti.

Justeru, banyak melakukan kebaikan di mana sahaja berada kerana Allah SWT Maha Mengetahui dan meninggalkan kejahatan kerana Allah SWT jua Maha Mengetahui. Aqidah yang mantap akan melahirkan akhlak yang mulia.

Semalam saya menyampaikan khutbah di Masjid Kg Muhibbah Petagas. Ada insiden ‘nakal’ dan menampakkan kejahilan diri. Khutbah itu saya mulakan berkenaan peristiwa penting yang berlaku sejak akhir-akhir ini terjadi pada hari jumaat.

Raya Haji tahun lalu pada hari jumaat; tahun baru 1431 hijrah pada hari jumaat; cuti krismas pada hari jumaat; tahun baru 2010 pada hari jumaat; gerhana bulan pada hari jumaat; gerhana matahari minggu lalu pada hari jumaat. Insya Allah, sambutan maulidur Rasul tahun ini juga jatuh pada hari jumaat. Saya mengingatkan jamaah bahawa hari kiamat juga berlaku pada hari jumaat.

Ada seorang jamaah yang berada di saf hadapan menyampuk khutbah saya ketika saya menyebut gerhana bulan pada 1 januari lalu berlaku pada hari jumaat. Ketika saya menyebut gerhana bulan itu, dia menyampuk : “..matahari!”

Kononnya dia hendak membetulkan saya bahawa saya tersilap. Ada dua hal, pertama mungkin dia tidak sedar bahawa 1 januari lalu ada gerhana bulan berlaku pada jam 3 pagi. Keduanya, dia menyampuk ketika saya sedang berkhutbah.  Itulah tandanya kita perlu belajar.

%d bloggers like this: