Tag Archive: Tuaran


Tarikh : 21 Oktober 2016

Lokasi : Pekan Tuaran

SLOT ANAK MUDA PSS DI TUARAN

Tarikh : 12 Disember 2015

Lokasi : Tuaran

IMG-20151212-WA0051 IMG-20151212-WA0052 IMG-20151212-WA0053 IMG-20151212-WA0054 IMG-20151212-WA0055

Foto yang dapat dari google.

Ini satu masjid yang menjadi kegemaran saya untuk singgah solat khususnya dalam perjalanan pergi ke Kota Belud atau balik ke Kota Kinabalu. Masjid Darul Iman Kg Bunga, Tenghilan, yang saya dimaklumkan digunakan sejak tahun 2003 dan boleh memuatkan sekitar 300 orang jamaah pada satu-satu masa. Sukanya saya kepada masjid ini kerana lokasinya yang strategik di tepi jalan khususnya memudahkan orang bermusafir singgah menunaikan solat dan hajat-hajat lain.

Tenghilan, adalah satu pekan kecil yang terletak dalam daerah Tuaran. Berada di antara Pekan Tuaran dan Pekan Kota Belud. Komuniti di sini yang saya tahu adalah campuran antara bajau dan kadazan. Mungkin ada juga suku kaum yang lain. Seorang kenalan saya berasal dari kawasan Tenghilan ini, dan dia mengatakan terdapat beberapa buah surau lain di sekitar sini dan mengarah ke kawasan dalam.

Di Masjid Kg Bunga ini seingat saya pernah menjadi tuan rumah bagi Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Tuaran beberapa tahun lalu. Saya kurang maklum aktiviti pengimarahan masjid ini selain solat fardhu dan pengimarahan ramadhan. Kadang-kadang sesetengah JK Masjid merasa selesa dan memadai dengan solat fardhu saja dan majlis baca yasin malam jumaat. Saya kira masjid-masjid perlu diberikan suntikan dengan idea-idea baru agar masjid benar-benar berfungsi sebagai pusat Islam bagi masyarakat setempat.

Semoga masjid ini terus makmur dan mekar seperti ‘Bunga’. Saya kira ustaz-ustaz di sana seperti Ustaz Azim dan Ustaz Adzri boleh berperanan lebih demi kebaikan semua bersama seluruh AJK dan masyarakat Islam di sana.

KISAH LEMBU DAN POLIS TRAFIK

Program Ramadhan lalu di Ranau dan sebelumnya ziarah rumah sahabat di Kota Belud mengingatkan saya satu kisah lucu. Ia kisah antara polis trafik dan gerombolan lembu. Kisahnya berlaku ketika saya masih bertugas di Istana Negeri Sabah.

Satu jumaat, kami (istana negeri) dijadualkan menunaikan solat jumaat di Masjid Daerah Tuaran. Biasanya saya datang lebih awal bagi meninjau masjid yang bakal dikunjungi dan menyambut ketibaan TYT di sana. Namun kali ini saya tiba bersama-sama dengan rombongan TYT.

Saya berada di kereta nombor tiga. Pertama kereta rasmi TYT. Kedua kereta polis juruiring (bodyguard). Ketiga saya menaiki kereta istana bersama-sama  pemandu dan pelayan istana. Khabarnya ada jamuan tengahari selepas solat jumaat di sana.

Dari istana, kami bergerak sekitar 11.45 pagi, melalui jalan sulaman. Rombongan kami diiringi oleh lima polis trafik lengkap bermotosikal. Tiga daripada mereka jauh di hadapan, mengosongkan laluan meminta kereta lain ketepi, memberi laluan kepada rombongan istana, sementara dua lagi mengiring rapat di sisi atau di hadapan sedikit daripada kereta TYT. Sepanjang bertugas di sini dahulu, inilah antara perkara yang saya suka kalau menyertai rombongan TYT. Jalan lapang!

Tidak jauh dari persimpangan kampung Laya-Laya Tuaran, banyak lembu berkeliaran. Mereka melepak di tepi-tepi jalanraya. Dari kejauhan saya sudah melihat kelibat gangguan ini. Tiga polis trafik sudah jauh ke hadapan  sekitar 100 meter ‘membersihkan’ jalan. Kira-kira beberapa meter di hadapan kami, tanpa diduga, beberapa ekor lembu melintasi jalan. Perlahan.

Rombongan kami tersekat sebentar. Dua polis trafik yang dekat dengan kereta TYT juga turut terhenti. Entah adakah mereka cuba menghalau atau  cuba mempercepatkan pergerakan gerombolan lembu berkenaan. Tiga polis trafik semakin menjauh. Entah mereka sedar atau tidak, kami ‘dihalang’ oleh sepasukan lembu yang melintas jalan. Di kereta nombor tiga, saya tersengih sendirian. Kalah juga kereta istana, bisik saya.

Barangkali ini kisah kenangan sempena Hari Malaysia yang sebelum ini tarikh hari ini adalah hari cuti sempena harijadi rasmi TYT. Moral kisah ini ialah, walaupun kita berkuasa, kadang-kadang kuasa kita tidak laku  @ tidak ada nilai terhadap orang atau makhluk lain. Samalah dengan abang-abang polis berkenaan. Mereka ‘ketepikan’ kereta orang lain, tapi ‘kalah’ juga dengan sekumpulan lembu.

Tengahari selepas solat jumaat hari tu, kami dihidangkan dengan ambuyat yang menjadi kegemaran TYT Tun Ahmadshah. Alhamdulillah.

REHLAH II

Melalui acara-acara santai dan ringkas buat anak-anak dan juga kepada ibu bapa, jelas ada beberapa perkara yang boleh menjadi iktibar.

Ada beberapa anak-anak kecil ini yang begitu berbakat dalam mewarna lukisan yang diberi sehingga anak-anak saya bercerita tentangnya. Begitu juga ulah sebahagian anak-anak yang pemalu dan tidak begitu kelihatan aksinya.

Meskipun kebanyakan mereka masih tidak mengetahui nama antara satu sama lain, tetapi keseronokan itu sudah mula berputik, apabila mereka duduk makan, mandi di kolam dan main bersama. Sudah ada yang bertanya, bila lagi hendak jumpa.

Ibu-ibu saya kira mereka boleh bergaul dan bersahabat dengan baik sekali selepas ini walaupun sebahagian mereka bertemu buat kali pertama. Kalau tidak salah saya, untuk pertemuan kali ini 4 bayi bersama-sama dan beberapa anak kecil yang berumur antara 1-4 tahun.

Sebagai langkah awal, nama-nama anak sedang dikumpul dan akan diedar untuk maklumat semua ahli usrah. Ya, mula-mula saling mengenali, baru saling memahami, kemudian saling bekerjasama.

Untuk para bapa, permainan bola sepak untuk hanya 15-20 minit pada petang sabtu cukup seronok tetapi meletihkan. Seronok mengejar bola, tetapi sebaik bola terlepas daripada jangkauan kaki, letihnya bukan main.

Nampaknya ada resolusi untuk aktiviti sukan lebih kerap buat para bapa, pertemuan santai tapi bermakna untuk ibu-ibu dan program berlanjutan buat anak-anak. Mimpian Jadi hanya sekadar muqaddimahnya.

Sebagaimana resolusi dengan sahabat-sahabat, hampir 20 keluarga berhimpun di pusat peranginan ini dengan keseluruhan ahli sekitar 80 orang termasuk anak-anak kecil.

Tujuan utama selain untuk bercuti bersama keluarga masing-masing adalah untuk menemukan isteri-isteri dan anak-anak dalam program santai tetapi penuh ukhuwwah.

Acara mewarna untuk anak-anak PASTI dan tahap 1, meniup belon hingga pecah untuk sekolah rendah (putera), mengupas dan makan telur untuk puteri, masuk benang dalam jarum untuk para ibu, serta main bola sepak untuk para bapa.

Acara paling wajib bagi anak-anak dan ibu bapanya sekali sudah tentu mandi di kolam yang terbentang di hadapan bilik penginapan. Setiba di kawasan ini pun, anak-anak sudah meronta untuk terjun serta merta apabila melihat kawan-kawan yang tiba lebih awal sedang mandi dan berenang.

Sebelah malam, maghrib dan isyak kami khususnya lelaki didirikan secara berjamaah di luar kawasan resort berdekatan pantai, bertemankan cahaya suram dan para nyamuk yang sedang mencari setitik darah.

Isu kegawatan sosial, pentarbiahan anak-anak mendepani isu ini, serta program kekeluargaan menjadi topik perbincangan kami. Pelbagai idea, komentar dan pandangan dilontarkan untuk dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam kelompok ahli usrah kami.

Jamuan makan malam dengan menu utama seekor kambing yang diaqiqahkan untuk anak Ust Baharuddin, selain penyampaian hadiah buat semua anak-anak yang terlibat dalam pertandingan sebelah petang tadinya.

Program berakhir pada tengahari ahad setelah berada di sini semalaman. Ia sudah tentu belum memadai untuk ukhuwwah sesama anak-anak dan para isteri, namun inilah permulaannya.

SEKADAR BATANGAN

Apakah yang bermain di kepala saat membaca nama jalan ini? Tersenyum? Tersengih? Sinis? Hairan? Biru? Kuning? Oren? Kelabu?

Nama jalan ini terletak di daerah Tuaran, berdekatan jalan masuk menuju Masjid Daerah. Ada sesiapa tahu sejarahnya?

SAYA MESTI MUSLIM DARI SEGI IBADAH

1- Saya mestilah memastikan ‘ibadah saya mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah.

2- Saya mestilah melakukan ‘ibadah dengan penuh khusyuk sehingga saya dapat merasai kelazatan serta kemanisannya malah mendatangkan kekuatan kepada saya untuk berterusan mengerjakannya.

3- Saya mestilah beribadah dalam keadaan hati saya merasai kehadiran Allah, membuang dan melupakan kesibukan dunia dan hiruk-pikuknya.

4- Saya mesti beribadat dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, tidak merasa cukup dan tidak kenyang.

5- Saya mestilah mengambil berat terhadap ibadat qiamullail (sembahyang malam) serta melatih diri melakukannya sehingga ia menjadi satu kebiasaan.

6- Saya mestilah meluangkan waktu tertentu untuk membaca Al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya.

7- Saya mestilah menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak bagi segala ‘ibadah.

Nota dari buku ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ tulisan Allahyarham Dr Fathi Yakan menjadi rujukan utama dalam kuliah 2 jam setengah saya bersama puteri-puteri di daerah Tuaran pagi tadi.

Ibadah yang semestinya difahami oleh umat Islam bukan sekadar solat, puasa, zakat, haji, baca al-Quran, sedekah sahaja bahkan merangkumi seluruh kehidupan bermula bangun tidur hingga tidur semula termasuk makan dan minum, tidur dan jaga, urusan peribadi hingga pemerintahan dan urusan antarabangsa.

Pelaksanaan ibadah umum dan khusus, semua hamba Allah mesti merasakan kehadiran dan pemantauan daripadaNya agar kita berbuat dengan sesungguh-sungguhnya.

Semoga ada kebaikannya.

Kisahnya bermula apabila Aufia (18 tahun) dari Kg Tambulaong Tuaran memeluk Islam pada hari raya Eidul Fitri lalu. Saya dijemput oleh Ust Rafihi di rumahnya di Tuaran untuk majlis pengislaman itu.

Pada 26 Dis. lalu, Ust Rafihi sekali lagi menjemput saya, tetapi saya berhalangan kerana bercuti di kampung. Beberapa ahli keluarga Aufia pula seramai 5 orang memeluk Islam. Antaranya ialah makciknya dan saudara maranya yang lain.

Kebetulan, sebelum itu JAKIM Sabah ada mencadangkan kepada Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah untuk menghoskan satu program ziarah sempena tahun baru 2010.

Sebagaimana 1 Januari 2009, kami berziarah ke Kiulu. Satu Januari 2010, kami memutuskan untuk ke Kg Tambulaong menziarahi saudara kita di sana, termasuk yang baru memeluk Islam seminggu sebelumnya.

Kg Tambalaong, masuknya melalui jalan Kg Kauluan, melalui kawasan Pusat Khidmat Latihan Negara (PLKN); kami dengan sejumlah 6 buah kenderaan bertemu di sana sekitar jam 10.30 pagi.

Selain JAKIM Sabah diketuai oleh Ust Shamsuri dan orang-orang kuatnya, turut serta aktivis-aktivis daripada Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Siswazah Sabah (PSS) selain PUM Sabah sendiri.

Majlis diadakan di sebuah surau kecil dan terpencil, surau at-Taqwa namanya. Dr Ali mengambil tempat memimpin majlis, kemudian Ust Shamsuri menyampaikan sedikit ucapan aluan dan Ust Hj Nahar memberikan tazkirah kepada yang hadir, khususnya kira-kira 30 penduduk kampung yang hadir.

Dalam pada itu, dialog ringkas juga diadakan bersama mereka khususnya berkait tentang keperluan pengajian asas fardhu ain, masalah kemasyarakatan dan sebagainya. Insya Allah, penganjur akan mencuba menangani beberapa masalah yang diutarakan.

Sumbangan berbentuk pakaian solat, taqwim, buku panduan solat, makanan asasi seperti beras, gula dan lain-lain daripada JAKIM Sabah, JHEAINS dan beberapa individu disampaikan oleh Ust Shamsuri dan Ust Hj Nahar. Kami beredar pulang menjelang tengahari sebelum solat jumaat.

JENICARR @ AUFIAH AZ-ZAHRA

IMG_8692

Suasana raya kali ini tambah meriah dan istimewa buat saya, keluarga Ust Rafihi dan khususnya diri Jenicarr Yado.

Setelah berziarah raya di rumah Abg Zulkifli Zakaria di Taman Olivia Kepayan, Ust Mad Sepanggar di Luyang dan Angah di Putera Perdana, kami sekeluarga meneruskan perjalanan ke rumah Ust Rafihi di flat guru Sekolah Pendidikan Khas, Tuaran.

Di rumah Ust Rafihi, beliau sekeluarga dan Jenicarr sudah  menanti. Saya dan Abang Aminuddin TPJ3 datang sekali.  Setelah selesai menjamu selera dan Ust Amir Hamzah sekeluarga tiba, kami memulakan acara.

Ust Rafihi mempersilakan saya memimpin majlis dengan Jenicarr diapit dua anak Ust Rafihi berada di hadapan saya. Di sisi saya ialah Ust Amir, Abang Amin dan Ust Rafihi sendiri.

Saya menjelaskan kepada beliau secara ringkas keindahan Islam, khususnya perkara rukun iman dan rukun islam yang menjadi dasar agama ini.

Dipendekkan cerita, malam itu Jennicarr, 18 tahun memeluk Islam dengan sukarela di hadapan kami. Pelajar tingkatan 6 rendah SMK Badin Tuaran ini merupakan sahabat baik kepada anak Ust Rafihi.

Katanya, minat membaca buku bercorak agama, pergaulan dengan teman muslim antara yang mendorongnya memeluk Islam.

Paling jelas, rakan-rakan muslimnya telah menunjukkan akhlak yang betul sehingga menarik perhatiannya kepada Islam.

Sebelum kami pulang, Ust Rafihi mengisytiharkan Jenicarr atau nama barunya Aufiah Az-Zahra diambil sebagai anak angkatnya. Mereka sekeluarga khususnya anak-anak perempuannya akan membimbing Aufiah memahami agama ini.

IMG_8691

%d bloggers like this: