Archive for 2 Januari 2010


Di Perumahan Kg Kuala Papar pagi tadi, orang ramai daripada kalangan keluarga, penduduk kampung, rakan sekerja di JHEAINS, juga sebahagian para pelajar beliau memenuhi rumah Allahyarham sejak SMS tersebar pada awal pagi menyatakan beliau kembali ke rahmatullah pada jam 6 pagi.

Saya hanya tiba di rumah Allahyarham hampir jam 10 pagi sekereta bersama-sama Ust Hj Muchlish Ali Kasim dan Ust Hj Ghazali Sulaiman.

Janazah beliau dimandi dan dikafankan di ruang tamu rumahnya dan kemudian disembahyangkan di Masjid Raudhatul Ilmiah, Kg Kuala Papar yang bersebelahan rumahnya pada jam 10.15 pagi. Masjid itu juga adalah salah satu masjid yang beliau mempunyai jadual sebagai khatib jumaat.

Solat janazah diimamkan oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim, yang pernah bertugas sebagai guru pada zaman MUIS & JHEAINS (kini Pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia [PUM] Sabah) bersama kira-kira hampir 400 jamaah.

Beliau dibawa ke Taman Perkuburan Orang Islam Kg Benoni Papar, 10 minit dari Kg Kuala. Talqin disampaikan oleh Ust Hj Jasri Johor (guru SMAI Papar) yang juga antara sahabat akrab Allahyarham, sementara doa oleh Ust Hj Muchlish Ali Kasim.

Antara yang hadir ialah Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Datuk Hj Aidi Mokhtar; Setiausaha Rendah 1 di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Hj Ag Syahrin Alimin; KPP Sektor Pendidikan Islam JPN, Ust Saifulzaman Hj Sanggul dan lain-lain.

Turut kelihatan para pegawai kanan JHEAINS antaranya Ust Sidik Ag Adi (Tim. Pengarah), Ust Baharuddin Hj Alwi (KPP Pentadbiran Syariah), Ustazah Hjh Zaloha Hj Ahmad (KPP Dakwah), Ust Hj Ag Omar Pg Ghana (Pengetua SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah), Ust Zainuddin Mahmud (Pengetua SMAI Tambunan), pegawai-pegawai di Bahagian Pendidikan JHEAINS, antaranya Ustazah Hjh Aisyah Kasan, Ustazah Hjh Zubaidah Jamadi, Ust Hj Sipri Abd Razak, Ust Hj Abd Talipuddin, Ust Hj Md Taif Kassim, para guru agama JHEAINS dan ramai lagi.

Ust Abidin meninggalkan seorang isteri, Ustazah Jaleha dan 7 orang cahayamata, 3 daripadanya kini berada di Universiti al-Azhar, Mesir.

Menyedihkan juga, hari ini berlangsung pertunangan anak sulung beliau di Kuala Lumpur yang diurus oleh adik beliau, Ust Hamdani Omar dan isteri. 

Saat pemergiannya awal pagi ini, Ust Hamdani yang menyampaikan berita keluarga dari KL, tiada di sisi sehingga majlis pengkebumian selesai.

Kita semua kehilangan ahli keluarga, guru, dan sahabat yang baik. Al-Fatihah.

*****

Pada suatu petang eidul fitri lalu, kami sekeluarga berziarah ke rumah Ust Abidin. Sembang kami berlegar tentang isu semasa, khususnya hal ehwal blog yang menjadi minat kami bersama.

Ust Abidin yang aktif dengan blog ‘keluarga ambuyat el-binangkit’ adalah ahli kepada Sahabat Blogger Sabah, dan menjadi inspirasi kami semua.

Sebelum menceburi dunia blog, beliau sebelum itu memang sudah rajin menghantar pantun-pantun yang dikarangnya ke egroup kami dan ke web tranungkite dengan menggunakan nama pena azhari(s).

Sambil-sambil bersembang itu, saya mengeluarkan kamera dan buku catatan yang sentiasa terselit di beg kamera, sementara beliau mengeluarkan laptopnya.

Oleh kerana minat saya mengambil maklumat para pendakwah Sabah, saya bersedia dengan pen dan buku untuk mencatat biodata beliau. Namun katanya, beliau akan menghantar emel biodatanya kepada saya.

Ust Abidin memang disenangi ramai. Menurut isteri saya yang pernah berguru dengannya di SMA Islamiah Papar,  para pelajar memang menyayangi beliau. Kelas memang gamat dengan gurauan dan usiakan beliau ketika mengajar.

Ketika bersembang dengan rakan-rakan, sikapnya juga begitu. Jarang sekali beliau mengecewakan dan menyakitkan hati rakan-rakannya.

Ust Abidin Omar yang dilahirkan pada 27 Disember 1957 di Kg Benoni Papar mendapat pendidikan rendah di SRK Benoni Papar (1964-1969), Sekolah Ugama Islam Sabah (SUIS) Kg Benoni (1969-1970), SUIS Kg Buang Sayang Papar (1970-1973).

Ketika peringkat menengah, beliau mendapat pendidikan di SMK Majakir Papar (1970-1972), Madrasah Arabiah Kluang Johor (1974-1977) dan mendapat sijil 4 ibtidaie. Kemudian Sekolah Agama Laki-Laki Bandar Kluang (1974-1975) dalam darjah 6 dan kelas khas; dan kemudian ke Sekolah Sultan Abd. Jalil Kluang Johor.

Seterusnya beliau ke Ma’ahad Johor, Johor Baharu (1978-1981) sehingga mendapat sijil 4 thanawi dan SPM.

Di peringkat pengajian tinggi, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir (1982-1987) sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Fakulti Usuluddin (Tafsir).

Beliau juga mendapat Diploma Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Petaling Jaya Selangor Darul Ehsan (1989-1990) menerusi bidang Pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

Dalam kerjayanya, beliau pernah bertugas sebagai guru agama MUIS di SMU Papar (1988); Pengetua Sek. Islamiah Tawau (1988-1991); Pengetua SMU Islamiah Papar (1992-2000); Ketua Nazir Pendidikan JHEAINS (2000-2002);  Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Bahagian Sandakan (April 2002-Feb 2003); Guru Agama SMAI Beaufort (Feb. 2003 31 Julai 2003); Pengetua SMAI Beaufort (01 Ogos 2003 hingga 26 Jan 2006); Guru Agama SMAI Papar (27 Jan 2006 hingga 2 Januari 2010).

Khabarnya, beliau disahkan menghidapi kencing manis sejak bertugas di Sandakan pada 2002 lagi.

Setelah bertugas beberapa tahun di SMAI Beaufort, beliau memohon pindah ke Papar kerana keuzuran dan merasa letih akibat perjalanan jauh setiap hari berulang alik Papar-Beaufort selama sejam, berbanding hanya 5 minit dari rumahnya ke SMAI Papar.

Beliau sanggup turun daripada jawatan pengetua kepada guru agama biasa, dan berpengetuakan adiknya Ust Hamdani Omar.

Beliau juga kerap diundang menjadi hakim Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) pelbagai peringkat di seluruh Sabah, hakim dalam festival kompang, marhaban dan nasyid pelbagai peringkat.

Segala jasa, ilmu dan didikannya di sekolah-sekolah, masjid dan surau, hasil usaha perjuangannya bersama blog http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/ mudah-mudahan diganjari oleh Allah SWT. Harapnya, anak-anaknya dapat meneruskan perjuangannya.

Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah (berbaju dan kopiah putih)

Kenangan ketika ziarah eidul fitri lalu.

Dari Allah kita datang, kepada Dia kita kembali.

Ustaz Abidin Omar, 52 tahun, guru di Sekolah Menengah Agama Islamiah Papar kembali ke rahmatullah jam 6 pagi ini di Hospital Papar. Janazah akan dikebumikan di Taman Perkuburan Kg Benoni Papar.

Ust Abidin adalah seorang guru, otai, dan blogger yang menjadi inspirasi saya sebenarnya. Dalam blognya http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/ beliau menulis mengenai dirinya :

“TIADALAH AKU MELAINKAN SEORANG HAMBA ALLAH SWT YANG DAIF. KERANA ALLAH HAMBA BERJUANG DAN MEMPERJUANGKAN AGAMA ISLAM YANG MAHA SUCI INI(BUKAN ISLAM HADHARI.)”

Mengenai blognya, beliau menulis :

Selamat Melayari Ambuyat El-Binangkit yang sarat dengan INFO berkaitan AGAMA termasuk Hujjah Kebenaran Islam, tidak ketinggalan ISU SEMASA dan SENSASI. Inilah sumbangan Ana dalam MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT.

Kemaskini terakhir blog beliau ialah pada 28 Disember lalu dengan memaparkan berita politik Pakatan Rakyat

Ust Abidin @ Abdin bin Umar @ Omar dilahirkan di Kampung Benoni Papar pada 27 Disember 1957. Beliau meninggalkan seorang isteri yang dinikahi pada 1984 dan 7 orang anak.

Ketika menziarahi beliau pada hari raya lalu, saya menulis :

Beliau sarat dengan pengalaman. Berada di Universiti al-Azhar 1982-1987 dalam bidang Usuluddin (Tafsir).

Dalam perkhidmatan awamnya, pernah menjadi pengetua di SMAI Tawau, SMAI Papar, Ketua Nazir Pendidikan JHEAINS, PTA JHEAINS Sandakan dan Pengetua SMAI Beaufort.

Kini beliau kembali dan memilih sebagai guru agama biasa saja atas beberapa alasan kesihatan dan kesibukan tugas.

Beliau juga adalah hakim MTQ Negeri Sabah dan Fertival Kompang, Barzanji dan Marhaban Negeri Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jangan lupa, beliau juga adalah pengendali blog terkenal : http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/. Statistik menunjukkan lebih 600 ribu pengunjung sejak november 2007.

Isi kandungan blog beliau bukan setakat berita terkini tetapi juga koleksi bahan-bahan yang boleh menjadi rujukan semua.

Berita lanjut akan menyusul. Saya hendak bergerak menziarahi janazah Allahyarham di Papar. Sama-sama kita menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham.

%d bloggers like this: