Archive for 10 Januari 2010


SURAU AN-NUR SK KEM LOK KAWI

Sebagaimana pernah saya coretkan sebelum ini, anak sulung kami Nuha memasuki dunia barunya dalam darjah 1 di SK Kem Lok Kawi. Sabtu semalam adalah hari pendaftaran dan pembayaran yuran. Alhamdulillah, cuma RM25 sahaja.

Oleh kerana ini pengalaman pertama anak naik darjah 1, saya agak teruja. Kesempatan datang beberapa kali, saya ada juga bertanya itu dan ini kepada beberapa orang guru, melihat dan meninjau bilik demi bilik termasuk surau sekolah.

Surau an-Nur menurut yang dimaklumkan bermula sejak 1996. Lokasinya sangat strategik, di tengah-tengah kawasan sekolah. Masuk saja kawasan sekolah, suraulah yang pertama dilalui.

Saya mengambil sedikit masa untuk melihat dan meninjau surau itu dari dalam. Ramai rakan ustaz dipelbagai sekolah yang mempunyai kemudahan surau pernah bercerita, surau biasanya menjadi lokasi mengadakan program yang dipanggil pengajaran dan pembelajaran (p&p).

Dari luar, surau ini nampak biasa saja. Saya sedikit kecewa apabila menyentuh dindingnya yang kebanyakan reput dimakan anai-anai. Sedikit tekanan atau hentakan, dindingnya pasti patah. Siling bocor, cermin tingkap banyak yang lopong. Hanya lantainya saja yang lawa.

Kembali ke luar, baru saya perasan atapnya yang mulai uzur. Bangunan di kiri dan kanan surau ini, agak baik dan tersergam sementara suraunya nampak terbiar.

Ketika mula-mula hadir pada isnin lalu, saya melihat banyak anjing berkeliaran di sekeliling sekolah. Sepatutnya kawasan surau mempunyai pagar sendiri agar tidak dimasuki haiwan berkenaan.

Sudah tentu saya agak cerewet dalam hal ini, kerana mungkin saja anak saya akan terbabit dalam aktiviti surau ini nanti. Lagipun, kalau pihak sekolah dan jabatan pelajaran boleh memperuntukkan untuk bangunan lain, untuk surau sudah tentu juga boleh.

Khabarnya di sekolah ini ada 14 guru agama, harap dapat bersatu memperjuangkan masalah surau ini secara kolektif. Bahkan semua guru yang beragama Islam sepatutnya memperjuangkannya termasuk guru besarnya.

Surau ini adalah rumah Allah SWT. Sebagai seorang Islam, semua guru muslim bertanggungjawab ke atasnya. Komentar saya ini adalah berdasarkan saya sebagai bapa dan sebagai seorang muslim.

1) Pertukaran siang dan malam, minggu, bulan dan tahun membawa mesej penting bahawa manusia semakin dekat kepada kubur.

– “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia..” (al-Qasas : 77)

– “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..” (ar-Ra’d : 11)

2) Sekiranya manusia mengetahui tarikh kematiannya, manusia pasti bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah. Namun Allah SWT merahsiakannya sebagai ujian kepada para hambaNya.

– “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”. (Ali Imran : 190-191)

3) Manusia mesti mempunyai wawasan dunia dan akhirat. Paling utama mesti mempunyai ilmu. Mengetahui tujuan manusia diciptakan, dan aktiviti yang dilakukannya di dunia ini.

– “..Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu…” (Fathir : 28)

4) Seterusnya, untuk kemakmuran hidup di dunia, mesti ada faktor kesatuan, Perpaduan yang betul hanyalah dengan Islam dan aqidah yang sahih.

– “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (al-Anfal : 46)

– “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (al-Hujurat : 10)

– “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar”. (Ali Imran : 105)

5) Umat Islam mesti berusaha mengislamkan diri sepenuh masa, dengan makna beramal dengan Islam bukan bermusim seperti hanya beramal dalam bulan Ramadhan atau pada hari Jumaat, bahkan sepanjang masa dalam seluruh hayatnya.

– “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. (al-Baqarah : 208)

Ringkasan khutbah Jumaat di Masjid al-Aman, Pasar Filipina oleh Ust Hj Abu Hurairah Abd Rahman (Pengarah Dakwah USIA), 8 Januari 2010.

%d bloggers like this: