Archive for 28 Januari 2010


PENGARAH ARAK

Daripada Dewan Rakyat Parlimen Malaysia

Pertanyaan Jawab Lisan Dijawab Bertulis Bagi Soalan No 38 pada 11 November 2009 :

Dr. Haji Mohd Hayati bin Othman (Pendang) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah orang-orang Islam yang terlibat sebagai Pengarah syarikat berkaitan arak dan judi di dalam Negara Malaysia.

Jawapan :

Tuan Yang di-Pertua, Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat 117 orang Pengarah syarikat berkaitan arak yang beragama Islam dan tiada orang-orang Islam yang terlibat sebagai pengarah syarikat judi di negara ini.

sumber : http://mppas.wordpress.com/

***

Itu 117 orang yang beragama Islam memegang jawatan selaku pengarah syarikat berkaitan arak. Akan datang baik pula ditanya berapa ramai pengarah-pengarah yang taik arak dan judi.

Pengarah sana, pengarah sini, ketua sana, ketua sini, YB sana, YB sini, menteri sana, menteri sini, tapi kaki botol dan kaki judi walaupun bukan pengarah syarikat arak dan judi.

Eh, ada ka?

Kira-kira lebih 30 tahun lalu, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mula menerbitkan risalah mingguan untuk edaran kepada umat Islam. Ia dinamakan Shoutul Islam atau Suara Islam.

Antara kolum yang diminati ramai termasuk saya sejak zaman sekolah lagi ialah ruangan Kemusykilan Agama kendalian Ust Hj Muhammad Nawawi Muhammad (Allahyarham), seorang ulama’ dari Medan yang berkhidmat di Sabah sejak 1974.

Penulis risalah ini ada yang tetap dan ada yang bertukar ganti.

Antara mereka ialah Ust Baitul Makmur Abdul Kadir, Ust Ngadiran Anwar, Ust Ali Umry Nasution, Ust Hj Johari Alias, Hj Hussin Kasau, Ust Hj Arifin Arif (YB Datuk), Yusuf Imbang, Abu Ezzah, Najion Jamil, Ust Hj Muhammad Iyen Atim, Ust Mansuruddin Batu Bara, Ust Hj Jalidar Abd Rahim dan ramai lagi.

Mereka telah merintis suatu wadah dakwah yang sangat bermanfaat dan insya Allah kami akan meneruskannya.

Antara kolum-kolum yang dimuatkan dalam risalah berkenaan ialah Khutbah Jumaat, berita dan isu semasa, ‘Anda Harus Tahu’, Renungan, Bingkisan Dari Mesir dan lain-lain. Meski berubah saiz, kolum dan penulis bertukar ganti, ia terus muncul dan ada di tangan peminatnya pada hari jumaat.

(Terima kasih maklumat yang diberikan oleh Ust Najion Jamil)

Pada pertengahan tahun 2006, penerbitan mingguan Shoutul Islam terhenti tanpa sebab-sebab yang saya ketahui.  Kini, setelah 3 tahun tanpa berita, insya Allah melalui Bahagian Penyelidikan dan Informasi selaku urusetia, risalah Shoutul Islam akan kembali diterbitkan dengan nafas baru.

Semalam saya menyertai mesyuarat berkenaan penerbitannya dipimpin oleh Timbalan Pengarah Ust Mohammad Sidik Ag Adi dan disertai pegawai-pegawai kanan JHEAINS. 

Sebenarnya sejak tahun lalu lagi, sudah ada perbincangan untuk menerbitkan kembali tetapi asyik tertangguh. Memang ia menjadi bahan yang dinanti khususnya pada hari jumaat di masjid-masjid.

Antara keputusan yang dibuat, Shoutul Islam buat masa ini akan terbit secara bulanan dengan bilangan muka surat yang lebih tebal dan menarik berbanding dahulu. Ada kolum yang dikekalkan, sementara ada kolum baru akan dimasukkan.

Pada pandangan saya, ia boleh ditingkatkan kembali kepada terbitan asal dahulu iaitu keluaran mingguan satu hari nanti setelah para penulis dan semua yang terlibat dapat menyesuaikan diri.

Dalam perbincangan kami, lebih separuh penulisnya adalah muka baru dalam dunia Shoutul Islam ini, walaupun ada juga yang sememangnya biasa dan minat menulis.

Saya sendiri terlibat untuk mengendalikan 3 kolum. Ikon Remaja, Tafsir al-Quran dan Kemusykilan Agama dengan wajah baru. Oops, ruangan kemusykilan agama akan dijawab oleh orang lain, saya hanya sebagai mas’ul untuk mengaturnya.

Tafsir al-Quran diserapkan dengan menyentuh ayat-ayat tertentu yang berkait dengan perkara semasa yang berlaku dalam masyarakat, sementara Ikon Remaja akan mencari remaja muslim muslimah 13-21 tahun yang cemerlang, menjadi motivasi sesama mereka dan bertujuan menarik perhatian remaja agar membaca risalah ini.

Kolum-kolum lain akan dikendalikan oleh para penulis dari JHEAINS yang berbakat dan berpotensi baik, termasuk timbalan pengarah sendiri, pengetua sekolah, guru-guru agama JHEAINS serta pegawai-pegawainya.

Insya Allah, keluaran sulung akan diedarkan kepada umum pada 26 Februari 2010 bersamaan 12 Rabiul Awwal 1431H sempena sambutan kelahiran Junjungan Mulia Rasulullah SAW.

Doakan kami dapat menyelesaikan risalah dakwah ini demi kebaikan bersama. Komentar, cadangan dan kritikan membina amat dialu-alukan.

Gambar transformasi shoutul Islam. Tahun 1990, 1998, 2001 dan 2006.

%d bloggers like this: