Tag Archive: Yayasan Amal Malaysia


Tarikh : 24 September 2015

Saat Tuan Haji Akriah menawarkan saya untuk menyertai misi ‘Qurban Filipina’ dua bulan lalu, saya langsung menerima tawaran ini tanpa banyak fikir. Apatah lagi misi qurban kali ini menuju ke lokasi yang saya belum pernah pergi lagi. Sudah tentu ada perkara menarik dan pengalaman baharu yang akan dirasai.

Kami bertiga – Tuan Haji Akriah Abdullah @ Abu Aslam, Ustaz Dr Norazamuddin Umar dan saya berangkat ke Manila untuk misi ibadah qurban di negara muslim minoriti ini dengan penerbangan pada jam 2.30 pagi dan tiba di Lapangan Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) dua jam berikutnya. Permusafiran ke negara ini adalah atas program dakwah dan kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah.

Pagi itu adalah pagi hari raya aidil adha. Kami memutuskan untuk mencari musalla di NAIA ini kerana kami akan menyambung penerbangan ke Zamboanga pada jam 11.30 pagi yang sama. Ada sebuah surau kecil yang boleh memuatkan sekitar 10-15 orang.

Kami solat subuh di NAIA ini beserta takbir hari raya kemudiannya menunaikan solat dan khutbah hari raya aidil adha di musalla berlima, kami bertiga dan dua orang muslim lain yang berjamaah bersama-sama kami. Ustaz Dr Norazamuddin memimpin solat dan kemudiannya menyampaikan khutbah dalam bahasa Arab, Inggeris dan Melayu.

IMG-20150924-WA000420150924_020249 20150924_044135 20150924_045700 20150924_071727 20150924_073439

Tarikh : 12 September 2014

Lokasi : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Kota Kinabalu

Ceramah Cikgu Jamuluddin Alias, Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia yang juga aktivis kemanusiaan negara kita di sini berkisar tentang pengalaman yang dilalui beliau khususnya dalam tragedi kapal marvy marmara yang diserang dan dikepung oleh tentera Israel satu ketika dahulu.

Lebih daripada itu, ceramah beliau menyuntik semangat hadirin untuk prihatin dan kasih kepada saudara seagama kita sendiri sebagaimana anjuran agama seperti yang menimpa saudara kita di Gaza dan di tempat lain merata dunia.

Yayasan Amal @ JKNS (1) Yayasan Amal @ JKNS (2) Yayasan Amal @ JKNS (3) Yayasan Amal @ JKNS (4)

Pusat pentadbiran Pulau Banggi ialah Pekan Karakit dan pekan ini menempatkan Pejabat Daerah Kecil Banggi, Rumah Rehat, Klinik Kesihatan, Balai Polis, jabatan-jabatan kerajaan, SMK Banggi, Pangkalan Polis PGA, dan rumah-rumah para penduduk kampung. Penduduk pekan ini dianggarkan seramai 1000 orang. Penduduk utama Pulau Banggi ialah daripada suku kaum Ubian dan Dusun Bonggi. Terdapat juga kaum-kaum lain iaitu orang Βajau, Kagayan, dan Ѕuluk. (wikipedia)

Sesuatu yang saya gemari apabila bermalam di pekan ini ialah kemudahan wifi. Kami mendapati sekurang-kurangnya 3 atau 4 wifi dapat dikesan dan kami memanfaatkannya sehingga berada di jeti sebelum keberangkatan pulang ke tanah besar di Kudat. Kunjungan ke pulau ini sangat bermanfaat dan saya berhajat untuk datang lagi pada masa akan datang.

Dalam ilmu dakwah secara teori dan praktikal, kaedah dakwah bilhal iaitu dakwah dengan cara menunjukkan teladan seperti kebajikan, akhlak yang luhur dan seumpamanya merupakan kaedah paling berkesan berbanding dengan kaedah yang lain. Justeru misi khidmat kemanusiaan kepada sasaran tanpa mengira bangsa dan agama merupakan satu bentuk dakwah yang sangat baik.

Itu antara rumusan yang saya perolehi setelah menyaksikan forum amal di perkarangan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu malam tadi. Forum berkenaan menampilkan Tuan Haji Hussin Ismail (Presiden Yayasan Amal Malaysia), Dr Awisul Islah Ghazali (Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina – PAPISMA) dan Tuan Haji Khairan Untoh sebagai moderatornya.

Menceritakan pengalaman menjelajah ke hampir merata negara di seluruh dunia terutama yang dilanda musibah, Tuan Haji Hussin menyaksikan ratusan NGO kebajikan menghulurkan bantuan dengan misi tersurat dan tersirat masing-masing. Katanya dalam misi-misi dakyah agama tertentu tiga perkara yang mereka bawa iaitu ubat, air dan pendidikan yang akhirnya akan membawa sasaran kepada agama mereka secara langsung atau tidak.

Maka katanya, jika dibiarkan apakah yang akan berlaku kepada sebahagian umat Islam yang menjadi mangsa musibah jika tiada umat Islam lain yang mahu mengambil berat akan keadaan ini. Maka Yayasan Amal Malaysia, katanya dengan semangat berlumba-lumba berbuat kebajikan sebagaimana anjuran al-Quran, ingin menabur bakti melalui pendekatan kebajikan, kemanusiaan dan kemasyarakatan berteraskan Islam kepada ummat merentasi geografi, agama, suku kaum dan bangsa.

Sementara Dr Awisul Islah menjelaskan, walaupun tidak kerap ke luar negara, mereka tetap menghantar wakil ke misi-misi kemanusiaan seperti ke Palestin dan sebagainya. Menjelaskan Sabah sebagai cawangan termuda mereka, mereka telah mengadakan beberapa aktiviti berlandaskan kebajikan, kesihatan dan perubatan kepada masyarakat antaranya di Sandakan dan Kota Kinabalu. Walaupun dalam keterbatasan ahli dan kedudukan mereka yang berjauhan, beberapa program akan tetap disusun dan dijalankan daripada masa ke masa.

PAPISMA kata Dr Awisul, sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu masyarakat memahami dan menjiwai kaedah serta sistem perubatan dan perawatan yang selari dengan al-Qur’an dan Sunnah serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Sehingga kini PAPISMA telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang penjagaan kesihatan melalui pelbagai kaedah seperti rawatan kesihatan percuma, bengkel-bengkel kesihatan, ceramah-ceramah, pameran dan sebagainya.

Forum berkenaan diadakan sempena Karnival Amal (Istiqbal Ramadhan) Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang berlangsung bermula 30 Mei dan berakhir pada 3 Jun akan datang.

Di Masjid Negeri Sabah selepas zuhur, menyambung ceramah terdahulunya di Dewan Saadah Wisma MUIS sebelum tengahari, kali ini Haji Jamuluddin Elias menceritakan tentang beberapa pengalaman berharga beliau dalam misi kemanusiaan di beberapa buah negara.

Antaranya pengalaman mereka ketika melakukan misi kemanusiaan di Jogjakarta Indonesia, di China, Acheh dan lain-lain. Beliau menceritakan tentang sebuah masjid yang dimusnahkan oleh Allah SWT dalam satu gempa bumi, barangkali akibat masyarakatnya yang tidak lagi memperdulikan tentang rumah Allah SWT ini.

Beliau juga menyentuh tentang sambutan hebat penduduk di China yang banyak membantu dalam misi kemanusiaan mereka ke sana. Pengalaman-pengalaman itulah katanya membuatkan beliau dan rakan-rakannya semakin bersemangat untuk melakukan kerja-kerja amal di mana juga berada. Setakat ini beliau di dalam Yayasan Amal Malaysia telahpun menjelajah lebih 25 buah negara dalam misi kemanusiaan.

Lebih 600 umat Islam menghadiri Diskusi Ramadhan bersama Ustaz Zahazan Mohamed di Dewan Kinabalu Kompleks Tabung Haji mulai jam 8.30 malam tadi. Diskusi berkenaan dianjurkan bersama Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah, Pustaka Aslam dan Hidayah Permai Construction dan dipengerusikan oleh Ustaz Md Jumat Albelurani yang juga aktivis Yayasan Amal Malaysia.

Majlis berkenaan didahului dengan tayangan video selama 10 minit yang memaparkan aktiviti Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah di seluruh negeri sejak beberapa tahun kebelakangan. Diskusi ini merupakan sebahagian daripada aktiviti sekaligus mempromosi Yayasan Amal ke tengah masyarakat agar umat Islam khususnya turut membantu dan menyumbang dalam program-program kebajikan di seluruh negeri.

Ustaz Zahazan pula memulakan diskusinya dengan menghuraikan ayat 183-185 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kefardhuan puasa. Beliau juga banyak mengutarakan kehidupan para salafus soleh dalam kehidupan beragama mereka untuk dijadikan panduan bersama.

EMPAT AMALAN UTAMA

Ustaz Zahazan memetik beberapa pendapat ulama’ agar sepanjang Ramadhan ini umat Islam menumpukan aktiviti kepada empat perkara iaitu puasa, qiyam (menghidupkan malam dengan solat dan seumpamanya), tilawah al-Quran dan bersedekah.

Dalam sesi kedua, audien mengutarakan lebih 20 soalan kebanyakannya berkaitan Ramadhan kepada Ustaz Zahazan dan beliau berjaya menjawabnya dengan baik dan berhikmah terutama soalan yang berbentuk khilafiyah.

Sebelum majlis berakhir, beliau turut mempromosi Majalah Solusi yang diusahakan Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd. Saya dimaklumkan jumlah jualan majalah ini mencecah 80 ribu setiap keluaran. Majlis berakhir pada jam 11.20 malam dengan penyampaian cenderamata  dan sesi bergambar bersama JK penganjur.


Dua malam terakhir tadarrus di rumah Allahyarham Ustaz Haji Nahar dihadiri ramai sahabat-sahabat dan kenalan. Ada rakan-rakan guru membawa pelajar sekolah masing-masing.

Saya turut membawa siswa-siswi Maahad Tahfiz untuk membantu tadarrus dan menziarahi keluarga Allahyarham. Malam terakhir saya bawa 5 orang pelajar akhawat sedangkan malam sebelumnya lima orang pelajar ikhwah.

Malam kedua terakhir, setelah tadarrus saya diminta menyampaikan tazkirah berkenaan Allahyarham. Terkedu seketika kerana sebahagiannya sudah saya luahkan melalui blog ini. Hanya beberapa hadith dan ibrah daripada kisah Imam Ahmad bin Hambal yang menjadi pengajaran semua agar semua yang hadir dapat mempertahankan kebenaran walau digugat oleh musuh di kiri dan kanan.

Malam terakhir tazkirah ringkas disampaikan oleh Tuan Haji Khairan Untoh selaku Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, di mana Allahyarham adalah Naib Pengerusinya di Sabah. Tidak dapat dinafikan Ustaz Nahar antara aktivis yang memeriahkan gerak kerja Yayasan Amal di Sabah.

Di hujung majlis, pihak Yayasan Amal Malaysia menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham yang diterima oleh anak sulung, Nasyraf Ideen bagi pihak keluarganya.

Sahabat-sahabat yang berkelebihan dan bersimpati juga boleh menyampaikan sumbangan terus ke akaun bersama Bank Islam Malaysia Berhad atas nama  Nashraf Ideen bin Nahar dan Norsidah binti Daris di nombor akaun : 100 160 202 535 15


Malam tadi kami sahabat-sahabat akrab Allahyarham Ustaz Haji Nahar berziarah ke rumah beliau di Kg Likas. Saya sudah berpesan kepada sahabat-sahabat agar membawa sekali isteri masing-masing bagi mengucap tazkiah kepada Kak Shida.

Orang yang datang begitu ramai sekali. Bertali arus. Antaranya mantan mufti Datuk Haji Ismail Abbas bersama-sama jamaah Masjid Kg Likas yang baru menunaikan solat isyak. Datuk Sanin Pandin, mantan Ahli Suruhanjaya Cobbold juga kelihatan sama.

Sebelah siangnya, juga tidak kurang ramainya jamaah yang datang. Antaranya Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) Datuk Haji Ismail Ag Besar, mantan Imam Besar Datuk Haji Mokhtar Rapok, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Sabah) Haji Khairan Untoh, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, mantan Pengerusi MUIS Datuk Haji Matusin Ag Damit, ADUN Pantai Manis Datuk Rahim Ismail, Ahli MPT PKR Haji Ansari Abdullah dan ramai lagi.

Hujan lebat beberapa jam petang itu di sekitar Kota Kinabalu telah menenggelamkan beberapa lokasi. Demikian kami dimaklumkan. Namun jenazah Ustaz Nahar tidak putus dikunjungi orang. Rakan-rakan sekerja dari JHEAINS, guru agama,  pengawai tinggi kerajaan, orang-orang politik hadir silih berganti. Asalnya kami dimaklumkan jenazah mahu diselenggarakan secepat mungkin, namun hujan lebat itu menjadi salah satu halangannya. Tambahan lagi pihak waris masih menanti beberapa ahli keluarga yang hanya tiba ke Kota Kinabalu lewat petang.

Hampir 10 malam, kami mula meminta diri untuk pulang. Saya bersalam erat dengan Nasyraf, 17 tahun, anak sulung Ustaz Nahar. Saya menyabarkan beliau dan mengatakan bahawa kini amanah ketua keluarga berada di pundaknya. Kami sebagai rakan-rakan seusrah babahnya bersedia membantu sekadar yang termampu.

Rupanya Kak Shida ada permintaan lanjut. “Bolehkah ahli usrah bermalam di sini malam ni?” “Ya”, jawab saya. Kami berunding dengan rakan-rakan akan datang semula pada tengah malam. Saya juga balik sebentar untuk menghantar isteri dan anak.

Jam 1 pagi kami datang berkumpul. Ketika itu, keadaan sudah sunyi sepi kecuali suara bacaan al-Quran. Yang lain sudah mulai melelapkan mata. Banyak cerita kenang-kenangan bersama Allahyarham kami luahkan. Kisah saat-saat akhir hayatnya juga kami kongsikan bersama. Saudara Amir, pembantu Ustaz Nahar banyak bercerita tentang detik pemergian ustaz. “Ustaz Nahar sempat mengucap dua kalimah syahadah”, katanya, sebelum Allahyarham terlentok di bahunya.

Di rumah, anak-anak dari SMKA Tun Ahmadshah Inanam membacakan al-Quran sejak tengah malam sehingga ke jam 4.30 pagi. Kami pula mengambil saat akhir sebelum subuh untuk membacakan Yasin dan doa untuk Allahyarham. Sebelum berangkat ke masjid, saya buka lagi kain yang menutup wajahnya. Demi Allah, kami melihat wajah beliau dengan bibirnya yang tersenyum.


Catatan versi Abu Nuha

Lemah rasanya tangan hendak menulis, longlai rasa badan mengenangkan sahabat yang dikasihi Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin meninggalkan kita pagi tadi.

Saya mengenali dan bertemu beliau buat pertama kali pada tahun 2002 di Tanah Suci ketika kami menunaikan fardhu haji. Saya datang dari Mesir sedang beliau dari Malaysia membawa kumpulan jemaah haji.

Saya sempat berketuakan beliau ketika kami sama-sama bertugas di Masjid Negeri Sabah. Beliau Imam Besar dan saya pembantunya. Saya melihat beliau begitu aktif mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang ramai memakluminya.

Ceramah bulanan oleh penceramah undangan, perkhemahan pelajar, ziarah hospital, qiyamullail dan bermacam aktiviti. Saya amat mengetahui sikap beliau yang berani mencuba dan sesekali mengambil risiko. Apa sahaja aktiviti yang baik akan diterima beliau untuk dilaksanakan di masjid. Inilah yang membuatkan pembenci-pembenci dakwah pening dan sakit kepala melihat keaktifan masjid di bawah kepimpinan beliau.

Ustaz Nahar juga begitu mengambil berat kebajikan pekerja. Beliau mengambil beberapa pekerja baru yang terdiri daripada muallaf, menunaikan beberapa permintaan pekerja yang tidak sempat dilakukan oleh pentadbiran sebelumnya. Aktiviti tarbiyah dalaman mingguan untuk para pekerja tidak diabaikan. Barangkali yang diingat oleh pekerja ialah beliau jarang sekali meninggikan suara walaupun terdapat kesilapan yang dilakukan.

Ternyata sikap beliau itu dan aktifnya pengimarahan masjid disukai bukan setakat oleh pekerja, bahkan jawatankuasa Masjid Negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Haji Ismail Awang Besar selaku pengerusi yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS). Apabila sesekali terserempak dengan Datuk Ismail, itulah yang selalu diluahkannya kepada saya khususnya setelah Ustaz Nahar tidak lagi bertugas di Masjid Negeri.

Apabila beliau berpindah ke ibu pejabat, beliau ditugaskan sebagai Penolong Pengarah Unit Wilayah dan Masjid. Beliau mengatur untuk mengadakan usrah imam-imam yang sempat berlangsung di setiap bahagian seluruh negeri.

Tidak sedikit gangguan dan tekanan yang diterima oleh beliau, khususnya melibatkan soal dakwah dan siasah. Namun saya bukanlah satu-satunya tempat beliau bercerita tentang gangguan tersebut kerana sahabat-sahabat sentiasa memberikan sokongan dan semangat kepadanya.

Kerana ramai melihat saya rapat dengannya, (walaupun tidak terlalu rapat sebenarnya), hari ini sebaik ketiadaannya saya menjadi salah satu sumber rakan di JHEAINS mendapatkan maklumat situasi Allahyarham. Puluhan panggilan saya terima hari ini bertanya dan memastikan keadaan sebenar Allahyarham.

Beliau diundang berceramah ke seluruh negeri baik atas nama JHEAINS, Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Bahkan saya pernah mengundang beliau ke kampung saya di WP Labuan menyampaikan kertas kerja berkaitan pengurusan masjid dan imam-imam.

Dalam parti, sepanjang yang saya tahu beliau pernah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Ulama’ Negeri beberapa tahun sebelum mengundur diri. Terakhir beliau diamanahkan sebagai Yang Di Pertua (Penaja) PAS Kawasan Sepanggar sehingga saat akhir beliau meninggal dunia.

***

Minggu lalu, hanya sekali iaitu kalau tidak salah pada pagi hari isnin saya bertemu dengannya. Itu pun di pejabat beliau di tingkat 10 Wisma MUIS. Ada beberapa urusan rasmi dan peribadi yang kami bincangkan. Itulah pertemuan terakhir kami.

Termasuk yang diluahkan beliau berkenaan tuduhan jahat dan fitnah  surat seorang Yang Berhormat terhadap beliau yang ternyata sebahagian besarnya tidak benar sama sekali.

Saya juga membincangkan tentang tawaran menjadi hakim MTQ peringkat PDRM di Kepayan khamis ini yang saya diamanahkan mengaturnya. Beliau bersetuju menjadi hakim Bahagian Fasohah dalam MTQ itu nanti. Malangnya dengan pemergiannya hari ini, tugasan itu tidak tercapai.

Malam itu, usrah kami berjalan seperti biasa di rumah seorang sahabat di Luyang. Dalam usrah ini saya diamanahkan sebagai naqib sejak 2 tahun lalu walaupun ramai ustaz lain yang lebih berkelayakan. Namun malam itu saya menguzurkan diri kerana tugasan hakim MTQ Divisyen 1 di Kem Lok Kawi. Saya sempat memberitahu Ustaz Nahar agar memimpin usrah kami di mana beliau antara ahlinya. Itulah tugasan usrah terakhir dijalankan oleh beliau.

Sehari kemudian, iaitu pada selasa, saya diingatkan oleh JK Masjid Kg Muhibbah Petagas akan tugasan khatib jumaat. Saya terkejut dan tidak dimaklumkan awal, tambahan lagi pada hari khamis saya berangkat ke Kuala Lumpur kerana menyertai mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran KDN. Saya langsung teringatkan Ustaz Nahar meminta ganti sebagai khatib. Beliau bersetuju dan itulah tugasan khatib terakhirnya.

Khabarnya beliau sempat bercuti dan berprogram di Kundasang Ranau pada malam sabtu sehingga tengahari ahad. Malam isnin, beliau dipelawa oleh Imam Masjid Kg Likas untuk mengimamkan solat Isyak malam itu. Imam itu bercerita tadi, bahawa hatinya tergerak untuk meminta beliau memimpin solat setelah berbulan beliau di’gam’ daripada menjadi imam dan khatib. Itu jugalah kali terakhir  beliau mengimamkan solat di masjid berkenaan di mana beliau menjadi jamaah tetapnya sejak kecil.

Sekitar jam 9 malam, beliau mengadu sakit perut dan dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Likas. Ramai maklum bahawa beliau memang ada penyakit gastrik sejak beberapa tahun lalu. Semalaman di sana, jam 9 pagi beliau dibawa pulang dan doktor hanya memberikan ubat biasa.

Setengah jam di rumah, beliau kembali mengadu sakit dada dan sesak nafas. Menurut pembantu beliau yang selalu bersamanya, ketika itu beliau sudah merasakan nadi Ustaz Nahar sudah tiada. Beliau dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di bangunan SMC Luyang. Sekitar jam 10.50 saya dimaklumkan tentang pemergiannya.

Ketika itu, saya dan sahabat saudara Alimin Jasman baru tiba di bangunan berkenaan dan hendak menekan punat lif untuk mencari beliau. Tujuan asal untuk menziarahi ustaz yang ketika itu kami dimaklumkan sedang pengsan. Ketika itulah Cikgu Annuar yang sudah berada di sana memaklumkan bahawa Ustaz Nahar sudah meninggal dunia. Lemah longlai tubuh saya dan ketika itu berharap saya tersalah dengar.

Tiada ucapan lain kecuali berharap semoga isteri – Kak Shida dan anak-anak beliau  – Nasyraf, Najihah dan Naufal bersabar diatas ujian ini. Begitu juga  para pendakwah dan pencintanya di Sabah, kita kehilangan seorang pendakwah muda yang gigih, yang namanya mulai harum di bumi Sabah. Mungkin saya tersilap, tetapi saya belum melihat seorang pendakwah muda yang komited dengan program dakwah dan dalam masa yang sama, berkecimpung dalam PAS di bumi Sabah sepertinya.

Ya, dengan izin Allah ada hikmah atas dugaan ini. Seperti ahli keluarga, sahabat dan kenalan beliau, saya turut mengalirkan air mata atas pemergiannya. Insya Allah beliau akan mendapat nikmat di sisi-Nya.

%d bloggers like this: