Archive for 16 Januari 2012


Payah juga hendak mencari sudut yang ‘cantik’ untuk merakam foto Surau Nurul Islam di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu ketika saya hendak singgah solat sabtu lepas. Mungkin lebih lawa kalau ambil dari arah jalanraya, kerana dari sudut foto yang saya rakam di atas, rupa surau sedikit tertutup dengan atap serambi dan pokok di sekitarnya. Barangkali itu juga sebab ada pesakit atau warisnya yang tidak biasa dengan hospital ini, tidak bertemu dengan lokasi surau kalau tidak bertanya.

Sebenarnya lama juga saya sudah tidak singgah ke surau ini. Yalah, macamlah pula saya hari-hari ke hospital, kerana pernah satu masa dulu menjaga dan berziarah beberapa ahli keluarga yang ditahan di wad ini, maka surau yang ada tidaklah asing. Rupanya ada sedikit perkembangan tentang surau ini. Mata saya lebih segar melihatnya kerana lebih kemas dan kemudahan yang lebih baik. Kalau dicampur ruang lelaki dan perempuan, surau ini boleh memuatkan tidak kurang 60 orang dalam satu-satu masa.

Tentang surau ini, saya teringat kisah seorang doktor baru perempuan yang baru dihantar ke Sabah. Tiada saudara mara, tiada kenderaan dan tidak punya banyak kenalan. Katanya surau ini antara tempat bermalamnya apabila bertugas sebelah malam dan bersambung ke sebelah pagi. Itupun kalau tidak ditegur oleh pakcik sekuriti atau mereka yang bertanggungjawab terhadap keselamatan surau ini. Apa pun, tidak pula saya tahu peraturan kerja seorang doktor.

Cadangan saya, pihak pengurusan hospital hendaklah memperbanyakkan beberapa premis surau memandangkan kawasan hospital yang agak luas. Di kawasan wad perubatan c di bukit sana, saya dapati surau terlalu kecil yang boleh muat sekadar 3-4 orang sahaja, kerana sudah dibelah dua untuk ruang solat muslimat pula. Sementara untuk di bangunan yang sedang dibina ini, saya berharap ada surau yang lebih selesa dan sesuai.

Saya bercerita dengan seorang pesakit yang ‘tidak berapa sakit’ di Hospital Queen beberapa malam lepas. Ziarah di luar waktu berziarah kerana ada misi yang mesti diselesaikan atas permintaan keluarga pesakit. Sayu kami melihat babak kasih ibu di hadapan kami saat itu. Kata teman bicara saya, benarlah Islam mewajibkan kita menghormati dan menyayangi ibu. Tidak akan masuk syurga anak yang derhaka kepada ibunya, katanya.

Menurut teman baru saya itu, si pesakit, seorang pemuda sekitar 20an sanggup ditemani oleh ibunya. Seingat saya dalam peraturan bermalam di hospital, pesakit lelaki boleh ditemani oleh warisnya lelaki atau perempuan, tetapi pesakit perempuan hanya boleh ditemani oleh warisnya yang perempuan sahaja. Saya tahu itu kerana dahulu pernah keluarga kami perempuan yang sakit dan hanya boleh diteman bermalam oleh ahli keluarga perempuan sahaja.

Benarlah apabila seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW kepada siapa dia hendak berbakti, maka Rasulullah menjawab : Ibumu. Kemudian lelaki berkenaan bertanya lagi kali kedua : Selepas itu siapa? Rasulullah menjawab : Ibumu. Lelaki berkenaan bertanya lagi buat kali ketiga : Selepas itu siapa? Rasulullah menjawab : Ibumu. Lelaki berkenaan bertanya lagi buat kali keempat : Kemudian siapa? Rasulullah menjawab : Bapamu.

Demi anak yang sakit, si ibu bermalam di bawah katil yang sejuk beralaskan kain nipis sementara anaknya berada di atas, di katil yang dikhususkan buat pesakit.

%d bloggers like this: