Archive for 3 Januari 2012


KANTOI

KES 1

Si lelaki beralamat dari Sepanggar sementara perempuan dari Tenom tetapi tinggal di Kinarut. Ketika mereka ditahan pada malam 1 Januari 2012 sedang berdua-duaan di pantai Lok Kawi-Meruntum, si lelaki yang merupakan pemastautin tetap dan mengaku bujang. Hebatnya, ketika jam 4.30 pagi di Pejabat Daerah Putatan lelaki berkenaan dijamin oleh isterinya sendiri. Selepas dijamin, berlaku perang mulut antara suami isteri berkenaan.

Si perempuan pula mendakwa sebenarnya tidak pernah memeluk islam walaupun di mykadnya tercatat beragama Islam. Pegawai bertugas menasihatkan perempuan berkenaan mengurus masalahnya di JHEAINS dan Jabatan Pendaftaran jika dakwaannya adalah benar. Sekiranya beliau benar bukan beragama Islam, maka dakwaan terhadapnya akan digugurkan selepas ini nanti.

KES 2

Di sebuah hotel dalam daerah Putatan, seorang lelaki yang beralamat dari Kudat ditahan kerana berada bersama pasangannya yang tidak beragama Islam. Lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Pejabat Daerah Putatan sebelum diambil maklumat dan kemudian dibebaskan dengan bon jaminan oleh kakaknya. Perempuan yang menjadi pasangannya tidak ditahan kerana bukan beragama Islam.

KES 3

Seorang anak gadis juga dari Sepanggar berumur 20 tahun kebingungan apabila dibiarkan bersendirian setelah teman lelakinya melarikan diri sebelum sempat diserbu oleh penguatkuasa. Gadis berkenaan pada mulanya mengaku tinggal sendirian di bilik hotel tapi ‘kantoi’ apabila di bilik berkenaan terdapat sepasang topi keledar, dan beberapa bukti lain. Teman lelaki yang diakuinya sebagai tunangnya dari Putatan juga enggan menjawab sebarang panggilan daripada gadis tersebut.

Saya katakan kepadanya bahawa tunangnya itu memang tidak sayangkannya sebab membiarkan dia sendirian ditahan oleh penguatkuasa. Gadis berkenaan kemudian disuruh menghubungi keluarganya supaya diambil pulang di Pejabat Daerah Putatan.

KES 4

Satu pasangan lagi ‘kantoi’ di sebuah hotel di Putatan, berumur 18 dan 19 tahun, seorang dari Putatan dan seorang lagi dari Sembulan. Keduanya mendakwa baru berkenalan tidak sampai seminggu dan datang ke sana seramai empat orang. Ketika dua teman mereka kebetulan keluar maka hanya tinggal mereka berdua yang tidak lama kemudian diserbu oleh penguatkuasa yang kebetulan memeriksa sebahagian besar bilik-bilik hotel berkenaan.

Penghujung tahun 2011 dan awal tahun 2012 saya ‘sambut’ di tengah semak!

Lucu juga bunyinya, tapi itulah kejadiannya kerana saya menyertai hampir 80 orang yang lain dalam satu operasi cegah maksiat di daerah Putatan. Program itu diketuai oleh Ustaz Haji Mohd Noor Kasah, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JHEAINS, bersama agensi-agensi lain seperti PDRM, RELA, Majlis Daerah Putatan dan JHEAINS Daerah Putatan. Turut serta ialah sahabat-sahabat media daripada pelbagai agensi berita nasional dan negeri.

Taklimat kepada semua peserta operasi bermula pada jam 10 malam. Lokasi operasi malam itu bermula dari pantai Lok Kawi yang bersempadan dengan Kinarut. Ketika itu di langit Kota Kinabalu sudah kelihatan bermulanya dentuman mercun yang menarik. Ketika kami memasuki kawasan semak samun dan pantai yang khabarnya pada masa lalu menjadi lokasi pasangan memadu kasih. Kawasan ini memang sunyi dan menghadap kawasan pantai Laut China Selatan. Jauh juga kami berjalan kaki, sekitar 10-15 minit dan kemudian patah balik untuk tempoh yang sama. Tiada sesiapa yang kami temui kecuali sekumpulan ahlil pancing ikan yang sedang menunggu mangsanya.

Kami kemudiannya berjalan di persisiran pantai Lok Kawi dan Kampung Meruntum. Di sini kami menahan beberapa pasangan. Setelah meronda beberapa kawasan pantai lainnya, tibalah pula operasi cegah maksiat di beberapa buah hotel di sekitar Putatan. Ada 3 buah hotel menjadi sasaran operasi, dan dua daripadanya kami telah menahan beberapa pasangan lagi. Keseluruhan operasi menahan sekitar 14 orang termasuk ada yang ditahan sendirian kerana pasangan bukan Islam.

Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Daerah Putatan untuk direkod sebelum dilepaskan dengan bon jaminan. Mereka juga diminta datang semula ke Pejabat JHEAINS Putatan pada minggu hadapan. Keseluruhan operasi berakhir pada jam 5 pagi. Sementara itu satu operasi yang sama juga dijalankan di pasukan lain di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dengan sejumlah 17 orang yang ditahan. Kisah sebahagian mereka yang ditahan akan saya catatkan dalam artikel yang lain selepas ini.

%d bloggers like this: